Wednesday, 16 October 2013

ALASAN PENGHAKIMAN MAHKAMAH - injunksi interlokutor

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM SELANGOR
WRIT SAMAN NO. 22NCVC-650-2011
Antara
Sinnapan a/l Vellapan … Plaintif
Dan
1. Nallamah a/p Muthusamy
2. Palaniappan a/l Vellapan
… Defendan-Defendan
ALASAN PENGHAKIMAN MAHKAMAH
[1] Plaintif melalui writ saman yang difailkan disini menuntut bagi mendapatkan perintah-perintah berikut:
(a) satu injunksi interlokutori menghalang defendan kedua daripada memindah milik tanah di bawah pegangan GM431, Lot 238, Mukim Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor kepada mana-mana pihak ketiga sehingga keputusan penuh;
2
(b) suatu perintah dan perakuan bahawa plaintif ialah pemilik sah bagi tanah tersebut;
(c) suatu perintah dan perakuan bahawa pindah milik tanah tersebut oleh defendan pertama kepada defendan kedua diketepikan di bawah seksyen 340(2) Kanun Tanah Negara;
(d) suatu perintah dan deklarasi bahawa defendan pertama dengan serta merta melaksanakan suatu memorandum pindah milik bagi tanah tersebut kepada plaintif;
(e) dalam keadaan defendan pertama gagal, enggan dan/atau cuai untuk memindah milik tanah tersebut kepada plaintif, maka selepas itu suatu perintah dan deklarasi diberikan kepada Penolong Kanan Pendaftar/Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk melaksanakan memorandum pindah milik tersebut bagi pihak defendan berpihak kepada plaintif;
3
(f) defendan pertama dan defendan kedua membayar ganti rugi kepada plaintif yang akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar/Timbalan Pendaftar;
(g) kos dibayar oleh defendan pertama dan defendan kedua kepada plaintif;
(h) relif-relif lain yang sesuai dan patut oleh mahkamah ini.
Perbicaraan kes
[2] Satu perbicaraan penuh telah dijalankan oleh mahkamah ini terhadap tuntutan plaintif tersebut.
[3] Plaintif memanggil dua orang saksi, iaitu Maniam a/l Thangavelu berumur 63 tahun bekas seorang posman (SP1) dan plaintif sendiri (SP2). Plaintif sekarang berumur 64 tahun.
[4] Pihak defendan memanggil tiga orang saksi, iaitu Palaniappan a/l Velappan (SD1)(defendan kedua) berumur 57 tahun; Nallamah a/p Muthusamy (SD2)(defendan
4
pertama) berumur 85 tahun; Karupayee a/p Segodan (SD3) berumur 65 tahun.
Beban pembuktian
[5] Plaintif di dalam plidingnya telah memplidkan berlakunya penipuan atau pecah amanah jenayah dan pakatan melakukan penipuan atau pecah amanah jenayah oleh defendan pertama dan defendan kedua. Bagi tujuan tersebut plaintif telah membuat laporan polis terhadap defendan pertama dan kedua (eksibit “P6”). Beban pembuktian terdapatnya frod iaitu penipuan atau pecah amanah jenayah seperti yang diplidkan oleh plaintif tersebut adalah terletak ke atas plaintif bagi membuktikannnya.
[6] Dalam kes Johara Bi binti Abdul Kadir Marican v Lawrence Lam Kwok Fou [1980] 1 LNS 199; [1981] 1 MLJ 139 (FC), Chang Min Tat FJ dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam beban pembuktian mengatakan seperti berikut:
“….that until and unless a plaintiff has discharged the onus on it to prove its case on the balance of
5
probabilities the burden does not shift to the defendant and no matter if the defendant’s case is completely unbelievable, the claim must be dismissed.”
[7] Dalam kes Ang Hiok Seng @ Ang Yeok Seng v Yim Yut Kiu [1997] 2 MLJ 45, Mahkamah Agung mengatakan seperti berikut:
“(3) Where the allegation of fraud in civil proceedings concerns criminal fraud such as conspiring to defraud, misappropriation of money or criminal breach of trust, it is settle law that the burden of proof is the criminal standard of proof beyond reasonable doubt and not on the balance of probabilities. An allegation of criminal fraud in civil or criminal proceedings cannot be based on suspicion or speculation. However, where the allegation of fraud is entirely founded on civil fraud and not on criminal conduct of offence, a balance of probability is applicable. In this case, since the allegation of fraud was purely civil in nature and
6
not based on or connected with a criminal offence, the civil standard was applicable.”
[8] Mahkamah Persekutuan dalam kes Chu Choon Moi v Nga Siew Tin [1985] 1 LNS 134; [1986] 1 MLJ 34 mengatakan seperti berikut:
“We agree that fraud whether made in civil or criminal proceedings must be proved beyond reasonable doubt and cannot be based on suspicion and conjecture ( Narayanan v Official Assignee, Rangoon AIR 1941 PC 93; Saminathan v Pappa [1981] 1 MLJ 121). Proof beyond reasonable doubt does not mean proof beyond the shadow of doubt. The degree of proof need not reach certainty but it must carry a high degree of probability. What it means is that the evidence adduced is such that the Court believes its existence or a prudent man considers its existence probable in the circumstances of the particular case. If such proof extends only to a possibility but not in the least a probability, then it falls short of proving beyond reasonable doubt.”
