Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata penubuhan Mahkamah Khas Untuk Kes-kes Rasuah dapat membantu dalam menyegerakan pemprosesan kes berkaitan rasuah di samping berlaku lebih adil kepada orang ramai.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 376 kes rasuah yang masih tertangguh direkodkan di seluruh negara dan 2,000 lagi kes tertangguh yang juga kes sudah tertangguh lama.

NONE"Saya harap dengan penubuhan mahkamah khas untuk kes rasuah ini, kes boleh diproses dengan lebih pantas dan keadilan boleh dilaksanakan, bukan sahaja kepada yang dituduh, tapi juga kepada orang ramai.

"Kami cuba mengerakkannya sepantas mungkin," katanya semasa melancarkan mahkamah khas itu di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Kerajaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamad.

Zaki berkata, penubuhan Mahkamah Khas Untuk Kes Rasuah itu adalah tanda sokongan negara ke arah membanteras rasuah dalam masyarakat dan ia adalah usaha bersama antara badan kehakiman, MACC dan PEMANDU sebagai sebahagian daripada inisiatif NKRA dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman badan kehakiman, kes rasuah biasanya mengambil masa yang yang panjang untuk dibicarakan kerana membabitkan ramai saksi serta dokumen bukti yang perlu diperiksa oleh mahkamah dan pihak berkaitan.

"Dengan adanya mahkamah yang khusus, kes ini akan ditangani oleh hakim yang lebih berpengalaman dan dia akan dapat memberi tumpuan kepada kes sebegini sahaja. Hakim yang terpilih untuk mahkamah ini dipilih berdasarkan merit selepas perbincangan panjang lebar diadakan bagi memilih mereka," katanya.

Zaki seterusnya berkata, walaupun peningkatan jumlah mahkamah adalah suatu perkembangan yang baik, namun menurutnya dalam setiap perbicaraan kes, ia memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya tiga pihak utama iaitu hakim, pendakwa serta yang dituduh bersama peguamnya, dan juga saksi.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana antara pihak itu tidak hadir, kes tidak dapat diteruskan dan ia akan membawa kepada penangguhan.

"Penangguhan tidak baik kepada pengadu dan saksi. Ia boleh mengakibatkan saksi lupa, selain barang kes atau dokumen hilang," katanya.

Selain itu, Zaki berkata berdasarkan pemerhatiannya, semasa jumlah kes jenayah dan hakim bertambah, kes kini bergerak lebih pantas disebabkan Sistem Transkripsi dan Rekod Mahkamah (CRT) walaupun jumlah peguam sebaliknya didapati tidak berubah.

"Bagaimanapun saya gembira mendapat tahu bahawa Majlis Peguam Malaysia dan Selangor sedang mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan jumlah peguam dalam kes jenayah dan mereka memberi jaminan kepada saya yang mereka akan menggalakkan lebih ramai peguam muda untuk mengkhusus kepada bidang undang-undang jenayah," katanya.

Penubuhan Mahkamah Khas Untuk Kes-kes Rasuah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa membentang Bajet 2011 dan ia menjadi realiti sejak 16 Februari lalu.

Terdapat 14 Mahkamah Khas bagi Kes-kes Rasuah di seluruh negara.

- Bernama