DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA
DI SHAH ALAM
DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
SAMAN PEMULA NO. MT3-21-175-2004
ANTARA
1. KAMARULZAMAN BIN OMAR
2. RENOM BINTI OMAR
3. SITI ESAH BINTI OMAR ….. PERAYU
DAN
1. YAKUB BIN HUSIN (Passport No. 7028572)
2. POSAH BINTI HUSIN
3. BANI BIN HUSIN
4. LIO BINTI HUSIN
5. SHAMSUDIN BIN DEWA
6. SYED ABDUL RASHID BIN SYED AHMAD
7. PENTADBIR TANAH DAN DAERAH …… RESPONDEN-
SEPANG,
SELANGOR RESPONDEN
ALASAN PENGHAKIMAN
Latar Belakang Dan Fakta Kes
1. Plaintif-Plaintif adalah anak saudara
kepada Saribu Binti Badai (“si mati”) yang merupakan pemilik berdaftar hartanah
yang telah meninggal dunia dalam tahun 1941 dengan meninggalkan 1/3 bahagian
tanah milik beliau di EMR 3587 Lot 2315 dan 1/3 bahagian di EMR 6629 Lot 2310,
Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.
Defendan 1, 2, 3 dan 4 adalah warga negara Indonesia yang telah
memperolehi hartanah tersebut bagi harta pusaka Saribu Binti Badai melalui Surat
Kuasa Tadbir Pesaka dan Perintah Pembahagian Harta Pesaka Kecil bertarikh 18
April 1984 daripada Pejabat Pemungut Harta Pesaka Kecil, Sepang, 43 tahun
selepas kematian si mati.
2. Melalui surat kuasa yang telah diberikan
oleh Defendan 2, 3 dan 4 kepadanya, Defendan 1 telah pada 29 Julai 1998 memindah
milik 1/3 bahagian Lot 2310 Mukim Dengkil, Sepang, Selangor kepada Defendan 5
dan pada 15 April 1985 kepada Defendan 6, 1/3 bahagian Lot 2315 di hadapan
Defendan 7 di mana Defendan 5 dan Defendan 6 adalah merupakan pembeli hartanah
lot-lot tersebut.
3. Plaintif mengatakan Defendan 1, 2, 3 dan 4
telah memperolehi bahagian hartanah berkenaan secara penipuan (fraud) dan salah
wakil (“misrepresentation”) semasa permohonan Surat Kuasa Tadbir Pusaka si mati
dan Perintah Pembahagian Hartanah dalam tahun 1984 di mana Defendan 1, 2, 3 dan
4 telah secara salah dinyatakan sebagai anak dan pewaris sah si mati.
4. Plaintif juga mengatakan Defendan 7
sebagai Pentadbir Tanah Daerah Sepang, secara cuai telah silap mengesahkan dan
mengendoskan pindah milik dan mendaftarkan kedua bahagian hartanah daripada si
mati kepada Defendan 1, 2, 3 dan 4 dan seterusnya daripada Defendan 1, 2, 3 dan
4 kepada Defendan 5 dan 6. Plaintif
memohon Defendan 7 menolak dan menggantung apa-apa pendaftaran yang melibatkan
kedua hartanah serta membatalkan Defendan 5 dan Defendan 6 sebagai pemunya
tanah dan sebaliknya mendaftarkan Plaintif sebagai pemunya yang berhak.
