Thursday 7 November 2013

Pengurusan Tukar Syarat Tanah - laporan audit negara

AKTIVITI JABATAN/AGENSI DAN PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI
1. PEJABAT DAERAH DAN TANAH KERIAN
PEJABAT DAERAH DAN TANAH KAMPAR

- Pengurusan Tukar Syarat Tanah

1.1. Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) bertanggungjawab terhadap urusan pengurusan
tanah seperti tukar syarat, pelupusan tanah dan urus niaga tanah lain bagi Daerah Kerian
dan Kampar. Tugas dan peranan tersebut berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN),
Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan undang-undang serta peraturan-peraturan lain.
Mengikut Seksyen 52(1) KTN, jenis penggunaan tanah ditetapkan kepada 3 kategori iaitu
pertanian, bangunan dan industri. Tanah yang diberi milik di bawah satu daripada 3 kategori
tersebut dikenakan syarat nyata oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) jika ia tidak
bertentangan dengan syarat tersirat. Seksyen 124 KTN pula memperuntukkan pemilik tanah
boleh memohon kepada PBN untuk menukar kategori penggunaan tanah, membatalkan atau
meminda sebarang syarat nyata atau sekatan, atau mengenakan syarat nyata yang baru
atau sekatan untuk membolehkannya mengguna atau memajukan tanah tersebut bagi
maksud lain yang dibenarkan.
1.2. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga September 2012 di PDT
Kerian dan PDT Kampar antara bulan Disember 2012 hingga Februari 2013 mendapati
secara keseluruhannya pengurusan tukar syarat kegunaan tanah adalah kurang memuaskan
kerana terdapat beberapa kelemahan seperti berikut:

 Permohonan tukar syarat tanah lewat diselesaikan.
 Sebanyak 125 kes pelanggaran syarat tanah berlaku.
 Kelemahan dalam penguatkuasaan pelanggaran syarat tanah.

1.3. Bagi memastikan pengurusan tukar syarat tanah diurus dengan cekap dan berkesan,
adalah disyorkan pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan berikut:

1.3.1. PTG dan PTD mengkaji tatacara dan dasar-dasar umum yang lebih praktikal
berhubung penukaran syarat tanah sebagaimana yang dinyatakan dalam Pekeliling Ketua
Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bil. 1 Tahun 2003 berkenaan Tatacara
Penggunaan Tanah Pertanian Bagi Tujuan Yang Tiada Berkaitan Dengan Pertanian
(Disemak 2009) untuk pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
1.3.2. PTD hendaklah menasihatkan Pemilik Tanah supaya memohon kelulusan menukar
syarat tanah secara keseluruhan atau sebahagian daripada lot tanah yang aktivitinya tidak
selaras dengan syarat nyata tanah.

LAPORAN PENUH

PENGURUSAN TUKAR SYARAT TANAH

1.1. LATAR BELAKANG

1.1.1. Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) bertanggungjawab terhadap urusan pengurusan
tanah seperti tukar syarat, pelupusan tanah dan urus niaga tanah lain bagi Daerah Kerian
dan Kampar. Tugas dan peranan tersebut berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN),
Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan undang-undang serta peraturan-peraturan lain.
Mengikut Seksyen 52(1) KTN, jenis penggunaan tanah ditetapkan kepada 3 kategori iaitu
pertanian, bangunan dan industri. Tanah yang diberi milik di bawah mana-mana satu
daripada 3 kategori tersebut akan dikenakan syarat nyata oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN)
bagi kategori berkaitan. Seksyen 124 KTN pula memperuntukkan pemilik tanah boleh
memohon kepada PBN untuk menukar kategori penggunaan tanah, membatalkan atau
meminda sebarang syarat nyata atau sekatan dengan mengenakan syarat nyata yang baru.
1.1.2. Bagi tempoh tahun 2009 hingga 2012, Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Kerian
dan PDT Kampar telah menerima sebanyak 222 permohonan tukar syarat kategori dan tukar
syarat nyata tanah. Butiran lanjut seperti di Jadual 1.1.
Jadual 1.1
Populasi Permohonan Tukar Syarat Tanah
Bagi Tempoh Tahun 2009 Hingga 2012
Tahun
Bilangan Permohonan Tukar Syarat

 Tahun                                  Daerah Kerian           Daerah Kampar              Jumlah
2009                                              34                          3                                 37
2010                                              74                          6                                 80
2011                                              68                         12                                80
2012                                              19                          6                                 25
Jumlah                                          195                        27                               222

Sumber: Rekod PDT Kerian Dan Kampar

1.2. OBJEKTIF PENGAUDITAN

Objektif pengauditan adalah untuk menilai sama ada pengurusan tukar syarat tanah
dilaksanakan dengan cekap dan berkesan serta mematuhi peraturan dan undang-undang
ditetapkan.