7
[9] Berpandukan kepada prinsip undang-undang yang dinyatakan oleh kes-kes rujukan di atas, dan butiran yang diplidkan oleh plaintif, iaitu perlakuan penipuan atau perlakuan pecah amanah jenayah oleh defendan pertama dalam pindah milik tanah tersebut kepada defendan kedua, maka beban pembuktian ke atas plaintif adalah untuk membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah. Walau bagaimana pun tahap pembuktian yang diperlukan itu adalah lebih rendah daripada standard pembuktian yang terpakai bagi pertuduhan jenayah. Dengan kata lain ianya memadai dibuktikan pada tahap “high degree of probability” dalam mana “the evidence adduced is such that the court or a prudent man considers its existence probable in the circumstances of the case”.
[10] Berpandukan standard beban pembuktian yang dinyatakan itu, mahkamah ini menimbangkan keterangan yang telah dikemukakan dalam kes plaintif untuk melihat jika plaintif telah dapat membuktikan kesnya pada tahap “beyond reasonable doubt”.
8
Latar belakang kes plaintif
[11] Plaintif adalah merupakan anak lelaki kedua kepada defendan pertama. Defendan kedua adalah adik lelaki kepada plaintif.
[12] Plaintif mengatakan pada lebih kurang 16.8.1971 plaintif telah membeli sebidang tanah di bawah pegangan GM431, Lot 238, Mukim Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor berukuran 1.5302 hektar dengan harga belian sebanyak RM12,650.00. Bagi tujuan pembelian itu, plaintif mengatakan beliau meminjam sebanyak RM10,000 daripada Muthusamy a/l Sellapan dan Sinappan a/l Karuppanan dan sebagai jaminan kepada pinjaman tersebut, tanah tersebut dipindahmilik kepada pemberi-pemberi pinjaman dengan persetujuan tanah tersebut akan dipindahmilik kepada plaintif setelah plaintif selesai membayar jumlah yang dipinjam. Plaintif mengatakan pada tahun 1975 plaintif telah menjelaskan jumlah pinjaman dan meminta peminjam-peminjam memindah milik tanah tersebut ke atas nama defendan pertama (ibu plaintif) untuk dipegang sebagai Pemegang Amanah bagi plaintif. Pada 21.11.1975 tanah
9
tersebut dipindah milik ke atas nama defendan pertama. Plaintif selanjutnya mengatakan pada 14.1.1980 defendan pertama telah melaksanakan satu akuan amanah yang mengesahkan tanah tersebut dipegang bagi pihak plaintif dan akan memindah milik tanah itu kepada plaintif apabila diminta oleh plaintif. Walau bagaimana pun tanah tersebut telah dipindah milik oleh defendan pertama kepada defendan kedua (adik plaintif) pada 27.4.2011.
[13] Plaintif dengan itu mengatakan defendan pertama telah secara menipu dan pecah amanah memindah milik tanah tersebut kepada defendan kedua dan defendan kedua bukanlah pembeli yang ikhlas atau dengan balasan yang berharga dan terlibat sama dengan penipuan dan pecah amanah oleh defendan pertama. Plaintif telah membuat satu laporan polis dan memasukkan keveat ke atas tanah.
[14] Di perenggan 12 pernyataan tuntutan, plaintif memberikan butir-butir penipuan dan pecah amanah, seperti berikut:
10
(a) walau pun defendan pertama memegang tanah tersebut sebagai amanah bagi plaintif, dia telah secara menipu berpakat untuk memindah milik tanah tersebut kepada defendan pada 27.4.2011;
(b) walau pun sedar bahawa defendan pertama memegang tanah tersebut di bawah akuan amanah yang bertarikh 14.1.1980, dia secara menipu telah memindah milik tanah tersebut kepada defendan kedua kerana kasih sayang dan oleh kerana itu telah melakukan pecah amanah jenayah;
(c) defendan kedua telah sedar mengenai akuan amanah yang bertarikh 14.1.1980 tetapi bersetuju untuk melaksanakan pindah milik yang bertarikh 11.3.2011 secara menipu untuk menguntungkannya;
(d) defendan pertama dan defendan kedua telah berpakat untuk menipu dan menahan plaintif daripada menikmati tanah tersebut;
11
(e) secara alternative defendan kedua telah menipu defendan pertama untuk memindahmilik tanah tersebut kepada defendan kedua;
(f) defendan kedua telah mencuri surat ikatan hakmilik tanah tersebut tanpa pengetahuan plaintif dan melaksanakan pemindahan tanah ke atas namanya;
(g) secara alternative defendan pertama telah secara menipu dan memecah amanah memberi surat ikatan hakmilik kepada defendan kedua.
Pembelaan defendan
[15] Mengikut defendan pertama, pada sekitar tahun 1971 defendan pertama telah membeli dua (2) bidang tanah, iaitu sebidang di bawah pegangan GM431 Lot 238, Mukim
12
Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor dan sebidang lagi tanah yang dipegang di bawah GM583 Lot 239, Mukim Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor pada harga RM12,000.00.