Tuntutan Plaintif
5. Melalui perenggan (a) hingga (h) Saman
Pemula Plaintif yang bertarikh 27 Ogos 2004, Plaintif telah menuntut –
(a) pembatalan Perintah Surat Mentadbir untuk
harta pusaka Saribu Binti Badai (si mati);
(b) pembatalan Perintah Pembahagian Harta
Pesaka si mati, yang telah dikeluarkan untuk harta pesaka si mati oleh Pemungut
Harta Pesaka Kecil, Sepang pada 18 April 1984;
(c) pembatalan Perintah Peletakan Hak bagi 1/3
bahagian tanah EMR 6629 dan EMR 3587, lot-lot bernombor 2310 dan 2315, Mukim
Dengkil, Daerah Sepang, Selangor daripada si mati kepada Defendan 1, 2, 3 dan
4;
(d) pembatalan pindah milik yang didaftarkan
atas nama Defendan 5 pada 2 Mei 2002 dan Defendan 6 pada 15 April 1985 bagi
kedua bahagian hartanah tersebut oleh Defendan 7;
(e) perintah bagi hak milik bagi kedua bahagian
hartanah dipindah milik dan didaftarkan ke atas nama Plaintif;
(f) perintah bahawa Pentadbir Tanah dan Daerah
Sepang (Defendan 7) menggantung atau menolak pendaftaran apa-apa urusan yang
melibatkan bahagian hartanah berkenaan sehingga selesai pendengaran;
(g) perintah supaya Pentadbir Tanah dan Daerah
Sepang diberi kuasa membatalkan Defendan 5 sebagai pemunya hartanah dan
mendaftarkan Plaintif sebagai pemunya yang berhak;
(h) perintah bagi Defendan 1, 2, 3, 4, 5 dan 6
dihalang daripada menduduki, berurusan, melupuskan atau melakukan apa-apa
perkara yang melibatkan bahagian hartanah tersebut;
(i) kos tindakan; dan
(j) apa-apa perintah atau relif lain yang
dianggap adil oleh Mahkamah.
Perintah Penghakiman Ingkar
Saman Pemula
6. Pada 12 Julai 2005, suatu Penghakiman
Ingkar Kehadiran telah direkodkan di hadapan Y.A Datuk Haji Suriyadi Halim Omar,
Hakim Mahkamah Tinggi terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 bagi tuntutan Plaintif di
perenggan (a), (b) dan (c) Saman Pemula berserta kos. Saman Pemula telah diserahkan secara
Penyampaian Ganti terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 di alamat terakhir yang diketahui
sebagaimana dinyatakan dalam perintah Harta Pesaka Kecil bertarikh 18 April
1984. Penghakiman Ingkar yang telah
dimasukkan ke atas Defendan 1, 2, 3 dan 4 bagi tuntutan Plaintif di perenggan
(a), (b) dan (c) Saman Pemula adalah seperti yang berikut –
(a) Surat Kuasa Tadbir Pusaka si mati yang
dikeluarkan kepada Defendan 1 dalam tahun 1984 adalah terbatal dan tidak sah;
(b) Perintah Pembahagian Harta Pusaka Kecil
bertarikh 18 April 1984 yang dikeluarkan oleh Pemungut Harta Pesaka Kecil,
Sepang untuk harta pusaka si mati adalah juga terbatal dan tidak sah;
(c) Perintah Peletakan Hak bagi kedua bahagian
hartanah daripada si mati kepada Defendan 1, 2, 3 dan 4 melalui perserahan no:
121/84 Jilid 6, Folio 52 adalah juga terbatal dan tidak sah.
7. Sehingga ini, tidak terdapat apa-apa
permohonan untuk merayu atau mengetepikan perintah Penghakiman Ingkar tersebut
daripada mana-mana pihak. Oleh itu,
Penghakiman Ingkar terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 bagi tuntutan Plaintif di
perenggan (a), (b) dan (c) Saman Pemula adalah masih terpakai dan mengikat
Defendan 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7. Hanya
tuntutan Plaintif terhadap Defendan 5, 6 dan 7 di perenggan (d), (e), (f), (g)
dan (h) Saman Pemula / Writ Saman perlu dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah.
8. Dalam perkara ini, isu-isu yang ditetapkan
untuk perbicaraan adalah sebagaimana dalam Ikatan
G (Dokumen Isu-Isu Untuk Dibicarakan).
Lanjutan daripada Penghakiman Ingkar Mahkamah isu (a), (b) dan (c)
kepada Ikatan G tidak lagi terpakai untuk perbicaraan. Hanya isu-isu sebagaimana dinyatakan di
perenggan (d), (e), (f), (g), (h), (i) dan (j) Ikatan G yang merujuk kepada
tuntutan Plaintif terhadap Defendan 5, 6 dan 7 di perenggan (d), (e), (f), (g)
dan (h) Writ Saman / Saman Pemula adalah perlu untuk dibicara dan diputuskan
oleh Mahkamah.