1.3. SKOP DAN METODOLOGI PENGAUDITAN

Skop pengauditan meliputi aktiviti pengurusan tukar syarat tanah di Pejabat Daerah Dan
Tanah Kerian (PDT Kerian) dan Pejabat Daerah Dan Tanah Kampar (PDT Kampar) bagi
tempoh tahun 2009 hingga 2012. Pengauditan dijalankan dengan menyemak, mengkaji dan
menganalisis maklumat berasaskan rekod, fail, data dan dokumen berkaitan dengan
pengurusan dan aktiviti tukar syarat tanah. Sebanyak 222 permohonan tukar syarat tanah
bagi tempoh tahun 2009 hingga 2012 telah disemak. Maklumat aktiviti di atas tanah
berkaitan juga diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan pengauditan.
Selain itu, temu bual dengan pegawai dan kakitangan terlibat dengan tukar syarat tanah
diadakan bagi tujuan pengesahan maklumat. Lawatan ke lokasi yang terpilih turut dilakukan
bagi menentukan sama ada terdapat unsur pelanggaran syarat kegunaan tanah.

1.4. PENEMUAN AUDIT

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Disember 2012 di PDT Kerian dan
PDT Kampar antara bulan Disember 2012 hingga Februari 2013 mendapati pengurusan
tukar syarat kegunaan tanah adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa
kelemahan seperti berikut:

 Permohonan tukar syarat tanah lewat diselesaikan.
 Sebanyak 125 kes pelanggaran syarat tanah berlaku.
 Kelemahan dalam penguatkuasaan pelanggaran syarat tanah.

1.4.1. Prestasi Permohonan Tukar Syarat Tanah

1.4.1.1. Pencapaian Permohonan Tukar Syarat Tanah
Permohonan tukar syarat tanah kepada Pentadbir Tanah adalah bertujuan untuk
mengenakan atau mengubah syarat penggunaan tanah sama ada daripada tanah
kategori pertanian kepada bangunan atau industri ataupun mengubah syarat nyata tanah
daripada pertanian kepada pertanian lain (jenis tanaman). Berdasarkan Daftar Ubah
Syarat Tanah, sebanyak 222 permohonan tukar syarat tanah diterima bagi tempoh tahun
2009 hingga 2012. Daripada jumlah tersebut sebanyak 27.5% permohonan diluluskan,
53.6% belum selesai dan bakinya 18.9% permohonan ditolak kerana tidak memenuhi
syarat. Selain itu, dokumen permohonan tidak lengkap menyebabkan permohonan tidak
dapat diproses dan sebagainya.

Sumber: Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian Dan Kampar

1.4.1.2. Permohonan Tukar Syarat Tanah Lewat Diselesaikan

a. Analisis Audit terhadap 58 permohonan tukar syarat mendapati hanya satu
permohonan diselesaikan dalam tempoh 3 bulan iaitu mengikut tempoh piagam
pelanggan manakala 31 permohonan diselesaikan dalam tempoh antara 4 hingga 31
bulan daripada tarikh terima permohonan. Baki 26 permohonan lagi belum selesai
walaupun telah diterima sejak 4 hingga 44 bulan seperti di Jadual 1.3.

Sumber: Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian Dan Kampar

b. Permohonan tukar syarat tanah lewat diselesaikan antaranya kerana wujud birokrasi
dalaman yang mengakibatkan kelewatan urusan laporan dalaman seperti penyediaan
laporan Pelukis Pelan, laporan tanah, ulasan jabatan-jabatan teknikal dan
penyediaan kertas ringkasan kepada Pihak Berkuasa Negeri. Sehingga ke tarikh
akhir pengauditan, 2 contoh permohonan tukar syarat tanah yang disemak di PDT
Kampar dan PDT Kerian masih belum diluluskan walaupun permohonan masingmasing
diterima 15 November 2011 dan 30 Mac 2009.

c. Mengikut maklum balas PDT Kampar bertarikh 17 Mei 2013, kedudukan 20 kes
belum selesai adalah seperti berikut:
i. Enam kes telah diluluskan di bawah bidang kuasa Pentadbir Tanah.
ii. Lima permohonan tukar syarat tanah perlu tindakan atau pembetulan pihak
pemohon kerana permasalahan dokumentasi dan sekatan kepentingan.
iii. Tujuh kes dalam proses perakuan Pentadbir Tanah dan penyediaan kertas
perakuan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
iv. Dua permohonan tukar syarat tanah masih dalam tindakan PDT.

d. Manakala maklum balas PDT Kerian, kedudukan permohonan belum selesai
setakat 15 Mei 2013 adalah 68 kes dan 55 kes daripadanya adalah permohonan
tukar syarat tanah pertanian kepada ternakan ikan arowana. Kes permohonan
tukar syarat tanah melibatkan ternakan ikan arowana boleh diselesaikan segera
setelah Garis Panduan Perancangan Ternakan Ikan Hiasan Arowana diluluskan
oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 23 Januari 2013 dan kelulusan adalah di
bawah bidang kuasa Pentadbir Tanah. PDT Kerian juga telah mengadakan
mesyuarat jawatankuasa Pemprosesan Teknikal Bersepadu (JPTB) bersamasama
jabatan berkaitan secara berkala bagi memperoleh ulasan teknikal
dengan kadar lebih cepat.
e. Maklum balas PTG bertarikh 6 Jun 2013 pula adalah seperti berikut:
i. Pelaksanaan pemantauan dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa
Tunggakan setiap bulan.
ii. Menyusun dan menyelaras semula proses kerja dengan menetapkan
tempoh tindakan diselesaikan dalam tempoh 3 bulan.
iii. Menggalakkan PDT mengguna pakai Jawatankuasa Pemprosesan Teknikal
Bersepadu untuk menyegerakan ulasan teknikal secara kolektif.
iv. Menyediakan dokumen senarai semak keperluan dokumen bagi
mengelakkan kelewatan.