[16] Defendan pertama mengatakan kedua-dua tanah tersebut telah dibeli dengan menggunakan nama plaintif iaitu anak sulong defendan pertama bagi memudahkan urusan berkaitan tanah tersebut yang pada ketika itu plaintif baru saja mendapat pekerjaan dan masih belum berkahwin. Plaintif ketika itu berumur 21 tahun. Ketika masa tersebut defendan pertama bekerja dan oleh kerena kesukaran bagi mendapatkan cuti dari majikan, maka keputusan dibuat untuk membeli tanah terlibat dan dipindahmilik di atas nama plaintif dengan fahaman tanah tersebut kemudiannya akan dipindah milik kepada defendan pertama. Bagi tujuan pembelian tanah-tanah tersebut mendiang suami defendan pertama telah membayar sebahagian wang dan baki RM10,000 disetujui untuk dibuat oleh plaintif dari Muthusamy a/l Sellapan dan Sinnapan a/l Karuppan yang merupakan kenalan defendan pertama. Sebagai jaminan kepada pinjaman tersebut, kedua-dua tanah telah dipindahmilik atas nama pemberi pinjaman. Defendan
13
pertama dan mendiang suami beliau telah menyelesaikan jumlah pinjaman berjumlah RM10,000 terebut pada tahun 1975 dengan menggunakan wang simpanan mereka (defendan petama dan mendiang suaminya) sebagai penoreh getah selama 25 tahun. Tanah Lot 238 telah dipindahkan di atas nama defendan pertama. Manakala tanah Lot 239 dipindahmilik di atas nama menantu perempuan defendan pertama bernama Karupayee a/p Sengodan (SD3). Defendan pertama mengatakan pindah milik kepada Karupayee dibuat adalah sebagai balasan kepada pinjaman wang yang diberikan oleh bapa Karupayee kepada ahli keluarga defendan pertama yang menetap di India.
[17] Defendan pertama mengatakan, kecuali plaintif meminjam RM10,000 bagi tujuan pembelian kedua-dua Lot 238 dan Lot 239, semua pembayaran semula pinjaman dibuat oleh defendan pertama dan mendiang suami beliau. Defendan pertama juga mengatakan tanah-tanah tersebut diuruskan oleh defendan pertama dengan bantuan anak sulungnya bernama Doraisamy a/l Velappan. Cukai tanah tersebut dibayar oleh defendan pertama dan defendan pertama mengusahakan tanah tersebut dengan menanam
14
kepala sawit. Defendan pertama mengatakan plaintif tidak ada memberikan apaa-apa sumbangan lain termasuk tenaga ke atas pengusahaan tanah tersebut. Geran bagi Lot 238 juga pada setiap masa berada dengan defendan pertama. Menurut defendan pertama pada sekitar tahun 2011, beliau telah memindah milik Lot 238 tersebut kepada defendan kedua iaitu anak lelaki beliau di atas pemberian bersifat kasih sayang oleh ibu kepada anak disebabkan defendan kedua telah menjaga segala keperluan defendan pertama selepas kematian suami defendan pertama. Defendan kedua tinggal bersama defendan pertama. Defendan pertama manafikan beliau memegang tanah Lot 238 tersebut sebagai pemegang amanah bagi pihak plaintif.
Isu-isu bagi keputusan mahkamah
[18] Isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah, ialah:
(a) samada defendan pertama memegang tanah GM 431 Lot 238 Mukim Bistari Jaya, Daerah Kuala Selangor tersebut bagi pihak plaintif sebagai benefisiari tanah tersebut;
15
(b) samada defendan pertama dan defendan kedua telah melakukan penipuan atau pecah amanah atau pakatan bagi menipu terhadap milik tanah GM 431 Lot 238 pada tahun 2011 kepada defendan kedua.
[19] Asas tuntutan oleh plaintif seperti mana yang diplidkan di dalam writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif, ialah telah berlaku penipuan dan juga pecah amanah jenayah oleh defendan pertama dengan bantuan defendan kedua terhadap surat akuan amanah (eksibit “P1”) apabila defendan pertama memindah milik tanah GM 432 Lot 238 kepada defendan kedua. Maka itu plaintif telah membuat satu laporan polis pada 18.5.2011 melalui Bestari Jaya Rpt. 001234/11 (eksibit “P6”).
[20] Di dalam kes Ng Chin Sia & lain-lain v Ng Kian Seng & satu lagi [2009] 7 MLJ 133, pada perenggan (60) Abu Samah J (beliau ketika itu) mengatakan seperti berikut:
“…seseorang benefisiari di bawah sesuatu amanah boleh menuntut tanah yang didaftarkan di
16
dalam nama pemilik berdaftar sekiranya ia dapat membuktikan bahawa tanah tersebut dipegang oleh pemilik berdaftar sebagai pemegang amanah. Ini bererti hak pemilik berdaftar yang tidak boleh disangkal di bawah s 340(1) Kanun Tanah Negara tidak menghalang seseorang benefisiari di bawah sesuatu amanah menuntut tanah amanah jika ia dapat membuktikan tanah tersebut dipegang oleh pemilik berdaftar sebagai pemegang amanah: lihat juga Sabrina Loo Cheng Suan v Eugene Khoo Oon Jin [1995] 1 CLJ 875.”
Akuan deklarasi amanah bertarikh 14.1.1980
[21] Plaintif merujuk kepada suratan deklarasi amanah (Declaration of Trust) bertarikh 14.1.1980 yang dikatakan dibuat oleh defendan pertama yang mengakui tanah di bawah pegangan EMR 2118 Lot 238, Mukim Batang Berjuntai (sekarang Bestari Jaya) adalah dipegang sebagai amanah bagi pihak plaintif (eksibit “P1”). Surat akuan tersebut dikatakan dilaksanakan oleh defendan pertama secara menurunkan cap jari defendan pertama dan sempurnakan di hadapan peguam Meredith Coelho,
17
peguamcara & peguambela, Kuala Lumpur. Plaintif membawa keterangan daripada SP1 bagi mengatakan surat deklarasi amanah tersebut telah disempurnakan oleh defendan pertama.