Pembelaan Defendan 5, 6 dan
7
9. Defendan 5 dan Defendan 6 mengatakan
mereka telah memperolehi pindah milik secara sah bagi bahagian hartanah
berkenaan melalui satu surat kuasa wakil sah yang telah diberikan kepada
Defendan 1 oleh Defendan 2, 3 dan 4 di hadapan Defendan 7, masing-masing
bertarikh 29 Julai 1998 dan 15 April 1985.
Defendan 5 dan 6 menafikan fraud di dalam urusan pindah milik tanah
tersebut dan mengatakan mereka memperolehi bahagian hartanah sebagai pembeli
hartanah yang bernilai, secara suci hati dan mereka tidak terlibat, atau
mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai hartanah tersebut telah terdahulu
diperolehi oleh Defendan 1, 2, 3 dan 4 secara salah.
10. Defendan 7 menafikan apa-apa kecuaian di
pihak Defendan 7 dan mengatakan pendaftaran pindah milik bahagian hartanah
berkenaan telah dibuat secara sah dan teratur selaras dengan Perintah
Pembahagian Pusaka si mati dan prosedur yang terpakai di bawah Ordinan
(Pembahagian) Harta Pesaka Kecil 1955.
11. Selanjutnya Defendan 7 menegaskan bahawa
walaupun Penghakiman Ingkar terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 telah membatalkan
perintah pembahagian pusaka bertarikh 18 April 1984, Defendan 7 tidak
seharusnya dipertanggungjawabkan terhadap pindah milik selanjutnya kepada
Defendan 1, 2, 3, 4, 5 dan 6 oleh kerana Defendan 7 adalah bergantung
sepenuhnya kepada keterangan bersumpah Defendan 1 semasa membuat permohonan
perintah pembahagian pusaka bertarikh 18 April 1984.
Bantahan Awal
12. Semasa pendengaran Saman Pemula di Mahkamah
Tinggi, bantahan awal telah dikemukakan oleh peguam Defendan, sama ada tindakan
Plaintif harus dimulakan melalui proses Saman Pemula atau melalui Writ Saman
memandangkan terdapat allegasi fraud dalam tuntutan Plaintif. Defendan mengatakan pemfailan Saman Pemula
oleh Plaintif adalah salah, cacat dan perlu dibatalkan. Hakim Mahkamah Tinggi, Y.A Puan Rosnani Saub
pada 5 September 2006, telah memutuskan supaya prosiding dimulakan melalui Writ
Saman dan Saman Pemula dijadikan tindakan Writ Saman memandangkan tindakan
adalah berdasarkan fraud dan melibatkan fakta yang serius. Seterusnya, Y.A mengarahkan supaya afidavit
yang telah difailkan terdahulu oleh pihak-pihak dijadikan pliding
masing-masing.
Perbicaraan Writ Saman Dalam
Mahkamah
13. Secara amnya, isu undang-undang di hadapan
Mahkamah dalam perbicaraan Writ Saman adalah sama ada lanjutan daripada Perintah
Penghakiman Ingkar Mahkamah yang telah dimasukkan pada 12 Julai 1995 terhadap
Defendan 1, 2, 3 dan 4 adalah –
i) sama ada pindah milik kedua bahagian
hartanah yang telah dilaksanakan oleh Defendan 1 dan didaftarkan atas nama
Defendan 5 dan Defendan 6 melalui Defendan 7 dianggap tidak sah dan terbatal
serta-merta;
ii) sama ada Defendan 5 dan 6 sebagai pembeli
suci hati dengan balasan berharga ke atas kedua-dua bahagian hartanah Lot 2310
dan 2315 memperolehi hak milik tidak boleh disangkal ke atas tanah secara
serta-merta dan sama ada hak milik kedua mereka ke atas bahagian tanah
berkenaan masih wujud dan tidak terbatal.
