Thursday 7 November 2013

Pengurusan Pusat Peranginan Bukit Larut - laporan ketua audit negara

3.1. Projek Pembangunan Pusat Peranginan Bukit Larut merupakan satu projek khas
Kerajaan Negeri Perak, di bawah RMKe-9. Objektif pembangunan PPBL adalah untuk
menarik pelancong dari dalam dan luar daerah sebagai satu kaedah untuk menjana ekonomi
Daerah Taiping dan memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri Perak. Pada tahun 2006,
Kementerian Pelancongan Malaysia (KPM) telah meluluskan peruntukan sejumlah RM6 juta
kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi aktiviti pembangunan Pusat Peranginan di
Bukit Larut, Daerah Taiping. Pada tahun 2007 KPM juga memperuntukkan sejumlah RM4.43
juta kepada Kerajaan Negeri untuk pembinaan bangunan Asrama. Pada tahun 2011 pula
Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM125,000 bagi kerja-kerja
penyenggaraan Pusat Peranginan Bukit Larut (PPBL) kepada Pejabat Daerah dan Tanah
Larut, Matang dan Selama (PDT LMS). Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) adalah
bertanggungjawab untuk memantau pembangunan PPBL manakala pengurusan PPBL
dilaksanakan oleh PDT LMS dan MPT.
3.2. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga November 2012 mendapati
pada keseluruhannya pengurusan PPBL adalah kurang memuaskan kerana terdapat
beberapa kelemahan yang perlu kepada penambahbaikan seperti berikut:
 Sasaran pengunjung tidak disediakan dan bilangan pengunjung berkurang walaupun
selepas PPBL dimajukan.
 Kemudahan yang dibina atau dinaiktaraf tidak dimanfaatkan.
 Pengurusan Pusat Peranginan Bukit Larut oleh MPT dan PDT LMS kurang
memuaskan.
3.3. Bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan terhadap Pengurusan Pusat
Peranginan Bukit Larut, adalah disyorkan supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat
Daerah Dan Tanah Larut, Matang Dan Selama, Majlis Perbandaran Taiping dan Jabatan
Perhutanan Negeri mengambil tindakan seperti berikut:
3.3.1. Mengkaji keperluan mewujudkan sebuah agensi khusus yang bertanggungjawab
secara menyeluruh terhadap pembangunan dan kemajuan Pusat Peranginan Bukit Larut
secara lebih fokus dan jelas termasuk penyenggaraan kemudahan yang sedia ada.
3.3.2. Menetapkan hala tuju sebenar Pusat Peranginan Bukit Larut dengan menyediakan
Pelan Strategik yang jelas dan komprehensif.
3.3.3. Mempromosikan Pusat Peranginan Bukit Larut sebagai pusat pelancongan dengan
menyediakan pakej-pakej tertentu seperti kursus, latihan, seminar, acara rasmi bagi
peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
3.3.4. Menswastakan sepenuhnya Pusat Peranginan Bukit Larut ini.

No comments:

Post a Comment