[22] Defendan sebaliknya mengatakan beliau tidak tahu dan tiada pengetahuan tentang terdapatnya surat akuan amanah yang mempunyai cap jari yang dirujukkan oleh plaintif sebagai eksibit “P1”. Defendan pertama hanya tahu tentang kewujudan surat akuan amanah “P1” apabila defendan pertama dipanggil ke balai polis setelah plaintif membuat laporan polis dan ditunjukkan oleh pihak polis kepada defendan pertama. Defendan pertama telah memberitahu pihak polis bahawa bahawa cap jari yang ditunjukkan itu bukan miliknya. Defendan pertama telah membuat laporan polis terhadap perkara tersebut (eksibit “D2” laporan polis Bestari Jaya Rpt. 001679/11 bertarikh 7.7.2011). Defendan pertama menafikan beliau ada hadir ke pejabat peguam di Kuala Lumpur yang dicatitkan dalam surat akuan amanah “P1”. Defendan pertama menafikan tanah tersebut dipegang sebagai amanah bagi pihak plaintif. Defendan pertama mengatakan semasa tanah tersebut dipindah milik ke atas nama defendan pertama pada tahun 1975 setelah pinjaman
18
selesai dibayar, plaintif turut menandatangani dokumen berkaitan pertukaran pindahmilik tersebut. Maka itu defendan pertama telah menyimpan geran hakmilik tanah tersebut dan mengusahakan tanah tersebut. Plaintif tidak pernah meminta bagi geran hakmilik diberikan kepada plaintif. Defendan pertama juga mengatakan umur plaintif ketika tanah tersebut dibeli pada tahun 1971 tidak akan berupaya untuk membayar atau mengadakan wang untuk belian tanah itu kerana ketika itu plaintif baru sahaja bekerja dan tidak mempunyai wang dan masih tinggal dengan defendan pertama. Defendan pertama juga membayar cukai bagi tanah tersebut pada setiap tahun sehingga tahun 2011 (eksibit “D1 (muka surat 9 hingga 31) Ikatan Dokumen “C”).
[23] Keterangan defendan pertama (SD2) semasa diperiksa balas oleh peguamcara plaintif adalah seperti berikut:
“Q. Rujuk P1 di Common Bundle muka surat 30. Cap jari puan disitu?
A. Saya tak tahu sebab saya tak ada turunkan cap jari saya pada dokumen ini.
19
Q. I put it to you that you went to lawyers office in Kuala Lumpur and you were took by Veerapan a/l Muthusamay?
A. Tak setuju.
Q. I put to you that you put the thumb print witnessed by Veerapan a/l Muthusamy and Maniam a/l Tangavelu?
A. Tak setuju.
Q. I put it to you that this document has been explained to you by the lawyer in Tamil.
A. Tak setuju.”
[24] Sebagai menyokong keterangannya yang berkaitan penafian beliau ke atas cap jari, defendan pertama telah merujuk mahkamah ini kepada tindakan guaman yang telah dibawanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Civil Suit No. F449 Tahun 1985 di mana YA Hakim Lim Beng Choon (beliau ketika itu) telah memutuskan bahawa dokumen yang merupakan surat bertanda ekisbit “D6” yang terdapat cap jari yang dikatakan sebagai cap jari defendan pertama yang bersetuju untuk tanah Lot 238 dicagarkan kepada Bank Buruh adalah cap jari yang telah diperolehi secara fraud atau salahnyata ke atas defendan pertama dan dengan itu
20
tidak mempunyai kesan untuk dikuatkuasakan. Penghakiman kes tersebut telah dilaporkan sebagaimana dalam kes Nallamal & Anor v Karuppanan & Anor [1993] 3 MLJ 476. Defendan pertama mengatakan walau pun plaintif mengetahui kes guaman yang dibawa oleh plaintif bagi menbatalkan kaveat ke atas tanah dan cagaran yang telah dibuat ke atas tanah secara frod oleh seorang bernama Karrupanan tetapi plaintif tidak pernah membangkitkan atau menuntut tanah Lot 238 tersebut sebagai tanah yang dipegang secara amanah bagi pihak plaintif. Kos guaman bagi tindakan tersebut juga berjumlah RM5,000 dibayar oleh defendan pertama (eksibit “D3”). Defendan pertama dengan ini mengatakan adalah tidak munasabah untuk tanah tersebut dipegang sebagai amanah untuk plaintif dalam mana akuan amanah tersebut hanya wujud pada tahun 1980 setelah 10 tahun tanah dibeli dan hanya dibawa kepengetahuan defendan pertama dalam tahun 2011 kira-kira 31 tahun setelah akuan amanah dikatakan dibuat.
[25] SP1 Maniam a/l Thangavelu adalah saksi plaintif yang turut menurunkan tandatangan ke atas surat akuan amanah “P1” tersebut bersama seorang lagi saksi dalam “P1” bernama Verappan yang telah meninggal dunia. . Semasa
21
diperiksa balas oleh peguamcara defendan, SP1 mengatakan bahawa beliau telah dibawa ke pejabat peguam tanpa diberitahu oleh plaintif tentang tujuan dan hanya apabila berada di pejabat peguam beliau telah diminta menurunkan tandatangan sebagai saksi dokumen yang telah disediakan. SP1 mengatakan ketika di pejabat peguam terdapat sama Verrapan dan defendan pertama yang ketika itu berumur 50an dan beliau melihat defendan pertama hanya berdiam diri tetapi kemudian menurunkan cap jari ke atas dokumen yang telah disediakan itu. SP1 mengatakan dari pengetahuan beliau defendan pertama hanya bertutur dalam bahasa Tamil tetapi beliau tidak tahu jika defendan pertama adalah seorang yang buta huruf. Semasa pemeriksaan semula SP1 mengatakan turut berada di pejabat peguam ialah suami defendan pertama.