14. Plaintif mengatakan bahawa berikutan
daripada Penghakiman Ingkar yang telah dimasukkan oleh Mahkamah, Defendan 1, 2,
3 dan 4 tidak lagi mempunyai apa-apa hak milik ke atas bahagian tanah berkenaan
dan oleh itu tidak berhak menjual atau memindah milik kepada mana-mana pihak
termasuk Defendan 5 dan 6. Penegasan
Plaintif adalah oleh kerana peletakan hak terdahulu daripada si mati kepada
Defendan 1, 2, 3 dan 4 adalah tidak sah dan terbatal secara serta-merta, maka
pindah milik berikutnya di antara Defendan 1, 2, 3 dan 4 kepada Defendan 5 dan
Defendan 6 adalah juga turut terbatal dan tidak sah. Defendan 5 dan Defendan 6 tidak lagi berhak
menerima apa-apa kepentingan dan hak milik di atas bahagian tanah-tanah
berkenaan.
15. Pada hari pertama perbicaraan kes di
Mahkamah pada 1 September 2009, setelah mendengar keterangan Plaintif 1 sebagai
SP1 kes, peguam pihak Plaintif-Plaintif dan Defendan-Defendan telah bersetuju
dengan Mahkamah agar kes diselesaikan melalui hujahan bertulis berdasarkan
Pliding serta ekshibit di Mahkamah.
Kesukaran untuk mengemukakan saksi-saksi Plaintif yang sudah lanjut usia
dan ada yang berada di Indonesia
di mana keterangan mereka juga terdapat di dalam afidavit-afidavit yang
terdahulu telah difailkan di Mahkamah.
Mahkamah telah juga diberitahu, Defendan 5 mengalami ketidakupayaan
angin ahmar (“stroke”) dan tidak dapat hadir untuk beri keterangan dalam
Mahkamah, manakala keterangan Defendan 7 pula menjurus kepada keterangan
afidavit yang terdahulu difailkan di Mahkamah.
Hanya Defendan 6 bersedia untuk beri keterangan di dalam Mahkamah tetapi
didapati oleh Mahkamah bahawa keterangan Defendan 6 secara afidavit telah juga
difailkan dalam Mahkamah terdahulu. Oleh
itu, walaupun Mahkamah mengambil maklum akan keputusan Hakim supaya kes
dibicarakan melalui Writ Saman, adalah jelas kepada Mahkamah bahawa keterangan
saksi-saksi Plaintif dan Defendan telahpun terkandung di dalam
afidavit-afidavit yang telah difailkan di Mahkamah. Selain kesukaran pengemukaan saksi-saksi
Plaintif yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai si mati, waris si mati,
serta keterangan berkaitan fraud dalam urusan pembahagian dan peletakan hak
harta si mati dan Defendan 5 juga tidak berupaya untuk hadir dan beri
keterangan lisan di Mahkamah. Selain
itu, Mahkamah juga mendapati berbangkit daripada Penghakiman Ingkar Mahkamah
terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4, isu fraud tidak lagi perlu atau relevan untuk
dibuktikan oleh Plaintif terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 oleh kerana
penghakiman telah dimasukkan terhadap mereka.
Oleh itu, Mahkamah atas persetujuan bersama dengan peguam Plaintif,
peguam Defendan 5, Defendan 6 (hadir sendiri) dan Peguam Persekutuan yang
mewakili Defendan 7 telah mengarahkan supaya kes diselesaikan secara hujahan
bertulis tanpa memanggil saksi sebaliknya berdasarkan Pliding, ekshibit, keterangan
afidavit yang telah difailkan dalam pendengaran Saman Pemula terdahulu serta
prinsip undang-undang melalui autoriti kes berkenaan isu yang sama oleh
peguam-peguam dan Defendan 6 sendiri.
Dalam perkara ini, arahan Mahkamah adalah dalam penyediaan hujahan
bertulis, penekanan dibuat kepada implikasi Perintah Penghakiman Ingkar ke atas
tuntutan Plaintif terhadap Defendan 5, 6 dan 7 di perenggan (d), (e), (f), (g)
dan (h) Writ Saman / Saman Pemula.