Pada pendapat Audit, prestasi pengurusan permohonan tukar syarat tanah kurang
memuaskan kerana permohonan tukar syarat tanah tidak dapat diselesaikan selaras
dengan tempoh yang ditetapkan dalam piagam pelanggan.

1.4.2. Pelanggaran Syarat Tanah
Tanah yang diberi milik mengikut KTN dikategorikan kepada 3 penggunaan tanah iaitu
“pertanian”, “bangunan” dan “industri”. Pemilik tanah di bawah sesuatu kategori penggunaan
tanah tertakluk kepada syarat nyata seperti yang ditetapkan oleh PBN dan syarat-syarat
tersirat sebagaimana ditetapkan dalam Bab 3, Bahagian 7, KTN 1965. Syarat nyata
dikenakan apabila pemberimilikan tanah diluluskan dan dicatat dalam dokumen hak milik
tanah seperti tanah kategori pertanian ditetapkan syarat nyata jenis tanaman “Tanaman
Makanan - Padi”. Mengikut Seksyen 124 KTN 1965, tuan punya tanah bermilik boleh
memohon untuk menukar, membatalkan atau meminda sebarang syarat tanah dan sebarang
pembangunan atau penggunaan tanah selain daripada yang dibenarkan adalah suatu
pelanggaran syarat dan boleh diambil tindakan di bawah Bab 5, Bahagian 7, KTN 1965.
Semakan Audit terhadap beberapa dokumen permohonan tukar syarat tanah dan lawatan
Audit di beberapa lokasi mendapati berlaku 125 kes perlanggaran syarat tanah. Butiran
lanjut adalah seperti di Jadual 1.5.

1.4.2.1. Ternakan Ikan Hiasan Di Atas Tanah Pertanian
Bagi tempoh tahun 2009 hingga 2012, sebanyak 66 permohonan tukar syarat tanah
daripada syarat tanaman padi, dusun dan kelapa sawit kepada ternakan ikan hiasan iaitu
63 permohonan di Daerah Kerian dan 3 permohonan di Daerah Kampar telah diterima
oleh Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian dan Pejabat Daerah Dan Tanah Kampar.
Bagaimanapun, kesemua permohonan tersebut masih belum diluluskan. Semakan Audit
mendapati perkara seperti berikut:
a. Ternakan Ikan Arowana Di Bukit Merah, Kerian
i. Ternakan Ikan Arowana Beroperasi Sebelum Permohonan Diluluskan
Walaupun permohonan tukar syarat tanah belum diluluskan bagi 63 permohonan
di Daerah Kerian, kesemua kawasan yang terlibat telah pun menjalankan aktiviti
ternakan arowana secara aktif. Terdapat juga kawasan yang dibangunkan untuk
aktiviti ternakan ikan arowana tanpa mengemukakan permohonan tukar syarat
tanah kepada pihak PDT Kerian. Sehingga tarikh pengauditan, kesemua
permohonan ini belum diluluskan dan cukai tanah dikenakan atas kadar tanaman
padi, dusun atau kelapa sawit. Berdasarkan 44 fail yang disemak, pengiraan
Audit menunjukkan Kerajaan Negeri boleh memperolehi cukai tanah tahunan
dianggarkan berjumlah RM443,124 setahun bagi jenis industri ternakan
berbanding yang dikutip atas kadar tanah pertanian sejumlah RM1,053 setahun.
Secara umumnya ketirisan hasil Kerajaan setahun adalah berjumlah RM442,081
sekiranya tanah tersebut masih berstatus tanaman padi dan tidak ditukar kepada
syarat nyata tanah yang baru. Pengiraan ini berdasarkan maklumat yang dicatat
dalam laporan siasatan tanah dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Bil.1608
pada Januari 2010 setelah membincangkan Kertas Mesyuarat Bil.135/27/1/2010
berhubung cadangan mengezonkan kawasan ternakan ikan hiasan (arowana)
seluas lebih kurang 389 hektar. Majlis Mesyuarat Kerajaan antaranya
memutuskan “mengenakan penjenisan tanah industri dan syarat nyata tanah
sebagai tapak ternakan ikan arowana serta dikenakan premium tambahan dan
cukai tanah yang baru mengikut kadar yang ditetapkan di dalam Kaedah Tanah
Perak 1966 (Pindaan 2005)”. Sehingga akhir tahun 2012, semua permohonan
tukar syarat tanah untuk ternakan arowana masih tidak diproses untuk kelulusan
kerana dasar atau syarat-syarat teknikal yang dipersetujui oleh Jabatan-jabatan
Teknikal belum diterima seperti zon penampan iaitu keperluan jarak tapak, rezab
sistem pengairan dan saliran serta kediaman dan industri. Butiran lanjut adalah
seperti di Jadual 1.6 manakala sebahagian kolam ternakan ikan arowana terlibat

