Sunday 1 July 2012

PENGUATKUASAAN SYARAT-SYARAT DAN PENYITAAN



125.                  Bila suatu pelanggaran syarat berbangkit.
(1)               Suatu pelanggaran syarat yang menghendaki pelaksanaan berterusan akan berbangkit sebaik sahaja, dan berterus selama, syarat itu tidak dipatuhi.
(2)               Pelanggaran syarat yang tertakluk kepada suatu tempoh tetap akan berbangkit­
(a)                dalam kes suatu syarat yang menghendaki perlakuan apa-apa perbuatan dalam mana-mana tempoh (iaitu tempoh yang dinyatakan di dalamnya, atau tempoh tersebut yang dilanjutkan di bawah seksyen 107), setelah tamatnya tem­poh itu tanpa perbuatan itu telah dilakukan;
(b)               dalam kes suatu syarat yang menghendaki apa-apa perbuatan ditinggalkan sehingga suatu masa, setelah perlakuan per­buatan itu sebelum masa itu.
Jika sekiranya apa-apa syarat mengandungi dua atau lebih obligasi atau tanggungan yang berasingan, kegagalan untuk memenuhi mana-mana obligasi atau tanggungan tersebut akan merupakan pelanggaran syarat itu.
127.                  Tanggungan untuk pelucuthakan kerana pelanggaran syarat.
(1)               Setelah apa-apa pelanggaran berbangkit daripada apa-apa syarat yang kepadanya mana-mana tanah berimilik buat masa itu tertakluk­ --
(a)                maka tanah itu hendaklah menjadi tertanggung untuk pelucuthakan kepada Pihak Berkuasa Negeri, dan
(b)                kecuali dalam kes di mana suatu denda dikenakan di bawah subseksyen (la), atau di mana tindakan untuk maksud menyebabkan pelanggaran itu diremedikan adalah per­tamanya dikehendaki diambil di bawah seksyen 128, Pentadbir Tanah hendaklah meneruskan penguatkuasaan pelucuthakan itu selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 129.
(lA)      (a) Setelah berbangkit sesuatu pelanggaran sebagaimana yang dirujukkan dalam subseksyen (1), maka Pentadbir Tanah boleh, selain dari mengambil tindakan di bawah seksyen 128 atau 129, menyerahkan suatu notis dalam Borang 7E kepada tuanpunya, memerlukannya menunjukkan sebab mengapa suatu denda tidak dikenakan berkenaan dengan pelanggaran tersebut.
(b) Setelah tuanpunya gagal menunjukkan sebab dengan memuaskan Pentadbir Tanah, maka Pentadbir Tanah boleh membuat suatu perintah untuk bayaran denda tidak kurang daripada lima ratus ringgit, dan dalam kes pelanggaran berterusan, suatu denda tambahan tidak kurang daripada seratus ringgit bagi tiap-tiap hari dalam tempoh pelanggaran itu berterusan.
(1B)     Jika sekiranya suatu denda dibayar atas suatu perintah yang dibuat di bawah perenggan (b) subseksyen (lA), tiada apa jua tindakan akan diambil di bawah seksyen 128 atau 129 berkenaan dengan pelanggaran itu.
(1C)     Walau apa pun subseksyen (1B), jika Pentadbir Tanah selepas siasatan yang wajar, berpuas hati bahawa pelanggaran itu berterusan, dia boleh menyerahkan suatu notis dalam Borang 7F terhadap tuan­punya memberitahu kepadanya tentang niatnya untuk mengambil tindakan di bawah seksyen 128 atau 129 selepas habis tempoh enam bulan dari tarikh penyampaian notis atau pada bila-bila masa kemudiannya.
(2)               Penerimaan bagi pihak Pihak Berkuasa Negeri mengenai apa-apa item hasil tanah yang genap masa berkenaan dengan mana-mana tanah berimilik tidaklah beroperasi sebagai satu penepian bagi mana-mana hak pelucuthakan yang pada masa itu wujud berkenaan dengan tanah itu menurut kuasa seksyen ini.
