Wednesday, 16 October 2013

Tuntutan untuk mendapatkan milikan kosong ke atas harta tanah

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU

DALAM NEGERI KELANTAN DARULNAIM

RAYUAN SIVIL NO:

( Dalam Perkara Mahkamah Majistret Tanah Merah                                 Saman No. 72-41-05 )


ANTARA

AZIMAH BT MAJID                                            ….     PERAYU                 

                                                           

DAN



NAZIHAH BT SHAFII                                         ....      RESPONDEN

      
ALASAN PENGHAKIMAN

Ini adalah rayuan daripada pihak Defendan (Perayu”) yang tidak berpuashati terhadap keseluruhan keputusan Majistret  Tanah Merah yang telah diberikan pada 22/4/09.

KEPUTUSAN MAHKAMAH
Setelah selesai perbicaraan, mahkamah yang mulia ini telah membuat keputusan untuk membenarkan tuntutan Plaintif  dengan kos kecuali item (b) dalam Pernyataan Tuntutan iaitu gantirugi am tidak dibenarkan.
RINGKASAN KES
Tuntutan Plaintif adalah untuk mendapatkan milikan kosong ke atas tanah Lot no 164, GM No 590, Kg Gual, Mukim Jedok, Jajahan Tanah Merah, Kelantan.  Plaintif adalah tuan punya berdaftar ke atas tanah tersebut.

Selain daripada untuk mendapatkan milikan kosong hartanah di atas, Plaintif juga menuntut gantirugi am kerana Defendan telah menduduki secara tidak sah tanah tersebut selain telah didakwa merosakkan tanaman di sekitar kediaman yang telah didirikan oleh Defendan di atas hartanah tersebut.

Defendan pula menafikan perkara ini dan menyatakan bahawa mereka telah mendapat kebenaran dari ibu bapa Plaintif untuk menduduki hartanah tersebut secara lisan di mana terdapat perjanjian lisan antara mereka untuk menjual hartanah tadi dengan harga RM 10000.  Defendan juga mendakwa  telah membuat bayaran kepada bapa Plaintif sebelum bapa Plaintif meninggal dunia sebanyak RM 7000 dan hanya masih berbaki RM 3000 sahaja.
Plaintif menafikan perkara ini dan tidak mahu menjual tanah tersebut kepada Defendan dan telah membuat tuntutan ini di Mahkamah.

SAKSI-SAKSI YANG TELAH DIKEMUKAKAN
Saksi-saksi Plaintif
Pihak Plaintif telah mengemukakan saksi-saksi yang berikut:-
SP1  :         Nazihah Shafii             -        Plaintif
SP2  :         Mohd Yusoff Shafii     -        Abang Plaintif

Saksi-saksi Defendan
Pihak Defendan telah mengemukakan saksi-saksi- yang berikut:-
SD1  :         Azimah Majid               -        Defendan
SD2  :         Ab. Rashid Dollah       -        Suami Defendan

EKSHIBIT-EKSHIBIT YANG TELAH DIKEMUKAKAN
A                -        Ikatan Pliding
B                -        Ikatan dokumen Plaintif
C                -        Ikatan dokumen tambahan Plaintif
P1              -        Cabutan dan hakmilik di m/s 4 Ikatan B
P2              -        Notis pengosongan rumah
P3              -        Pernyataan saksi (SP1)
P4(1-33)    -        33 keping gambar di m/s 8-19 Ikatan B
P5              -        Pernyataan saksi (SP2)
P6              -        Laporan polis m/s  1-2 di Ikatan C
D1              -        Pernyataan saksi (SD1)
ID2             -        Surat akuan sumpah SD1
D3              -        Catitan bayaran
D4              -        Pernyataan saksi (SD2)

ALASAN PENGHAKIMAN
1.      Berkenaan dengan hujahan Peguam Defendan yang mempertikai kan bidang kuasa mahkamah ini, mahkamah yang mulia ini memutuskan bahawa mahkamah ini mempunyai bidang kuasa (jurisdiction) untuk mendengar kes ini kerana kes ini bukan sahaja melibatkan isu milikan kosong ( vacant possession) tetapi ia juga melibatkan ekuiti terhadap tanah itu dan ia juga melibatkan tuntutan terhadap gantirugi am.

2.      Isu tentang bidang kuasa tidak pernah dibangkitkan oleh Defendan ketika memfailkan pembelaan kes ini di mahkamah dan setelah ditetapkan untuk perbicaraan, mahkamah yang mulia ini sebenarnya telah menimbulkan persoalan ini kepada kedua-dua belah pihak sebelum perbicaraan penuh dijalankan.  Mahkamah ini ingin mendengar hujahan daripada pihak-pihak tentang isu jurisdiction tetapi telah ditolak oleh kedua-dua pihak dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk kes ini dijalankan di mahkamah yang mulia ini.

          Oleh yang demikian, mahkamah ini juga tidak tahu kenapa pihak Defendan masih lagi mempertikaikan dan mempersoalkan perkara ini di dalam hujahan setelah kes ditutup dan ditetapkan untuk keputusan pada 16/4/09.

3.      Mahkamah ini juga berpendapat bahawa isu tentang bidang kuasa tidak pernah dibangkitkan oleh Defendan di dalam pembelaan mereka dan Defendan adalah terikat dengan pliding yang mereka failkan.

Atas alasan di atas, mahkamah yang mulia ini berpendapat bahawa mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini.

4.      Seterusnya, keputusan mahkamah juga adalah berdasarkan kepada alasan di mana hakmilik tanah adalah di bawah milikan Plaintif.  Tidak dinafikan bahawa Plaintif adalah tuan punya yang sah terhadap tanah terbabit.   Mahkamah juga mengingatkan pihak Defendan bahawa sistem yang digunakan di negara ini adalah Torren System  yang jelas menggunapakai konsep Indefeasibility of title  iaitu ketidakboleh sangkalan hak yang secara jelas dan nyata.