ii. Ternakan Ikan Arowana Di Luar Zon Ditetapkan
Luas kawasan ternakan yang telah diluluskan untuk zon industri ikan arowana
oleh Kerajaan Negeri adalah seluas 389.01 hektar. Semakan Audit mendapati
sebanyak 10 kes aktiviti ternakan ikan arowana diusahakan di luar zon yang
ditetapkan sebagai kawasan ternakan ikan arowana seperti di Peta 1.1.
Sebahagian daripada lot ternakan ikan arowana terlibat tidak mendapat
sokongan daripada Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian
Bersepadu (IADA) Kerian Sungai Manik kerana kawasan tersebut termasuk
dalam kawasan jelapang padi dan berkaitan dengan Dasar Jaminan Bekalan
Negara (DJBN). Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Bil.1608
bertarikh 27 Januari 2010, “Pentadbir Tanah Kerian hendaklah mengambil
tindakan penguatkuasaan pelanggaran syarat tanah dengan menutup kolamkolam
baru sekiranya ada di kawasan yang terletak di luar kawasan pengezonan
tersebut”. Sehingga akhir tahun 2012 tiada sebarang tindakan diambil terhadap
10 pemilik tanah terlibat.

iii. Impak Bekalan Air Kawasan Padi
Pihak Audit dimaklumkan oleh Pegawai Pertanian IADA Kerian Sungai Manik
bahawa pada tahun 2010 berlaku kekurangan bekalan air di kawasan padi
Mukim Semanggol. Gangguan bekalan ini berlaku sejak wujudnya aktiviti
pembinaan kolam ikan arowana di kawasan ini. Berdasarkan Laporan Teknikal
IADA bertarikh 12 Disember 2009, kegunaan air bagi kolam yang berkeluasan 1
hingga 2 hektar adalah menyamai keperluan mengairi kawasan padi seluas 12
hingga 15 hektar. Berdasarkan kadar tersebut menunjukkan pembinaan kolam
bagi ternakan ikan arowana boleh memberi impak kepada bekalan air di
kawasan padi.

iv. Mengikut maklum balas PDT Kerian bertarikh 17 Mei 2013, senarai
permohonan tukar syarat tanah yang melibatkan ternakan ikan arowana
telah dihantar kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri
Perak bagi tujuan mendapatkan nilaian tanah untuk pengiraan premium
tambahan yang perlu dikenakan. Surat kelulusan dan Notis 7G akan
dikeluarkan kepada pemohon setelah nilaian tanah diperolehi. Bagi
ternakan ikan arowana di luar zon, Pentadbir Tanah telah mengeluarkan
Notis Pelanggaran Syarat. Jabatan Perikanan bersama dengan agensi
teknikal yang lain perlu menjalankan penguatkuasaan sekurang-kurangnya
6 bulan sekali bagi memantau Kawalan Operasi Perusahaan sebagaimana
ditetapkan di dalam Garis Panduan Perancangan Ternakan Ikan Hiasan
Arowana yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 23 Januari
2013.

b. Ternakan Ikan Hiasan Di Daerah Kampar

Sebanyak 3 lot tanah di Daerah Kampar didapati mengusahakan ternakan ikan
hiasan walaupun permohonan tukar syarat tanah belum diluluskan. Permohonan
tukar syarat tanah telah diterima pada bulan Mei 2012 namun sehingga Februari
2013 permohonan masih lagi dalam proses penyediaan laporan dan siasatan tanah.
Pemeriksaan Audit ke lot tanah berkenaan di Mukim Teja mendapati 23 kolam
ternakan ikan hiasan telah dibina di kawasan seluas 3.64 hektar. Cukai tanah yang
dibayar bagi lot ini masih pada kadar tanaman dusun yang lebih rendah berbanding
kadar mengikut penggunaan tanah sebenar (ternakan ikan). Butiran lanjut seperti di
Gambar 1.3 dan Gambar 1.4. Mengikut maklum balas bertarikh 17 Mei 2013, PDT
Kampar telah mengeluarkan notis pentadbiran bagi menasihati pemilik-pemilik
tanah untuk mengemukakan permohonan tukar syarat tanah dengan segera.