(3)               Tanah yang telah menjadi tertanggung untuk pelucuthakan di bawah seksyen ini kerana pelanggaran mana-mana syarat hendaklah terhenti dari tertanggung sedemikian jika­--
(a)                pelanggaran itu diremedikan kemudiannya, atau
(b)               dalam kes satu syarat yang tertakluk kepada suatu tempoh tetap, tiada apa jua tindakan telah diambil berkenaan dengan pelanggaran itu di bawah seksyen 128 atau 129 sebelum tamatnya tempoh dua belas tahun bermula dan tarikh bilamana pelanggaran itu berbangkit.
(4)               Untuk maksud-maksud seksyen ini, dan seksyen 128 atau 129, tiap-tiap pelanggaran syarat hendaklah diambil kira sebagai boleh diremedikan; dan tindakan yang dikehendaki untuk mere­medikan apa-apa pelanggaran hendaklah diambil kira sebagai terdiri dari­ --
(a)                dalam kes satu syarat positif, perlakuan tiap-tiap perbuatan atau apa-apa jua yang ketinggalan untuk membuatnya merupakan atau menjadi sebahagian daripada pelanggaran itu;
(b)               dalam kes satu syarat negatif, perlakuan semua perbuatan atau apa-apa jua yang sedemikian sebagaimana yang perlu untuk meletakkan tanah itu dalam keadaan di mana ia akan berada jika pelanggaran itu tidak berlaku.
128.                  Tindakan cepat untuk memastikan remedi pelanggaran syarat.
(1)               Jika sekiranya­
(a)                mana-mana tanah berimilik adalah tertanggung untuk pelucuthakan kepada Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen 127 kerana pelanggaran mana-mana syarat, dan
(b)               didapati oleh Pentadbir Tanah bahawa pelanggaran itu boleh diremedikan oleh tuanpunya dalam satu tempoh yang munasabah,
Pentadbir Tanah hendaklah menyampaikan, atau menyebabkan disampaikan, kepada tuanpunya suatu notis dalam Borang 7A yang menentukan tindakan yang dikehendaki untuk meremedikan pelang­garan itu, dan memintanya supaya mengambil tindakan sedemikian dalam masa yang dinyatakan di dalamnya.
(2)               Setelah penyampaian apa-apa notis di bawah subseksyen (1), Pentadbir Tanah hendaklah mengendorskan, atau menyebabkan diendorskan, di atas dokumen hakmilik daftaran kepada tanah yang dipersoalkan suatu nota yang menyatakan bahawa tanah itu adalah tertakluk kepada tindakan kerana pelanggaran syarat.
(3)               Penyampaian apa-apa notis di bawah subseksyen (1) hendak­lah beroperasi sebagai satu penepian oleh Pihak Berkuasa Negeri, dengan syarat segala kehendak-kehendaknya betul-betul dipatuhi, mengenai hak pelucuthakan yang sedia ada oleh sebab pelanggaran dengan mana ia ada kaitan; dan­--
(a)                jika notis itu dipatuhi, nota yang diendorskan di bawah subseksyen (2) hendaklah dibatalkan dengan sewajarnya;
(b)               jika notis itu tidak dipatuhi, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 129.
129.              Tindakan untuk menguatkuasakan pelucuthakan kerana pelanggaran syarat.
(1)               Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan di bawah seksyen ini di mana jua mana-mana tanah berimilik adalah tertang­gung untuk pelucuthakan di bawah seksyen 127 kerana pelanggaran syarat dan­-
(a)                dia berpendapat bahawa pengambilan tindakan di bawah seksyen 128 tidaklah wajar, atau
(b)               tuanpunya tanah itu telah gagal mematuhi mana-mana notis yang disampaikan kepadanya di bawah seksyen itu.
(2)               Dalam salah satu keadaan yang disebut di atas, Pentadbir Tanah hendaklah­
(a)                menyebabkan suatu notis dalam Borang 7B disampaikan kepada tuanpunya tanah itu, dan
(b)               menyebabkan suatu salinan notis itu, yang kepadanya hendaklah dilampirkan notis tambahan yang ditujukkan dalam sambungan kepada Borang itu, disampaikan kepada orang dan badan yang serupa seperti orang dan badan yang kepadanya notis-notis yang berhubungan dengan sewa adalah dikehendaki untuk disampaikan oleh subseksyen (1) seksyen 98.