Hujahan peguamcara plaintif
[26] Peguamcara yang bijaksana mewakili plaintif menghujahkan pindahmilik tanah terlibat yang telah dibuat kepada defendan kedua telah menjadi tersangkal (defeasible) di bawah seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara
22
1965 disebabkan instrument pindah milik tersebut tersebut dibuat berdasarkan kepada perlakuan pecah amanah dan secara penipuan oleh defendan-defendan. Peguamcara prinsip undang-undang yang berkaitan dengan isu “indefeasibility of title” telah diputuskan di dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San & Ors [2010] 2 MLJ 1 FC bagi menyokong hujahannya. Peguamcara menghujahkan bahawa plaintif telah membuktikan wujudnya “Declaration of Trust” iaitu “P1” melalui keterangan palintif dan keterangan SP1 yang menjadi saksi di dalam “P1” tersebut.
Hujahan peguamcara defendan-defendan
[27] Peguamcara defendan-defendan menghujahkan bahawa keputusan dalam kes Nallammal & Anor v Karuppan & Anor [1993] 3 MLJ 476 yang telah memutuskan bahawa cap jari defendan pertama di dalam eksibit “D6” iaitu surat yang membenarkan cagaran tanah Lot 238 kepada pihak bank telah didapatkan secara frod terhadap defendan pertama adalah fakta yang konsisten dengan isu cap jari defendan pertama yang terdapat dalam eksibit “P1”. Peguamcara defendan menghujahkan kewujudan surat deklarasi amanah “P1” tersebut hanya diwujudkan pada
23
tahun 1980 setelah kira-kira 10 tahun tanah dibeli atau lima tahun setelah tanah dipindah milik di atas nama defendan pertama dan hanya dikemukakan oleh plaintif dalam tahun 2011 iaitu kira-kira 30 tahun. Tiada penjelasan diberikan dimana “P1” tersebut disimpan sekian lama dan samada defendan pertama pernah ditujukkan dokumen tersebut. Peguamcara selanjutnya menghujahkan, ketika kes tindakan yang difailkan oleh defendan pertama bagi mendapatkan semula tanah yang dicagarkan secara frod oleh Karuppan, plaintif juga tidak pernah membangkitkan tanah tersebut adalah tanah plaintif yang dipegang secara amanah oleh defendan pertama. Pegumacara selanjutnya menghujahkan sebaik mengetahui tetrdapatnya “PI” yang dikatakan mempunyai cap jarinya, defendan pertama telah menafikan kepada pihak polis tentang cap jarinya dan seterusnya defendan pertama membuat laporan polis ke atas “P1” tersebut. Peguamcara menghujahkan keterangan yang terdapat melihatkan cap jari defendan pertama jika benar seperti yang dilihatkan dalam “P1” telah didapatkan secara salah dan dengan cara memperdayakan defendan pertama yang tidak tahu membaca dan menulis meletakkan cap jarinya. “PI’ adalah keseluruhannya dalam bahasa Inggeris dan dengan itu tiada keterangan yang credible jika
24
kandungan “P1” tersebut difahami oleh defendan pertama. Peguamcara juga menghujahkan bahawa keputusan Mahkamah Tinngi Kuala Lumpur di dalam kes yang sama juga telah menisytiharkan defendan pertama sebagai pemilik berdaftar tanah Lot 238 dan plaintif tidak pernah membangkitkan atau mempertikaikannya sehingga tahun 2011. Peguamcara menghujahkan tindakan plaintif mempertikaikan milikan tanah tersebut hanya setelah defendan pertama memindah milik tanah tersebut kepada defendan kedua pada tahun 2011 dan disebabkan plantif telah tidak berpuas hati kerana defendan pertama telah tidak menghiraukan plaintif sejak plaintif mengambil keputusan untuk keluar dari rumah defendan pertama selepas plaintif berkahwin akibat berlakunya perselisihan faham dan sejak tahun 1984 plaintif telah tidak lagi berhubungan dengan defendan pertama sehingga kini. Defendan kedua mengatakan hubungan plaintif dan ibu bapa plaintif menjadi renggan setelah plaintif enggan membayar kembali wang RM2,000 yang dipinjamkan oleh bapa plaintif kepada plaintif semasa plaintif jatuh sakit. Peguamcara seterusnya menghujahkan surat akuan deklarasi amanah tersebut tidak pernah didaftarkan dengan Pejabat Tanah di bawah seksyen 344 Kanun Tanah Negara 1965 bagi tujuan memberi
25
makluman tentang hak plaintif ke atasd tanah dan tiada penjelasan diberikan ke atasnya walau pun terdapat tempoh masa yang lama baginya didaftarkan.
Findings dan keputusan mahkamah
[28] Isu utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah samada terdapat satu surat deklarasi amanah yang sempurna dan sah yang telah dilaksanakan oleh defendan pertama bagi faedah plaintif berkaitan tanah tersebut.
[29] Defendan pertama menafikan terdapatnya surat deklarasi amanah sedemikian. Plaintif sebaliknya mengatakan surat deklarasi amanah tersebut iaitu “P1” telah dilaksanakan oleh defendan pertama.