Keputusan Mahkamah
(Dibacakan
dalam Mahkamah Terbuka bertarikh 23 Oktober 2009).
16. Setelah menimbang keterangan dan hujahan
oleh peguam Plaintif, peguam Defendan 5 dan 7 serta Defendan 6 (yang mewakili
diri), Mahkamah dapati di atas imbangan kebarangkalian, Plaintif-Plaintif telah
gagal untuk membuktikan tuntutan terhadap Defendan 5, Defendan 6 dan Defendan
7. Dengan ini, tuntutan
Plaintif-Plaintif di perenggan (d), (e), (f), (g) dan (h) Saman Pemula / Writ
Saman yang bertarikh 27 Ogos 2004 adalah ditolak dengan kos. Keputusan Mahkamah adalah berdasarkan alasan
seperti yang berikut –
i) Mahkamah mendapati bahawa Perintah
Penghakiman Ingkar yang telah direkodkan oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Julai
2005 terhadap Defendan 1, 2, 3 dan 4 telah mengakibatkan pembatalan serta-merta
Surat Kuasa Tadbir Pusaka si mati, Perintah Pembahagian Harta Pusaka si mati
kepada Defendan 1, serta Perintah Peletakan Hak daripada si mati kepada
Defendan 1, 2, 3 dan 4. Dengan
pembatalan pindah milik terdahulu daripada si mati kepada Defendan 1, 2, 3 dan
4 (melalui Perintah Pusaka Kecil), Defendan 1, 2, 3 dan 4 tidak berhak memindah
milik kedua bahagian hartanah kepada mana-mana pihak berikutnya, termasuklah
Defendan 5 dan 6 berdasarkan prinsip nemo
dat serta keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Subramaniam NS Dhurai lwn
Sandrakasan Retnasamy & ors [2005] 3 MLJ 540 di mana diputuskan -
“Applying
the nemo dat rule, the vendor had nothing and could therefore pass nothing to
the Appellant. The Appellant may have
obtained good title if he had been a bona fide purchaser of the subject land. But he was found and correctly found by the
learned judge not to be a bona fide purchaser.
The title of a registered proprietor is indefeasible and good against
the whole world, but not in cases where it has been obtained by fraud, forgery,
by means of an insufficient or void instrument, or by exercise of a power
purportedly conferred by written law.”
Walaupun Defendan 1, 2, 3 dan 4 nyata
tidak mempunyai apa-apa hak untuk pindah hak milik bahagian hartanah berkenaan
kepada pembeli Defendan 5 dan Defendan 6, sekiranya hak milik hartanah tidak
diperolehi oleh kedua Defendan 5 dan 6 melalui fraud, pemalsuan, atau
instrument yang terbatal, mereka tetap memperolehi hak milik yang tidak boleh
disangkal ke atas hartanah tersebut. Hak
milik dan kepentingan Defendan 5 dan 6 sebagai pembeli hartanah suci hati
dengan balasan berharga “bona fide
purchaser with value” adalah terlindung dan terjamin di bawah undang-undang
berdasarkan proviso kepada seksyen 340 (3) Kanun Tanah Negara 1965 yang
memperuntukkan –
“(3) Where the title or interest of any person or
body is defeasible by reason of any of the circumstances specified in sub
section (2) –
(a) it
shall be liable to be set aside in the hands of any person or body to whom it
may subsequently be transferred; and
(b) any
interest subsequently granted thereout shall be liable to be set aside in the
hand of any person or body in whom it is for the time being vested:
Provided that nothing in this sub
section shall affect any title or interest acquired by any purchaser in good faith and for valuable consideration, or
by any person or body claiming through or under such a purchaser.”
Proviso kepada seksyen 340(3), Kanun
Tanah Negara 1965 membenarkan Defendan 5 dan Defendan 6 memperolehi hak milik
yang tidak boleh disangkal secara serta-merta ke atas hartanah berkenaan
sekiranya terbukti Defendan 5 dan Defendan 6 adalah merupakan pembeli hartanah
suci hati dengan balasan berharga “bona
fide purchaser with value”.