(3)               Setelah penyampaian apa-apa notis di bawah subseksyen (2), Pentadbir Tanah hendaklah (melainkan satu nota sedemikian telah diendorskan di bawah seksyen 128), mengendorskan, atau menyebab­kan diendorskan, di atas dokumen hakmilik daftaran kepada tanah yang dipersoalkan suatu nota yang menyatakan bahawa tanah itu adalah tertakluk kepada tindakan kerana pelanggaran syarat.
(4)               Apabila tiba tarikh, dan pada masa dan tempat, sebagaimana yang dinyatakan dalam mana-mana notis sedemikian, Pentadbir Tanah hendaklah mengadakan suatu siasatan selaras dengan peruntukan­-peruntukan Akta ini, dan, pada selesai siasatan itu­
(a)                jika didapati olehnya bahawa pelanggaran itu telah diremedikan, maka dia hendaklah mengisytiharkan mengenainya melalui perintah, dan hendaklah membatal atau menyebabkan dibatalkan apa-apa nota yang diendor­kan di bawah seksyen ini atau seksyen 128;
(b)               jika didapati olehnya saksama bahawa masa (atau di mana suatu notis di bawah seksyen 128 telah disampaikan berkenaan dengan pelanggaran itu, masa lanjutan) patut dibenarkan untuk meremedikan pelanggaran itu, maka dia hendaklah membuat satu perintah yang menentukan tindakan yang hendak diambil untuk maksud itu, dan masa dalam mana tindakan itu hendak diambil;
(c)                dalam mana-mana kes yang lain, akan mengambil pemilikan sementara tanah itu sebagaimana yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau dalam ketiadaan arahan tersebut, membuat suatu perintah yang mengisytiharkan tanah itu dilucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri.
(5)               Pembuatan satu perintah di bawah perenggan (b) subseksyen (4) hendaklah beroperasi sebagai satu penepian oleh Pihak Berkuasa Negeri, dengan syarat segala kehendak-kehendaknya betul-betul dipatuhi, mengenai hak pelucuthakan yang sedia ada oleh sebab pelanggaran dengan mana perintah itu ada kaitan; dan­
(a)                jika perintah itu dipatuhi, apa-apa nota yang diendorskan di bawah seksyen ini atau seksyen 128 hendaklah dibatalkan dengan sewajarnya;
(b)               jika perintah itu tidak dipatuhi, Pentadbir Tanah hendaklah, pada tamat tempoh yang dinyatakan di dalamnya, mengambil pemilikan sementara tanah itu sebagaimana yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau dalam ketiadaan arahan tersebut, membuat suatu perintah yang mengisytiharkan tanah itu dilucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri.
(6)               Jika sekiranya pemilikan sementara diambil oleh Pentadbir Tanah di bawah perenggan (c) subseksyen (4) atau perenggan (b) subseksyen (5), peruntukan-peruntukan berikut hendaklah terpakai­--
(a)                Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana orang atau badan yang dilantik olehnya hendaklah mempunyai kuasa untuk memperbetulkan pelanggaran atas perbelanjaan Pihak Berkuasa Negeri atau perbelanjaan sendiri orang atau badan itu dengan apa-apa cara atau bentuk yang difikirkan wajar oleh Pihak Berkuasa Negeri;
(b)               apabila selesai melaksanakan remedi atau dalam tempoh tertentu sebagaimana Pihak Berkuasa Negeri fikirkan wajar selepas melaksanakan remedi tersebut, pemilikan akan dikembalikan kepada tuanpunya dengan kehendak bahawa tanah itu diselenggara dalam keadaan yang memuaskan memandangkan remedi itu dan bahawa Pihak Berkuasa Negeri, orang atau badan yang terbabit akan dibayar balik semua atau sebahagian dari perbelanjaan yang telah dialami dalam melaksanakan remedi itu sama ada dengan sekali gus atau secara ansuran; dan
(c)                jika mana-mana kehendak di bawah perenggan (b) didapati tidak dipatuhi, Pentadbir Tanah akan melaporkan kepada Pihak Berkuasa Negeri, dan jika Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati bahawa tanah itu tidak diselenggara seperti yang dikehendaki, maka ia akan membuat suatu perintah yang mengisytiharkan tanah itu dilucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri.