1.4.2.2. Bangunan Perniagaan Di Atas Tanah Pertanian

a. Adalah didapati sebanyak 26 kes pelanggaran syarat tanah kerana bangunan dan
operasi perniagaan dijalankan di atas lot tanah yang belum ditukar syarat. Daripada
26 kes ini, 9 pemilik tanah memohon untuk tukar syarat tanah antara tahun 2009
hingga 2012. Bagaimanapun daripada 9 permohonan ini, didapati satu kes telah
ditolak, satu kes telah diluluskan tetapi terbatal kerana tidak menjelaskan bayaran
premium dalam tempoh yang ditetapkan manakala 7 kes masih belum lulus. Baki 17
kes lagi daripadanya ada membuat permohonan untuk tukar syarat tanah pada tahun
2008 dan tahun sebelum. Namun demikian, hanya satu permohonan yang telah
diluluskan tetapi bayaran premium yang ditetapkan tidak dibayar manakala 7
permohonan tiada maklumat keputusan dalam Buku Mencarta Pelukis Pelan.
Berdasarkan penerangan pegawai Majlis Daerah Kerian, kebanyakan premis
perniagaan terlibat telah beroperasi melebihi 5 tahun. Hasil cukai tanah yang dikutip
selama tempoh premis itu beroperasi pada kadar tanah pertanian adalah jauh lebih
rendah berbanding dengan kadar sebenar mengikut kategori bangunan perniagaan.

Bangunan Perniagaan Di Atas Tanah Pertanian

1. Bagan Serai 0.21 11 Bangunan Perniagaan
2. Bagan Serai 0.16 3 Bengkel Membuat Badan Lori
3. Parit Buntar 0.17 8 Perniagaan Kereta Terpakai
4. Bagan Serai 0.28 3 Pusat Jualan Tayar
5. Kuala Kurau 0.25 5 6 Unit Chalet
6. Kampar 0.45 17 Perniagaan Perabot

Kampar 1.66 51

8. Kampar 0.63 26 Kediaman Pekerja Dan Pejabat
9. Bagan Serai 0.30 5 Bengkel Kereta
10. Bagan Serai 0.31 6 Bengkel Kereta
11. Bagan Serai 0.33 6 Bengkel Kereta
12. Bagan Serai 0.34 15 Bengkel Kereta
13. Bagan Serai 0.23 5 Perniagaan Kereta Terpakai
14. Bagan Serai 0.21 5 Peralatan Elektrik Kereta
15. Bagan Serai 0.31 6 Bengkel Kereta
16. Bagan Serai 0.73 29 Bengkel Kereta
17. Parit Buntar 1.72 27 Bengkel Membaiki Lori
18. Parit Buntar 0.92 15 Bengkel Kereta
19. Parit Buntar 0.79 24 Kedai Batu Bata
20. Parit Buntar 2.32 36 Akademi Latihan Memandu
21. Bagan Serai 0.15 3 Bengkel Kereta
22. Bagan Serai 0.16 3 Membaiki Badan Lori
23. Bagan Serai 0.33 6 Membaiki Kenderaan Berat
24. Parit Buntar 0.64 11 Membaiki Lori
25. Parit Buntar 0.40 8 Membaiki Lori Dan Kereta
26. Parit Buntar 0.73 24 Membuat Khemah Dan Kanopi
Sumber: Rekod Pejabat Tanah Kerian dan Kampar


b. Mengikut maklum balas PDT Kampar bertarikh 17 Mei 2013, lima kes dibatalkan
kerana tamat tempoh bayaran, dua kes dalam peringkat proses penyediaan
kertas perakuan PBN dan satu kes peringkat pemohon untuk lengkapkan
dokumen.
c. Maklum balas Pejabat Tanah dan Galian Negeri bertarikh 6 Jun 2013 adalah
seperti berikut:
i. Menyelaras aktiviti yang dikenal pasti sebagai pelanggaran syarat untuk
disesuaikan dengan Pekeliling KPTG Bil. 1/2003.
ii. Mengambil tindakan untuk mengeluarkan Notis Pelanggaran Syarat.
iii. Memproses permohonan tukar syarat secara proaktif untuk membendung
pelanggaran syarat tanah secara berterusan.
1.4.2.3. Bangunan Aktiviti Lain Di Atas Tanah Pertanian
a. Bangunan Burung Walet
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) sebanyak 632
buah bangunan telah diusahakan sebagai sarang burung walet. Sebanyak 533
bangunan telah diberikan lesen oleh MDK dan 99 lagi tiada lesen. Semakan Audit
terhadap 11 lot tanah yang didirikan bangunan burung walet mendapati semua lot
tersebut masih lagi berstatus tanah pertanian dengan cukai tanah tahunan pada
kadar tanaman padi dan kelapa sawit. Maklumat lanjut berkaitan bangunan burung
walet dan lot tanah terlibat adalah seperti di Jadual 1.8 dan Gambar 1.9 hingga
Gambar 1.12. Mengikut maklum balas bertarikh 17 Mei 2013, Garis panduan
Perancangan Burung Walet Negeri Perak telah diluluskan PBN pada 12
Disember 2012 untuk diterima pakai bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan dan
Pihak Berkuasa Perancang Tempatan Negeri Perak. Antara syarat yang
ditetapkan adalah seperti berikut:
i. Bagi pembangunan premis burung walet yang kurang 20 peratus daripada
keluasan tanah, hendaklah dipecahkan sempadan untuk mengasingkan
dari segi syarat nyata tanah.
ii. Bagi pembangunan premis burung walet yang meliputi kawasan melebihi
20 peratus keluasan tanah, syarat nyata ditukar kepada burung walet.