Keputusan Mahkamah adalah selaras dengan penghakiman
Mahkamah Persekutuan, dalam kes Adorna Properties Sdn. Bhd. v. Boonsom
Boonyanit @ Sun Yok Eng (2001) 1 MLJ 245, mengesahkan hak Defendan 5 dan Defendan 6 sebagai pembeli yang
suci hati dengan balasan berharga berhak untuk memperolehi hak milik tidak boleh
disangkal secara serta-merta ke atas bahagian tanah-tanah berkenaan walaupun
ianya diperolehi di bawah dokumen yang melibatkan fraud atau pemalsuan.
ii) Dalam urusan pindah milik daripada
Defendan 1, 2, 3 dan 4 kepada Defendan 5 dan Defendan 6, Mahkamah juga tidak
mendapati apa-apa keterangan yang menunjukkan penglibatan Defendan 5 dan 6
kepada fraud atau mempunyai pengetahuan mengenainya. Adalah jelas kepada Mahkamah bahawa walaupun
balasan yang telah dibayar oleh Defendan 5 dikatakan jauh lebih rendah daripada
nilai pasaran, iaitu pada kadar RM 25,000.00 berbanding RM 203,000.00
(berdasarkan nilai pejabat cukai setem) urusan jual-beli hartanah adalah
menjurus kepada persetujuan bersama di antara penjual dan pembeli yang telah
dilaksanakan secara sukarela tanpa paksaan atau misrepresentasi daripada pihak pembeli. Ketiadaan dokumen perjanjian jual-beli atau
resit jualan tidak mencacatkan atau menjejaskan kesahihan urusan jual-beli dan
pindah milik hartanah, kerana nyata terbukti transaksi dilaksanakan secara sah
dan teratur sebagaimana dalam dokumen Borang Pindah Milik, 14A. Dalam perkara ini, Mahkamah tidak mendapati
apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa Defendan 5 dan Defendan 6 bukan
merupakan pembeli hartanah yang suci hati.
Pengemukaan dokumen taksiran cukai setem oleh Pejabat Cukai Setem,
Lembaga Hasil Dalam Negeri di m/s 78 dan
79, Ikatan D (Ikatan Dokumen Tidak Dipersetujui), tidak melepaskan beban
pembuktian Plaintif untuk membuktikan bahawa Defendan 5 dan Defendan 6 adalah
bukan pembeli suci hati yang berharga.
Pada keseluruhannya, urusan jual-beli pindah milik hartanah tersebut
telah dilaksanakan secara teratur dan mematuhi peruntukan undang-undang dan
tidak menunjukkan penglibatan Defendan 5 dan 6 dalam apa-apa penyataan salah, misrepresentasi, fraud atau pemalsuan
apa-apa dokumen. Malah pindah milik
hartanah daripada Defendan 1 kepada Defendan 5 berlaku dalam tahun 1998 iaitu
selepas 14 tahun daripada tarikh Defendan 1, 2, 3 dan 4 memperolehi hak ke atas
hartanah tersebut melalui perintah pembahagian pusaka dalam tahun 1984. Nyata, ini bukanlah suatu tempoh yang pendek
bagi Defendan 5 untuk menunggu sebagai seorang pembeli hartanah jika beliau
terbabit dalam apa-apa salah laku atau fraud dalam urusan pembelian dan pindah milik
tanah. Mahkamah juga tidak mendapati
kecacatan dalam Borang Pindah Milik 14A yang telah ditandatangani oleh Defendan
5 sebagai penerima pindah milik dan Defendan 1 sebagai pemilik sah hartanah di
mana pindah milik telah dibuat dan disahkan secara sah dan sempurna di hadapan
Defendan 7 oleh pegawai tanah yang kompeten dan bertauliah.