PELUCUTHAKAN
130.              Pelucuthakan hendaklah mula berkuatkuasa apabila pem­beritahuan dibuat dalam Warta.
(1)               Dengan seberapa segera yang boleh selepas dibuat suatu perintah di bawah seksyen 100 atau 129 mengenai mana-mana tanah (iaitu, suatu perintah yang mengisytiharkan tanah itu terlucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri kerana ketiadaan bayaran sewa atau pelanggaran mana-mana syarat), Pentadbir Tanah hendaklah menyiar­kan di dalam Warta satu pemberitahuan mengenai pelucuthakan dalam Borang 8A; dan setelah disiarkan sedemikian, pelucuthakan itu hendaklah mula berkuatkuasa sepertimana yang disebutkan dalam seksyen 131.
(2)               Salinan mana-mana pemberitahuan yang disiarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah disiarkan selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 433, dan Pentadbir Tanah hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh selepas pemberitahuan itu disiarkan, men­daftar atau menyebabkan didaftarkan satu memorial mengenainya di atas dokumen hakmilik daftaran tanah yang dipersoalkan.
Apabila mula berkuatkuasa berhubung dengan mana-mana tanah apa-apapelucuthakan di bawah Akta ini­-
(a)                tanah itu hendaklah kembali, dan terletakhak kepada, Pihak Berkuasa Negeri sebagai tanah Kerajaan, dibebas dan dilepaskan dari semua hakmilik dan kepentingan yang sedia ada atau yang boleh timbul sejurus sebelum pelucut­hakan itu mula berkuatkuasa;
(b)                maka hendaklah juga terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri, setakat mana yang dinyatakan dalam seksyen 47 dan tanpa bayaran pampasan, apa-apa bangunan yang pada masa itu wujud di atas tanah itu; dan
(c)                apa-apa item hasil tanah yang pada masa itu terhutang kepada Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan tanah itu hendaklah dihapuskan.
132.              Tanah tidak boleh diberi milik semula, dll., dalam tempoh rayuan membantah pelucuthakan.
(1)               Jika sekiranya mana-mana tanah kembali kepada Pihak Berkuasa Negeri oleh sebab bermulanya kuatkuasa mana-mana pelucuthakan di bawah Akta ini, Pihak Berkuasa Negeri, tertakluk kepada subseksyen (2), hendaklah tidak memberi milik semula atau sebaliknya melupuskannya pada bila-bila masa sebelum­
(a)                tamatnya tempoh tiga bulan dalam mana (di bawah seksyen 418) satu rayuan dibentangkan di hadapan Mahkamah membantah perintah Pentadbir Tanah di bawah seksyen 100 atau 129, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau
(b)               jika satu rayuan sedemikian dibuat dalam tempoh itu, penentuan rayuan itu dan apa-apa pembicaraan yang ber­bangkit darinya.
(2)               Peruntukan-peruntukan subseksyen (1)­--
(a)                hendaklah tidak menjejaskan kuasa Pihak Berkuasa Negeri di bawah subseksyen (2) seksyen 133 untuk membatalkan pelucuthakan pada bila-bila masa atas rayuan selaku itu oleh orang atau badan yang menjadi tuanpunya tanah itu sejurus sebelum pelucuthakan itu mula berkuatkuasa; dan
(b)               tidaklah menghalang Pihak Berkuasa Negeri dari memberi milik semula tanah itu kepada orang atau badan itu pada bila-bila masa sepertimana yang disebut di dalam sub­seksyen (3) seksyen 133.
(3)               Sekian lama peruntukan-peruntukan subseksyen (1) terpakai kepada mana-mana tanah, tiada dokumen hakmilik keluaran kepada tanah itu yang mungkin telah diserahkan balik kepada, atau sebalik­nya diperolehi oleh, Pentadbir Tanah akan dimusnahkan.
133.              Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membatalkan pelu­cuthakan, atau memberi milik semula kepada tuanpunya terdahulu atas terma-terma baru, dll.