[30] Setelah menimbangkan keterangan yang ada secara totaliti, mahkamah ini menerima keterangan defendan pertama sebagai saksi yang jujur dan credible bahawa tanah Lot 238 tersebut adalah dimiliki oleh defendan pertama dan tidak dipegang sebagai amanah bagi faedah plaintif. Mahkamah berpendapat versi saksi-saksi defendan adalah lebih munasabah dan meyakinkan untuk diterima
26
berbanding dengan versi plaintif. Alasan-alasan mahkamah memutuskan sedemikian adalah di asaskan kepada perkara berikut:
(a) ketika tanah Lot 238 dan Lot 239 dibeli pada tahun 1971 plaintif iaitu anak kedua defendan pertama hanya berumur 21 tahun dan dikatakan baru mula bekerja. Plaintif tidak membawa sebarang keterangan bagaimana beliau boleh atau berupaya membayar kembali pinjaman RM10,000 yang diambil sedangkan defendan pertama membawa keterangan yang tidak dicabar bahawa defendan pertama bekerja sebagai penoreh getah sejak 25 tahun dan hasil pendapatan tersebut digunakan oleh defendan pertama dan mendiang suaminya untuk membayar kembali wang pinjaman RM10,000 yang diselesaikan pada tahun 1975. Sepanjang keterangan plaintif tidak ada dinyatakan berapakah bayaran bulanan dan bagaimanakah plaintif membayar semula jumlah pinjaman kepada pemberi pinjaman dari tahun 1971 hingga selesai pada tahun 1975. Oleh itu mahkamah ini menerima dan memutuskan
27
bahawa pinjaman wang RM10,000 adalah dibayar semula sepenuhnya oleh defendan pertama dan bukannya oleh plaintif;
(b) tiada sebarang usaha atau bukti dilihatkan oleh plaintif untuk menunjukkan tanah yang dibeli pada tahun 1971 tersebut khasnya Lot 238 adalah dibeli bagi faedah plaintif dan dipegang dibawah amanah untuk faedah plaintif oleh pemberi pinjaman wang;
(c) kedua-kedua tanah Lot 238 dan Lot 239 dibeli dibawah pinjaman RM10,000 yang sama. Setelah pinjaman selesai dibayar, defendan pertama telah memindah milik tanah tersebut ke atas nama Karupayee iaitu menantu perempuannya (SD3). Tiada bantahan dibuat oleh plaintif bagi pindah milik tersebut yang dibuat sebaik pinjaman RM10,000 diselesaikan. Jika Lot 238 dikatakan dibeli bagi plaintif dan dipegang dibawah amanah untuk plaintif maka adalah tidak konsisten untuk Lot 239 tidak berada dalam situasi yang sama kerana ianya dibeli dari wang pinjaman RM10,000.
28
Kesimpulan yang boleh dibuat oleh mahkamah di atas ketiadaan bantahan oleh plaintif bagi pindahan Lot 239 adalah kerana plaintif tiada kepentingan ke atas pembelian kedua-dua lot tersebut kecuali membantu pembelian dengan membenarkan namanya digunakan bagi mendapatkan pinjaman dari kedua-dua peminjam;
(d) defendan pertama telah melihatkan bahawa semua cukai tanah bagi Lot 238 sehinggalah tahun 2011 adalah dibayar oleh defendan pertama dan ianya tidak dicabar oleh plaintif;
(e) keterangan juga menunjukkan sejak tanah Lot 238 dibeli, defendan pertama telah mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman kelapa sawit dan tiada pada sebarang masa atau peringkat plaintif mempertikaikan hak defendan pertama mengusahakan dan mengambil hasil daripada tanah tersebut walau pun mulai tahun 1984 plaintif telah tidak lagi berbaik dengan defendan pertama iaitu ibunya sehingga sekarang;
29
(f) plaintif juga tidak melihatkan sebarang usaha atau membawa sebarang keterangan bagi menunjukkan kepentingan plaintif ke atas lot 238 dijaga sejak dari Lot 238 tersebut dipindah nama kepada defendan pertama pada tahun 1975 selepas pinjaman selesai di bayar sehingga tahun 1980 apabila dikatakan defendan pertama melaksanakan surat akuan deklarasi amanah “P1”;
(g) ketika tanah tersebut secara salah dan secara frod dicagarkan oleh Karuppan kepada Bank Buruh, plaintif tidak melihatkan sebarang perlakuan sebagai pemilik benefisiari tanah untuk mempertahankan kepentingannnya, sebaliknya semua tindakan guaman dan kos guaman diusahakan dan dibayar oleh defendan pertama yang juga menjadi saksi dalam kes itu dan mendiang suami defendan pertama;
(h) sekiranya terdapat surat deklarasi amanah yang dikatakan telah disempurnakan oleh defendan pertama berkaitan tanah tersebut pada tahun
30
1980, plaintif tidak pernah menimbulkan terdapatnya “P1” tersebut sepanjang tindakan guaman yang dibawa oleh defendan pertama bagi mendapatkan kembali Lot 238 daripada pihak bank di atas kegagalan Karuppan membayar balik pinjaman bank yang telah diambil secara frod secara memperdayakan defendan pertama bagi menurunkan cap jari ke atas surat kebenaran pemilik tanah bagi menggadaikan tanah sebagai sekuriti pinjaman;
(i) apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui kes Nallamal & Anor v Karuppan & Anor, Guaman No. F449-1985 [1993] 3 MLJ 476 yang dibawa oleh defendan pertama yang memutuskan defendan pertama adalah pemilik berdaftar sah ke atas tanah Lot 238, tiada sebarang perlakuan atau tindakan oleh plaintif bagi mencabar atau membetulkan fakta yang diputuskan sekiranya plaintif memiliki surat deklarasi amanah “P1”;
(j) tiada sebarang keterangan dibawa oleh plaintif tentang siapa dan dimana “P1” disimpan sejak
31
tahun 1980 dan hanya dikemukakan oleh plaintif pada tahun 2011 iaitu selepas 30 tahun;
(k) tiada keterangan oleh plaintif untuk melihatkan terdapatnya sebarang usaha sejak tahun 1980 hingga 2011 bagi menunjukkan atau mengemukakan kepada defendan pertama tentang terdapatnya “P1”. Jika terdapatnya “P1” tersebut, plaintif dengan mudah boleh melampirkan “P1” tersebut bagi disimpan bersama geran hakmilik tetapi telah tidak berbuat demikian;