1. Kuala Kurau 1.4062 23.00 Tanaman Padi
2. Kuala Kurau 0.7587 12.00 Tanaman Padi
3. Kuala Kurau 1.2494 13.00 Tanaman Padi
4. Kuala Kurau 0.1517 3.00 Tanaman Padi
5. Kuala Kurau 0.4957 8.00 Tanaman Nipah
6. Bagan Serai

Tanaman Padi
7. Bagan Serai 0.8327 33.00 Getah/Kelapa Sawit
8. Bagan Serai 0.4342 18.00 Tanaman Dusun
9. Bagan Serai 1.5777 58.00 Getah/Kelapa Sawit
10. Bagan Serai 0.4363 18.00 Pertanian
11. Bagan Serai 0.4084 18.00 Pertanian

b. Ternakan Ayam Dan Khinzir Di Atas Tanah Pertanian
Pemeriksaan Audit mendapati 3 lot tanah telah diusahakan dengan ternakan ayam
dan khinzir sedangkan syarat nyata tanah adalah pertanian dusun dan tanaman
komersial. Adalah didapati keseluruhan 2 lot tanah di Daerah Kampar seluas 13.86
hektar telah diusahakan dengan ternakan ayam dan khinzir. Manakala satu lot di
Daerah Kerian pula, seluas 0.85 hektar daripada keluasan lot tersebut (4.86 hektar)
telah diusahakan ternakan ayam.

1.4.2.4. Tanaman Lain Daripada Syarat Nyata Tanah
Semakan Audit terhadap 45 fail permohonan tukar syarat nyata tanah mendapati berlaku
6 kes pelanggaran syarat nyata tanah. Sebanyak 4 lot tanah di Daerah Kerian dan 2 lot di
Daerah Kampar telah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan limau bali.
Permohonan tukar syarat bagi 2 lot telah diluluskan tetapi pemohon belum membayar
premium yang ditetapkan, 5 lot lagi belum diluluskan dan satu lot tiada bukti permohonan.
Lawatan Audit ke lot-lot berkenaan mendapati tanah tersebut ditanam dengan kelapa
sawit yang berumur antara 2 hingga 25 tahun. Maklumat lanjut adalah seperti di Jadual
1.10 dan Gambar 1.17 hingga Gambar 1.20. Mengikut maklum balas bertarikh 17 Mei
2013, permohonan tukar syarat 2 orang pemilik tanah telah diluluskan oleh
Pentadbir Tanah Kampar.

Bangunan Perniagaan Di Atas Tanah Bangunan Kediaman

Semakan Audit terhadap satu daripada deretan 6 unit bangunan perniagaan/rumah kedai
di Mukim Kampar mendapati 5 unit bangunan tersebut adalah bangunan
perniagaan/rumah kedai dibina atas lot tanah bangunan kediaman. Adalah didapati hanya
satu lot yang membuat permohonan tukar syarat nyata manakala 4 lot lagi tiada membuat
sebarang permohonan. Kadar cukai tanah kesemua lot tanah tersebut dikenakan atas
kadar bangunan kediaman sejak mula diberi milik pada bulan Mac 1977. Hasil cukai
tanah yang dikutip selama tempoh premis itu beroperasi pada kadar tanah bangunan
kediaman adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kadar sebenar mengikut kategori
bangunan perniagaan. Butiran lanjut lot tanah bangunan perniagaan/kedai terlibat seperti
di Jadual 1.11 serta Gambar 1.20. Mengikut maklum balas bertarikh 17 Mei 2013,
aktiviti perniagaan di atas lot kediaman ini telah dijalankan sejak skim perumahan
ini dimajukan pada tahun 1970an. Pentadbiran PDT Kampar telah mengemukakan
notis pentadbiran bagi menasihati pemilik-pemilik tanah untuk mengemukakan
permohonan tukar syarat tanah dengan segera.

1.4.2.6. Stesen Minyak Di Atas Tanah Pertanian

Mengikut rekod Majlis Daerah Kerian (MDK), 12 buah stesen minyak mini beroperasi
dalam kawasan Daerah Kerian iaitu 10 di atas lot tanah bermilik dan 2 di atas tanah
Lesen Menduduki Sementara. Semakan Audit dengan rekod PDT Kerian mendapati 4
dari stesen minyak mini tersebut beroperasi di atas lot tanah pertanian dan cukai tanah
tahunan dikenakan pada kadar tanah pertanian. Berdasarkan penerangan pihak MDK,
perniagaan ini telah beroperasi melebihi 5 tahun lalu. Butiran lanjut adalah seperti di
Jadual 1.12 dan premis stesen minyak mini terlibat seperti di Gambar 1.21 hingga
Gambar 1.24. Mengikut maklum balas bertarikh 17 Mei 2013, tiada permohonan
tukar syarat dikemukakan oleh pemilik-pemilik tanah terlibat. Pihak PDT Kerian
mengesyorkan supaya Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Bil. 1 Tahun
2003 diguna pakai bagi tanah-tanah yang terlibat dengan premis stesen minyak ini
kerana secara amnya penggunaan tanah untuk tujuan stesen minyak adalah kecil
berbanding keluasan keseluruhan tanah tersebut. PDT Kerian juga akan
mengadakan perbincangan bersama pemilik-pemilik tanah untuk mereka hadir
mengemukakan permohonan.