(1)               Mana-mana orang atau badan yang menjadi tuanpunya mana-­mana tanah berimilik sejurus sebelum pelucuthakannya di bawah Akta ini bolehlah pada bila-bila masa memohon kepada Pihak Ber­kuasa Negeri untuk mendapatkan pembatalan pelucuthakan itu.
(2)               Pihak Berkuasa Negeri bolehlah atas budi bicara mutlaknya menolak atau membenarkan apa-apa petisyen di bawah seksyen ini, dan, jika ia membenarkan petisyen itu, bolehlah berbuat demikian dengan syarat segala bayaran telah dibuat oleh pempetisyen­--
(a)                jika pelucuthakan itu adalah kerana ketiadaan bayaran sewa, suatu penalti, tidak melebihi enam kali jumlah yang dia dikehendaki membayar oleh notis tuntutan yang di­sampaikan kepadanya di bawah seksyen 97, sepertimana yang difikirkan oleh Pihak Berkuasa Negeri patut dikenakan;
(b)               jika pelucuthakan itu adalah kerana pelanggaran mana-mana syarat, apa-apa jumlah wang yang Pihak Berkuasa Negeri boleh menentukan berkenaan dengan perbelanjaan yang disebabkan oleh pelucuthakan itu.
(3)               Penolakan mana-mana petisyen di bawah seksyen ini tidaklah diambil kira sebagai menjejaskan kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk memberi milik semula tanah itu kepada tuanpunya terdahulu pada bila-bila masa; dan, bagi maksud apa-apa pemberi-milikan semula sedemikian, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah, pada masa ia memberi kelulusan kepada pemberimilikan semula itu, menentukan semula sepertimana yang difikirkannya wajar berbagai perkara yang din yatakan dalam subseksyen (2) seksyen 79.
134.              Rayuan membantah pelucuthakan.
(1)               Kesahan mana-mana pelucuthakan di bawah Akta ini tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah kecuali dengan cara, atau dalam prosiding-prosiding terkemudian, satu rayuan di bawah seksyen 418 yang membantah perintah Pentadbir Tanah di bawah seksyen 100 atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, 129; dan, walau apa jua pun dalam mana-mana undang-undang bertulis lain, tiada apa-apa rayuan akan dimulakan selepas tamatnya tempoh tiga bulan yang dibenarkan untuk membawanya oleh seksyen 418 tersebut.
(2)               Tiada apa jua perintah oleh Pentadbir Tanah di bawah seksyen 100 atau 129 akan diketepikan oleh mana-mana mahkamah kecuali atas alasan ia dibuat berlawanan dengan peruntukan-peruntukan Akta ini, atau adanya kegagalan pada pihak Pentadbir Tanah untuk mematuhi kehendak-kehendak mana-mana peruntukan sedemikian; dan tiada perintah sedemikian akan diketepikan hanya oleh sebab apa-apa salah aturan dalam bentuk atau penyampaian mana-mana notis di bawah Bab 2 Bahagian Enam atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Bab 5 Bahagian Tujuh melainkan, pada pendapat mahkamah, salah aturan itu adalah dari sifat yang penting.
(3)               Dalam apa-apa rayuan sedemikian atau prosiding-prosiding lain seperti yang disebutkan dalam subseksyen (1), maka hendaklah dianggap sehingga yang sebaliknya dibuktikan bahawa semua notis yang dikehendaki disampaikan di bawah Bab 2 Bahagian Enam atau Bab 5 Bahagian Tujuh, mengikut mana-mana yang berkenaan, disampaikan dengan sempurna dan mengikut peraturan.
(4)               Peruntukan-peruntukan subseksyen (1) hendaklah tidak menyentuh hak mana-mana orang atau badan untuk mengambil satu tindakan ganti rugi terhadap Pihak Berkuasa Negeri, atau (tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen 22) terhadap mana-mana pegawai yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri, berkenaan dengan apa-apa perbuatan atau benda yang dilakukan dengan salahnya, atau diperintah supaya dilakukan atau ditinggal dari dilakukan, berkaitan dengan apa-apa pelucuthakan di bawah Akta ini.

No comments:

Post a Comment