(l) tiada sebarang usaha oleh plaintif bagi mengisytiharkan terdapatnya “P1” dengan cara membuat endorsement di pejabat tanah bagi hak milik dibuat catitan bahawa Lot 238 tersebut dipegang sebagai amanah untuk faedah plaintif;
(m) defendan pertama telah menafikan cap jari di “P1” adalah milik defendan pertama. Tiada keterangan sebaliknya oleh plaintif yang dapat menyangkal penafian plaintif tersebut samada secara
32
mendapatkan keterangan perbandingan cap jari. Sebaliknya keterangan plaintif adalah konsisten dengan jumpaan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dalam kes guaman F499 Tahun 1985 bahawa cap jari defendan pertama ke atas surat membenarkan gadaian (D6) telah diperolehi secara frod daripada responden pertama;
(n) adalah fakta yang tidak dipertikaikan bahawa defendan pertama adalah seorang yang buta huruf dan hanya faham berbahasa Tamil. Fakta bahawa defendan menurunkan cap jari melihatkan defendan adalah seorang yang buta huruf. Plaintif tidak dapat membuktikan dengan keterangan yang credible bahawa “P1” yang kesemuanya disediakan dalam bahasa Inggeris telah diterjemahkan ke bahasa Tamil dengan betul oleh peguam dengan difahami dan disetujui oleh defendan pertama ke atas kandungannya;
(o) pada setiap masa (kecuali ketika tempoh geran di dalam gadaian di Bank Buruh) defendan pertama menyimpan geran hakmilik tanah tersebut plaintif
33
tidak pernah memintanya daripada defendan pertama. Perlakuan plaintif tersebut yang langsung tidak melihatkan sebarang minat untuk mendapatkan salinan geran bagi simpanannya adalah konsisten dengan perlakuan seorang yang bukan pemilik dan tiada kepentingan ke atas tanah;
(p) saksi SP1 sendiri tidak pasti jika defendan pertama faham dan mengetahui tentang kandungan “P1” ketika dikatakan berada di pejabat peguam (yang mana defendan pertama menafikan ada hadir);
(q) berlaku kelewatan yang melampau dan “laches” untuk plaintif setelah 31 tahun untuk datang dengan mengatakan terdapatnya satu surat ikatan deklarasi amanah (“P1”) (yang dipertikaikan oleh defendan pertama) tanpa memberikan sebarang penjelasan apakah yang telah dilakukan oleh plaintif dalam tempoh tersebut untuk menjaga kepentingannya ke atas tanah tersebut;
34
(r) tiada sebarang keterangan dibawa oleh plaintif bahawa defendan kedua telah bersubahat atau melakukan penipuan atau salahnyataan atau frod atau pecah amanah ke atas dalam pindah milik tanah terlibat kepada defendan kedua.
[31] Adakah defendan telah melakukan perlakuan penipuan? Mahkamah tidak mendapati sebarang keterangan dan bentuk penipuan yang didakwa sebagai telah dilakukan oleh defendan pertama. Tidak ada sebarang salahnyataan oleh defendan pertama terhadap plaintif dan tidak ada juga sebarang pemalsuan dokumen oleh defendan pertama. Oleh itu satu-satunya isu yang perlu diputuskan ialah samada defendan pertama telah melakukan satu perlakuan pecah amanah. Plaintif perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa wujud satu amanah (trust) untuk membolehkan satu perlakuan pecah amanah berlaku. Dengan yang demikian plaintif perlu membuktikan bahawa surat deklarasi amanah “P1” adalah sah dan telah dilaksanakan dengan sempurna oleh defendan pertama. Tanpa terdapatnya satu surat ikatan amanah yang sah maka defendan pertama tidak boleh dikatakan sebagai telah melakukan satu pecah amanah. Terdapat banyak keraguan yang gagal dijelaskan oleh
35
plaintif bagi membuktikan “P1” telah disempurnakan oleh defendan pertama dengan sukarela dan dengan pengetahuan penuh defendan pertama (Ng Chin Sia & lain-lain v Ng Kian Seng & satu lagi [2009] 7 MLJ 133). Tiada keterangan dibawa untuk membuktikan defendan pertama benar-benar memahami penerangan dalam bahasa Tamil yang dikatakan dibuat oleh peguam bernama Meredith Coelho ke atas plaintif. Adalah fakta yang tidak dipertikaikan bahawa plaintif adalah seorang yang buta huruf, tidak tahu menulis dan membaca dan hanya bertutur dalam bahasa Tamil. Semua kandungan “P1” adalah disediakan dalam bahasa Inggeris dan tiada nyataan di bawah “P1” tersebut yang kandungan “P1” telah diterangkan atau dijelaskan atau diterjemahkan kepada defendan pertama. Defendan pertama mempertikaikan ada menurunkan cap jari ke atas “P1”. Plaintif tidak memanggil peguam Meredith Coelho bagi menjelaskan keraguan tersebut. “P1” adalah dikatakan disediakan oleh peguam tersebut dan terdapat cop nama dan tandatangan peguam tersebut di dalam “P1”. Tiada penjelasan mengapa Meredith Coelho tidak boleh dipanggil bagi memberi keterangan. Tiada penjelasan siapa yang mendapatkan dan bagaimana cap jari defendan pertama diturunkan dalam “P1”. Tiada keterangan adakah peguam
36
tersebut yang menyimpan surat deklarasi amanah “P1” setelah ianya disempurnakan. Cop cukai stem di “P1” melihatkan surat deklarasi amanah itu dimatikan stem pada 18.1.1980. Ini bermakna “P1” belum lagi sempurna pada tarikh 14.1.1980 ketika dimasuki kerana urusan mematikan stem ke atasnya cuma dibuat pada 18.1.1980. Tiada penjelasan bagaimana dan kepada siapa “P1” diserahkan selepas urusan mematikan stem dibuat. Persoalan atau keraguan tersebut hanya boleh dijawab jika Meredith Coelho dipanggil bagi memberi keterangan. Mahkamah dengan ini menggunapakai peruntukan anggapan yang tidak memihak kepada plaintif iaitu seksyen 114(g) Akta Keterangan 1980 di atas kegagalan plaintif memanggil saksi tersebut. Plaintif telah gagal membuktikan terdapatnya satu surat deklarasi amanah (“P1”) yang sah.