Stesen Minyak Mini Di Atas Tanah Kategori Pertanian

1. Gunung Semanggol 0.19 6 Stesen Minyak Mini
2. Beriah 1.58 24 Stesen Minyak Mini
3. Gunung Semanggol 0.27 9 Stesen Minyak Mini
4. Bagan Tiang 0.26 5 Stesen Minyak Mini


Bangunan Industri Di Atas Tanah Pertanian

Pemeriksaan Audit terhadap 5 permohonan tukar syarat kategori tanah pertanian kepada
industri mendapati 3 kes pelanggaran syarat tanah. Adalah didapati bangunan telah
dibina dan kilang telah beroperasi walaupun permohonan tukar syarat kategori tanah
belum lulus iaitu 2 permohonan dalam proses pertimbangan pihak berkuasa dan satu
permohonan lagi tidak diproses kerana masalah dokumen hak milik. Selain itu,
berdasarkan maklumat MDK, pemeriksaan ke lokasi dan rekod PDT Kerian mendapati
sebuah bangunan industri bancuhan simen beroperasi di Lot 681 Mukim Parit Buntar di
atas tanah kategori pertanian. Maklumat lanjut di Jadual 1.13 dan bangunan industri
terlibat seperti di Gambar 1.25 hingga Gambar 1.28. Mengikut maklum balas bertarikh
17 Mei 2013, satu daripada kes ini telah lulus dan surat tawaran diserahkan kepada
pemohon pada 12 April 2013 manakala baki 3 kes lagi, Notis Pelanggaran Syarat
telah dikeluarkan kepada pengusaha terlibat.

1.4.3. Pemantauan Dan Penguatkuasaan

Unit Penguatkuasaan Dan Teknikal bertanggungjawab dalam menguatkuasakan undangundang
dan peraturan yang berkaitan dengan tanah dan pelanggaran syarat. Bagi
memastikan penguatkuasaan sepertimana yang telah ditetapkan dalam KTN 1965 dapat
dijalankan dengan berkesan, Unit ini berperanan dalam menjalankan fungsi yang antaranya
adalah pengukuran demarkasi tanah, penguatkuasaan ke atas penerokaan haram,
pemindahan bahan batu tanpa permit dan pelanggaran syarat penggunaan tanah serta
menyediakan laporan tanah dan pelan pinta ukur. Semakan Audit mendapati perkara seperti
berikut:

1.4.3.1. Mengikut Garis Panduan Tindakan Penguatkuasaan Ke Atas Penerokaan
Tanah Kerajaan Dan Pengeluaran Bahan Batu Secara Haram, satu Jawatankuasa
Petugas Penguatkuasaan Daerah hendaklah ditubuhkan. Penubuhan Jawatankuasa ini
adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri
dalam mesyuaratnya pada bulan September 1997. Jawatankuasa ini hendaklah
bermesyuarat sekurang-kurangnya satu bulan sekali. Pemeriksaan Audit mendapati
Jawatankuasa Petugas Penguatkuasaan Daerah Kerian hanya bermesyuarat sekali
sahaja bagi tempoh tahun 2008 sehingga 2012 iaitu pada bulan Oktober 2009 dan minit
mesyuarat menunjukkan kes pelanggaran syarat tanah tidak difokuskan secara
menyeluruh. Manakala bagi Daerah Kampar pula mendapati Jawatankuasa Petugas
Penguatkuasaan Daerah tidak ditubuhkan dan tiada mekanisme yang jelas berhubung
pelaksanaan penguatkuasaan pelanggaran syarat tanah.

1.4.3.2. Pihak Audit mendapati penguatkuasaan hanya dijalankan sekiranya ada aduan
dan berdasarkan pemantauan oleh Penolong Pegawai Tanah. Selain itu, tugas
penguatkuasaan secara rondaan mengikut jadual di Daerah Kerian hanya tertumpu
kepada aktiviti pemindahan bahan batu sahaja manakala bagi Daerah Kampar tiada bukti
menunjukkan tugas penguatkuasaan secara sedemikian. Ketiadaan pelaksanaan
penguatkuasaan secara yang lebih terancang dan efektif menyebabkan kes pelanggaran
syarat penggunaan tanah berterusan berlaku tanpa kawalan dan memberi kesan kepada
ketirisan hasil Kerajaan Negeri. Mengikut pengiraan Audit, sejumlah RM677,856
anggaran hasil cukai tanah tahunan boleh dikutip sekiranya cukai tanah dikenakan atas
kadar kegunaan tanah sebenar bagi 110 lot yang terlibat dengan pelanggaran syarat
seperti di Jadual 1.14.