iii) Mahkamah juga mendapati sebagaimana
Defendan 5, Defendan 6 juga adalah merupakan “bona fide purchaser with good value” dan tidak mendapati apa-apa pengataan
salah, misrepresentasi atau fraud
dalam urusan pindah milik hartanah yang telah dibuat. Dalam perkara ini, adalah didapati bahawa
pembelian 1/3 bahagian Lot 2315 oleh Defendan 6 yang telah dilaksanakan dalam
tahun 1985 adalah merupakan suatu tempoh yang lama, hampir dua dekad daripada
tarikh pemfailan Saman Pemula Plaintif bertarikh 27 Ogos 2004 di Mahkamah. Tempoh yang begitu lama menidakkan inferen
apa-apa unsur penipuan, atau fraud dalam urusan pembelian dan pindah milik
tanah. Dalam perkara ini juga, sama ada
balasan yang telah dibayar oleh pihak Defendan 6 berjumlah RM 16,000.00 dan
bukan pada kadar nilaian semasa di mana nilai duti setem Kerajaan hartanah
sahaja adalah RM 11,000.00 adalah suatu kadar yang “tidak masuk akal” dan jauh
lebih tinggi daripada nilai pasaran, juga tidak menjejaskan kesahihan urusan
jual-beli dan pindah milik hartanah di antara pihak-pihak. Selain itu, Defendan 6 telah mengesahkan
bahawa urusan jual-beli hartanah telah dilaksanakan tanpa resit dan perjanjian
dan dibuat secara bayaran tunai serta disaksikan oleh pegawai Pejabat Tanah
Sepang. Dalam hal ini, Plaintif nyata
gagal membuktikan fraud atau pembabitan salah Defendan 6 dalam urusan pindah
milik tanah dan Mahkamah secara keseluruhannya mendapati urusan pembelian
hartanah oleh Defendan 6 pada kadar yang lebih tinggi, tanpa perjanjian dan
resit adalah suatu urusan yang telah dipersetujui bersama oleh pihak-pihak
tanpa melibatkan fraud.
iv) Mengenai tuntutan Plaintif terhadap
Defendan 7 pula, adalah didapati secara keseluruhannya, pindah milik kedua-dua
hartanah daripada Defendan 1, 2, 3 dan 4 kepada Defendan 5 dan 6 telah
dilaksanakan secara teratur, sah dan sempurna oleh Defendan 7 selaras dengan
kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 346 Kanun Tanah Negara. Mahkamah tidak mendapati kecuaian di pihak
Defendan 7 di dalam pengeluaran Perintah Pembahagian Harta Pusaka bertarikh 18
April 1984 kepada Defendan 1, 2, 3 dan 4 ataupun dalam mana-mana dokumen yang
berkaitan pindah milik Tanah Simpanan Melayu di mana dokumen pindah milik dan
maklumat yang berkaitan didapati adalah teratur dan layak untuk didaftarkan.
v) Selain itu, bagi urusan pendaftaran pindah
milik Tanah Simpanan Melayu, didapati tiada kecuaian di pihak Defendan 7 di
mana penggunaan surat kuasa wakil oleh Defendan 2, 3 dan 4 kepada Defendan 1
adalah sah dan dibenarkan di bawah Seksyen 9, Enakmen Rizab Melayu. Transaksi pindah milik Tanah Simpanan Melayu
telah disaksikan secara sah oleh Penolong Pemungut Hasil Tanah Sepang dan
dibuat dengan sempurna di hadapan Pentadbir Tanah bagi Tanah Simpanan Melayu
selaras dengan Seksyen 211 dan Jadual Kelima Kanun Tanah Negara. Adalah merupakan tanggungjawab Defendan 7
untuk memastikan dokumen yang disertakan untuk pendaftaran hak milik layak
diterima untuk pendaftaran selaras dengan peruntukan Seksyen 297 Kanun Tanah
Negara dan sekiranya dokumen pindah milik tidak layak untuk didaftarkan, pihak
Pendaftar berhak untuk menolak dokumen tersebut. Bagi bahagian tanah yang dipindah milik
kepada Defendan 6 pula, pendaftaran pindah milik didapati telah juga dibuat
secara sempurna di hadapan Pentadbir Tanah dan adalah layak untuk didaftarkan.