Kesimpulan
[32] Setelah menimbangkan keterangan yang ada, dan seperti yang telah dihuraikan di atas, adalah dapatan dan kesimpulan oleh mahkamah ini bahawa plaintif telah gagal membuktikan kes plaintif tanpa keraguan yang munasabah dalam maksud standard beban pembuktian kes sivil yang
37
mahkamah ini telah nyatakan di awal penghakiman ini (Chu Choon Moi v Nga Siew Tin [1985] 1 LNS 134; [1986] 1 MLJ 34). Mahkamah tidak mendapati sebarang keterangan yang dapat mencabar atau menyangkal hak “indefeasiability” defendan kedua ke atas pemilikan sah tanah terlibat di bawah seksyen 340(1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara 1965. Writ saman dan tuntutan plaintif dengan itu ditolak dengan kos. Di atas keterangan yang terdapat juga, mahkamah membenarkan tuntutan balas oleh defendan pertama bagi deklarasi bahawa surat deklarasi amanah “P1” tersebut adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan undang-undang. Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM10,000 dibayar oleh plaintif kepada defendan-defendan.
Bertarikh 30 Oktober 2012
t.t.
(DATUK YAACOB BIN HAJI MD.SAM)
Hakim
Mahkamah Tinggi Malaya
Shah Alam, Selangor
38
Peguamcara bagi pihak plaintif:
George Proctor (Tetuan Y.S. Woo & Proctor)
Peguamcara bagi pihak defendan pertama dan kedua:
Murnie Hidayah
Nur Zalique
(Tetuan Abd Halim Ushah & Assoc.)

MAKLUMAT DALAM TALIAN.COM

A.        TAJUK KURSUS YANG DI TAWARKAN

1. PENGENALAN KEPADA KTN
2. SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA
3. KUASA MENANGKAP DAN MENAHAN MENGIKUT KTN DAN CPC
4. PROSEDUR TANGKAPAN DAN PENAHANAN
5. LAPORAN POLIS DAN FIR
6. PENGURUSAN BARANG KES
7. INTIPATI KESALAHAN MENGIKUT SEKSEN 425
8. INTIPATI KESAHAN MENGIKUT SEKSEN 426
9. PERAMPASAN DAN LUCUT HAK BARANG KES
10. KUASA MENYIASAT DAN KTN DAN CPC
11. KAEDAH MERAKAM PERCAKAPAN
12. MENGURUSKAN OKT DARI AWAL HINGGA AKHIR
13. PENYEDIAN KERTAS SIASATAN
14. PENYEDIAAN FAKTA KES DAN PERTUDUHAN
15.RUJUKAN KES KEPADA TPR
16. PENDAFTARAN KES DAN BORANG-BORANG MAHKAMAH
17. AKTA KETERANGAN 
18. TUGAS DAN PERANAN PEGAWAI PENDAKWA
19. TEKNIK BERHUJAH
20. PENGHUKUMAN.
21. OPERASI MEMUSNAH DAN PELAN KONTIGENSI.
22. PENCEROBOHAN TANAH MILIK DAN MENYELESAIANNYA
23. BONOS - PECEROBOHAN TANAH MILIK DAN PENYELESAIAN
                  PELAN A, PELAN B, PELAN C, PELAN D, PELAN E, PELAN F.
                  AFFIDAVIT DAN KES –KES DULUAN MAHKAMAH

A.    SASARAN PESERTA

1.      PENOLONG PEGAWAI TANAH
2.      PENOLONG PENTADBIR TANAH
3.      KETUA PENOLONG PENTADBIR TANAH
4.      PENTADBIR TANAH
5.      PEGAWAI PENYIASAT SPRM
6.      PEGAWAI PENYIASAT PDRM
7.      PELAJAR UNIVERSITI YANG BERKAITAN
8.      PERUNDING HARTA TANAH
9.      LAIN-LAIN PEGAWAI YANG DILANTIK DI BAWAH S. 12 KTN
10.  LAIN-LAIN YANG BERMINAT DAN PEMILIH TANAH YANG BERMASALAH.

B.    JANGKA MASA – HUJUNG MINGGU SABTU DAN AHAD/RUNDINGAN
C.   TEMPAT – TAIPING ATAU DITENTUKAN PEMOHON
D.   BAYARAN 1 HARI RM 1000.00.

No comments:

Post a Comment