1.4.3.3. Mengikut maklum balas PTG bertarikh 6 Jun 2013, tindakan berikut sedang
diambil:
i. Menyusun dan mengaktifkan semula Jawatankuasa Penguatkuasaan
Daerah (JKPD) bagi memperhalusi tindakan penguatkuasaan yang perlu
dilaksanakan.
ii. Menyelaras secara bersepadu di antara PDT dan PTG dalam mewujudkan
koordinasi secara kolektif untuk tindakan penguatkuasaan dengan agensiagensi
lain.
iii. Mempertingkatkan proses menyegerakan urusan permohonan tukar syarat
tanah sebagai teras membendung ketirisan hasil secara berterusan oleh
pemilik tanah.
Pada pendapat Audit, pelanggaran syarat tanah jika tidak diambil tindakan
penguatkuasaan segera dan berkesan akan menjadikan urusan penguatkuasaan
semakin sukar di masa hadapan serta ketirisan hasil Kerajaan Negeri semakin ketara
dan berterusan.

1.5. SYOR AUDIT

Bagi memastikan pengurusan tukar syarat tanah diurus dengan cekap dan berkesan, adalah
disyorkan pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan berikut:
1.5.1. PTG dan PTD mengkaji tatacara dan dasar-dasar umum yang lebih praktikal
berhubung penukaran syarat tanah sebagaimana yang dinyatakan dalam Pekeliling Ketua
Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bil. 1 Tahun 2003 berkenaan Tatacara
Penggunaan Tanah Pertanian Bagi Tujuan Yang Tiada Berkaitan Dengan Pertanian
(Disemak 2009) untuk pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
1.5.2. PTD hendaklah menasihatkan Pemilik Tanah supaya memohon kelulusan menukar
syarat tanah secara keseluruhan atau sebahagian daripada lot tanah yang aktivitinya tidak
selaras dengan syarat nyata tanah.
1.5.3. PTG dan PTD memantapkan mekanisme pemantauan dengan meningkatkan
kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Pertanian bagi mengesan dan
mengambil tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap sebarang pelanggaran
syarat tanah.
1.5.4. Setiap agensi pengeluar lesen atau permit yang melibatkan penggunaan tanah
seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan
mestilah mendapatkan pengesahan Pentadbir Tanah Daerah berhubung status syarat tanah
sebelum lesen atau permit untuk premis perniagaan atau aktiviti ternakan dikeluarkan.
1.5.5. PTD mempercepatkan proses permohonan untuk kelulusan tukar syarat mengikut
tempoh ditetapkan supaya cukai tanah tahunan dapat dikenakan mengikut kadar
penggunaan tanah sebenar.

maklumat di atas adalah ihsan pihak lain

A.        TAJUK KURSUS YANG DI TAWARKAN

1. PENGENALAN KEPADA KTN
2. SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA
3. KUASA MENANGKAP DAN MENAHAN MENGIKUT KTN DAN CPC
4. PROSEDUR TANGKAPAN DAN PENAHANAN
5. LAPORAN POLIS DAN FIR
6. PENGURUSAN BARANG KES
7. INTIPATI KESALAHAN MENGIKUT SEKSEN 425
8. INTIPATI KESAHAN MENGIKUT SEKSEN 426
9. PERAMPASAN DAN LUCUT HAK BARANG KES
10. KUASA MENYIASAT DAN KTN DAN CPC
11. KAEDAH MERAKAM PERCAKAPAN
12. MENGURUSKAN OKT DARI AWAL HINGGA AKHIR
13. PENYEDIAN KERTAS SIASATAN
14. PENYEDIAAN FAKTA KES DAN PERTUDUHAN
15.RUJUKAN KES KEPADA TPR
16. PENDAFTARAN KES DAN BORANG-BORANG MAHKAMAH
17. AKTA KETERANGAN 
18. TUGAS DAN PERANAN PEGAWAI PENDAKWA
19. TEKNIK BERHUJAH
20. PENGHUKUMAN.
21. OPERASI MEMUSNAH DAN PELAN KONTIGENSI.
22. PENCEROBOHAN TANAH MILIK DAN MENYELESAIANNYA
23. BONOS - PECEROBOHAN TANAH MILIK DAN PENYELESAIAN
                  PELAN A, PELAN B, PELAN C, PELAN D, PELAN E, PELAN F.
                  AFFIDAVIT DAN KES –KES DULUAN MAHKAMAH

A.    SASARAN PESERTA

1.      PENOLONG PEGAWAI TANAH
2.      PENOLONG PENTADBIR TANAH
3.      KETUA PENOLONG PENTADBIR TANAH
4.      PENTADBIR TANAH
5.      PEGAWAI PENYIASAT SPRM
6.      PEGAWAI PENYIASAT PDRM
7.      PELAJAR UNIVERSITI YANG BERKAITAN
8.      PERUNDING HARTA TANAH
9.      LAIN-LAIN PEGAWAI YANG DILANTIK DI BAWAH S. 12 KTN
10.  LAIN-LAIN YANG BERMINAT DAN PEMILIH TANAH YANG BERMASALAH.

B.    JANGKA MASA – HUJUNG MINGGU SABTU DAN AHAD/RUNDINGAN
C.   TEMPAT – TAIPING ATAU DITENTUKAN PEMOHON
D.   BAYARAN 1 HARI RM 1000.00.



No comments:

Post a Comment