vi) Mahkamah mendapati bahawa selaras dengan
peruntukan Seksyen 4 dan 9, Kanun Tanah Negara 1965, urusan pindah milik Tanah
Simpanan Melayu boleh dilaksanakan melalui perwakilan kuasa. Oleh hal yang demikian, pindah milik yang
disempurnakan di antara Defendan 1 (yang diwakilkan kuasa oleh Defendan 2, 3
dan 4) kepada Defendan 5 dan 6 adalah sah di sisi undang-undang. Selain itu, Mahkamah juga mendapati bahawa
selaras dengan peruntukan Seksyen 433B, Kanun Tanah Negara 1965, sekatan pindah
milik tanah daripada warganegara kepada bukan warganegara memerlukan kebenaran
Pihak Berkuasa Negeri. Seksyen ini
bagaimanapun tidak menghalang pindah milik tanah daripada rakyat asing yang
merupakan pemilik berdaftar tanah di Malaysia kepada seorang
warganegara. Oleh hal yang demikian,
pindah milik di antara Defendan 1, 2, 3 dan 4 sebagai pemberi pindah milik yang
bukan warga negara kepada Defendan 5 dan 6 yang merupakan rakyat tempatan
sebagai penerima pindah milik, adalah dibenarkan dan tidak memerlukan kebenaran
Pihak Berkuasa Negeri.
17. Selain itu, pada 21 Januari 2010 di dalam
keputusan kes rayuan Tan Yin Hong Lwn Tan Sian Sang & ors,
Mahkamah Persekutuan telah mengetepikan keputusan Adorna Properties Sdn. Bhd. v.
Boonsom Boonyanit dan memutuskan bahawa hak milik atau kepentingan
seseorang pemilik berdaftar tanah boleh diketepikan sekiranya hak milik
tersebut telah diperolehi secara fraud.
Dalam perkara ini, berdasarkan alasan-alasan sebagaimana yang telah
dinyatakan, Defendan 5 dan Defendan 6 adalah nyata merupakan pembeli hartanah
yang tidak mempunyai penglibatan atau pengetahuan langsung mengenai peletakan
hak serta pindah milik terdahulu daripada pusaka si mati kepada “pewaris tidak
sah” (Defendan 1, 2, 3 dan 4) yang dikatakan Plaintif adalah berdasarkan
penyataan salah. Selain itu juga, adalah
didapati bahawa perintah pembatalan pembahagian pusaka, peletakan hak dan
pindah milik kedua bahagian tanah daripada pusaka si mati kepada Defendan 1, 2,
3 dan 4 telah diperolehi melalui suatu perintah Penghakiman Ingkar Mahkamah
Tinggi. Perintah Penghakiman Ingkar
tersebut bukanlah suatu perintah Mahkamah yang memutuskan secara khusus bahawa
Defendan 1, 2, 3 dan 4 telah membuat pengataan palsu / salah dan terlibat
dengan penipuan atau perbuatan fraud dalam urusan pembahagian dan peletakan hak
daripada pusaka si mati kepada mereka. Oleh
itu kes ini adalah boleh dibezakan daripada kes yang terbaru diputuskan oleh
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
18. Oleh itu, berdasarkan alasan-alasan seperti
di atas, Mahkamah menolak permohonan Plaintif-Plaintif di perenggan (d), (e),
(f), (g) dan (h) Saman Pemula / Writ Saman yang bertarikh 27 Ogos 2004 terhadap
Defendan 5, 6 dan 7 dengan kos.
..........................……..………………………….
( DATO’
NIK HASMAT BINTI NIK MOHAMAD )
PESURUHJAYA KEHAKIMAN
MAHKAMAH TINGGI SHAH ALAM
Tarikh : 29 Januari 2010
Peguambela dan Peguamcara:
Encik Abdullah Sani bin Zainun bagi pihak
Plaintif
Tetuan Ashfar Ali and Associates
Encik Mohd. Faiz bin Fadzil bagi pihak
Defendan 5
Tetuan Zulkafli, Husin & Co.
Tuan Syed Abd. Rashid bin Syed Rahmat –
Defendan 6
(sendiri)
Cik Norizan bt. Ariffin bagi pihak Defendan 7
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.
No comments:
Post a Comment