          Perkara ini juga ada dinyatakan dengan jelas di dalam Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965.
          Seksyen 340 :   Pendaftaran untuk memberi hak milik atau kepentingan yang tidak boleh disangkal, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.

(i)      hak milik atau kepentingan mana-mana orang atau badan buat masa itu didaftarkan sebagai tuan punya mana-mana tanah, atau atas nama siapa  apa-apa pajakan, gadaian atau esmen adalah buat masa itu terdaftar hendaklah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut seksyen ini, tidak boleh disangkal.

5.      Defendan juga tidak dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau adalah pembeli hartanah tersebut kerana tiada bukti yang kukuh dikemukakan.  Bukti pembayaran juga adalah tidak jelas dan kuat kerana hanya ditulis di satu kertas yang dapat diragui dan dipertikaikan kesahihannya.

6.      Pihak Defendan yang membangkitkan tentang perjanjian lisan sepatutnya membuktikan perkara ini kepada mahkamah.  Pihak Defendan telah gagal untuk buktikan perkara ini di mahkamah menyebabkan ianya tidak jelas dan tiada bukti yang kukuh tentang perkara ini.  Begitu juga kebenaran yang telah diberikan oleh arwah bapa Plaintif kepada Defendan seperti yang dibangkitkan, tidak pernah dibuktikan oleh Defendan.

7.      Pihak Defendan juga telah gagal untuk memanggil ibu kepada Plaintif yang dikatakan tahu oleh Defendan sendiri di dalam keterangan beliau yang mengetahui tentang perjanjian lisan.  Ia sebenarnya telah melemahkan kes Defendan sendiri.  Defendan mengatakan bahawa ibu Plaintif yang tahu tentang perkara ini selain daripada arwah bapa Plaintif, walaupun mahkamah telah menasihati untuk Defendan memanggil saksi tersebut tetapi pihak Defendan tidak berbuat demikian walaupun telah memohon subpoena terhadap saksi tersebut.
         
          Keputusan pihak Defendan untuk tidak memanggil saksi tersebut sebenarnya telah melemahkan kes Defendan sendiri dan telah memberi kelebihan kepada pihak Plaintif.
KESIMPULAN
Atas alasan-alasan dan sebab-sebab yang dinyatakan di atas Mahkamah mendapati pihak Defendan telah gagal untuk membuktikan wujudnya ekuiti terhadap tanah tersebut, oleh yang demikian keputusan Mahkamah untuk menerima tuntutan Plaintif dengan kos kecuali  pada tuntutan gantirugi am adalah tepat, adil dan berpatutan.

Walaubagaimanapun, Mahkamah ini menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Y.A Hakim Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusan yang terbaik di dalam kes ini.

 Disediakan oleh,

.........................................
(Nik Habri Bin Muhamad)
Majistret
Mahkamah Majistret Tanah Merah
     Kelantan.

MAKLUMAT DALAM TALIAN.COM


A.        TAJUK KURSUS YANG DI TAWARKAN

1. PENGENALAN KEPADA KTN
2. SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA
3. KUASA MENANGKAP DAN MENAHAN MENGIKUT KTN DAN CPC
4. PROSEDUR TANGKAPAN DAN PENAHANAN
5. LAPORAN POLIS DAN FIR
6. PENGURUSAN BARANG KES
7. INTIPATI KESALAHAN MENGIKUT SEKSEN 425
8. INTIPATI KESAHAN MENGIKUT SEKSEN 426
9. PERAMPASAN DAN LUCUT HAK BARANG KES
10. KUASA MENYIASAT DAN KTN DAN CPC
11. KAEDAH MERAKAM PERCAKAPAN
12. MENGURUSKAN OKT DARI AWAL HINGGA AKHIR
13. PENYEDIAN KERTAS SIASATAN
14. PENYEDIAAN FAKTA KES DAN PERTUDUHAN
15.RUJUKAN KES KEPADA TPR
16. PENDAFTARAN KES DAN BORANG-BORANG MAHKAMAH
17. AKTA KETERANGAN 
18. TUGAS DAN PERANAN PEGAWAI PENDAKWA
19. TEKNIK BERHUJAH
20. PENGHUKUMAN.
21. OPERASI MEMUSNAH DAN PELAN KONTIGENSI.
22. PENCEROBOHAN TANAH MILIK DAN MENYELESAIANNYA
23. BONOS - PECEROBOHAN TANAH MILIK DAN PENYELESAIAN
                  PELAN A, PELAN B, PELAN C, PELAN D, PELAN E, PELAN F.
                  AFFIDAVIT DAN KES –KES DULUAN MAHKAMAH

A.    SASARAN PESERTA

1.      PENOLONG PEGAWAI TANAH
2.      PENOLONG PENTADBIR TANAH
3.      KETUA PENOLONG PENTADBIR TANAH
4.      PENTADBIR TANAH
5.      PEGAWAI PENYIASAT SPRM
6.      PEGAWAI PENYIASAT PDRM
7.      PELAJAR UNIVERSITI YANG BERKAITAN
8.      PERUNDING HARTA TANAH
9.      LAIN-LAIN PEGAWAI YANG DILANTIK DI BAWAH S. 12 KTN
10.  LAIN-LAIN YANG BERMINAT DAN PEMILIH TANAH YANG BERMASALAH.

B.    JANGKA MASA – HUJUNG MINGGU SABTU DAN AHAD/RUNDINGAN
C.   TEMPAT – TAIPING ATAU DITENTUKAN PEMOHON
D.   BAYARAN 1 HARI RM 1000.00.

No comments:

Post a Comment