Sunday 1 July 2012

HAK DAN KUASA PIHAK BERKUASA NEGERI




40.                  Harta dalam bentuk tanah Kerajaan, galian dan bahan batuan.
Maka adalah dan hendaklah terletakhak hanya kepada Pihak Berkuasa Negeri semua harta dalam­
(a)                semua tanah Kerajaan dalam wilayah-wilayah Negeri itu;
(b)                semua galian dan bahan batuan yang terkandung dalam atau atas mana-mana tanah dalam Negeri yang hak kepada­nya belum lagi dilupuskan dengan khususnya oleh Pihak Berkuasa Negeri.
41.                  Kuasa pelupusan Pihak Berkuasa Negeri, dan hak perkem­balian, dll.
Tanpa menjejaskan kuasa dan haknya di bawah mana-mana undang-­undang bertulis lain buat masa itu berkuatkuasa, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mempunyai­
(a)                semua kuasa pelupusan yang diberikan oleh seksyen 42 mengenai­
(i)                 harta yang terletakhak kepadanya di bawah seksyen 40,
(ii)               tanah rizab, dan
(iii)             tanah lombong,
kuasa yang mana hendaklah dijalankan dengan apa-apa cara dan setakat mana yang diberi kuasa oleh peruntukan-peruntukan Akta ini, dan tidak sebaliknya; dan
(b)                semua hak perkembalian dan lain-lain hak yang serupa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 46.
(1)               Tertakluk kepada subseksyen (2), Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mempunyai kuasa di bawah Akta ini­
(a)                untuk memberimilik tanah Kerajaan selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 76;
(b)               untuk merizabkan tanah Kerajaan, dan memberi pajakan tanah rizab, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 1 Bahagian Empat;
(c)                untuk membenarkan pendudukan tanah Kerajaan, tanah rizab dan tanah lombong di bawah lesen pendudukan sementara yang dikeluarkan selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 2 Bahagian Empat;
(d)               untuk membenarkan mengeluar dan mengambil dari mana-mana tanah, selain dari hutan simpanan, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 3 Bahagian Empat;
(e)                untuk membenarkan penggunaan ruang udara atas tanah Kerajaan atau tanah rizab selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 4 Bahagian Empat dengan syarat bahawa ruang udara tersebut hendaklah dalam lingkungan rangkai apa-apa jenis yang dibina di atasnya.
(2)               Tiada apa jua dalam Akta ini akan membolehkan Pihak Ber­kuasa Negeri­
(a)                melupuskan mana-mana tanah untuk maksud melombong (dalam pengertian Enakmen Perlombongan);
(b)               membenarkan mengeluar atau mengambil bahan batuan dari mana-mana tanah untuk maksud mendapatkan logam atau galian daripadanya;
(c)                melupuskan mana-mana tanah untuk maksud mengambil hasil hutan daripadanya; atau
(d)               memberimilik mana-mana tanah supaya mempunyai kesan bahawa mana-mana tanah yang kurang daripada dua perlima hektar tertakluk kepada kategori "pertanian" atau kepada mana-mana syarat yang memerlukan penggunaannya bagi apa-apa maksud pertanian yang dipegang oleh lebih dari seorang atau satu badan, dengan syarat bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh, dalam keadaan-keadaan luar biasa, memberimilik tanah tersebut kepada lebih dari seorang atau satu badan walaupun tanah itu kurang dari dua perlima hektar.
43.                  Orang-orang dan badan-badan kepada siapa tanah boleh dilupuskan.
Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Bahagian Tiga Puluh Tiga (A), kuasa pelupusan yang diberi kepada Pihak Berkuasa Negeri oleh seksyen 42 bolehlah dijalankan hanya bagi memihak, dan permohonan untuk menjalankan kuasa itu bolehlah diterima hanya daripada, orang-orang atau badan-badan berikut­
(a)                orang-orang benar selain daripada remaja;
(b)                perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan mereka untuk memegang tanah;
(c)                raja-raja pemerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957;
(d)                badan-badan yang diberi kuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain: Dengan syarat bahawa tidaklah perlu bagi sesebuah perbadanan mempunyai kuasa memegang tanah untuk membolehkannya memohon, dan dikeluarkan kepadanya, suatu permit untuk menge­luarkan dan mengambil bahan-bahan batuan.
(1)               Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini dan mana-mana undang-undang bertulis lain buat masa itu berkuatkuasa, mana-mana orang atau badan yang kepadanya (di bawah Akta ini atau di bawah undang-undang tanah terdahulu), tanah telah diberi­ milik, tanah rizab telah dipajakkan atau lesen pendudukan sementara (termasuk suatu lesen yang digelar begitu di bawah undang-undang tanah terdahulu) telah diberi berkenaan dengan mana-mana tanah, maka orang atau badan itu berhak­
(a)                mengguna dan menikmati secara eksklusif seluas mana ruang udara yang ada di atas permukaan tanah itu, dan seluas mana tanah yang ada di bawah permukaan itu, sepertimana yang perlu dengan munasabahnya untuk penggunaan dan penikmatan tanah itu mengikut undang-undang;
(b)               kepada pergantungan atas tanah dalam keadaan aslinya oleh mana-mana tanah di sebelahnya, dan semua hak ash lain yang sedia ada berkenaan dengannya; dan
(c)                di mana tanah itu bersempadan dengan tepi pantai atau mana-mana sungai atau tempat awam, kepada hak masuk­keluar ke situ, tetapi tertakluk kepada apa-apa peruntukan nyata dalam dokumen hakmilik, pajakan atau lesen.
(2)               Bagi maksud-maksud perenggan (c) subseksyen (1), tanah hendaklah dianggap sebagai bersempadan dengan sungai atau jalan meskipun tanah itu terpisah darinya oleh tanah yang disimpan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk penggunaan yang berkaitan dengan­nya, atau bagi maksud yang berkaitan dengan penyenggaraan atau pemeliharaannya.
45.              Keluasan pelupusan: galian, bahan batuan dan hasil dari hutan.
(1)               Mana-mana orang atau badan yang kepadanya tanah telah dilupuskan dengan salah satu cara yang disebut dalam seksyen 44 hendaklah, dalam ketiadaan mana-mana peruntukan nyata sebaliknya dalam dokumen hakmilik, pajakan atau lesen, mengikut mana-mana yang berkenaan, berhak­
(a)                untuk mengeluar, memindah atau menggunakan di dalam sempadan tanah itu, apa-apa bahan batuan yang terdapat di dalam atau di atas tanah itu, dan
(b)               untuk menebang, menebas, memusnah atau menggunakan di dalam sempadannya apa-apa hasil dari hutan yang terdapat di dalamnya.
(2)        Tiada seseorang atau badan yang kepadanya tanah telah dilupuskan sebagaimana yang disebut sebelum ini hendaklah berhak­ -
(a)            untuk mencabutkan apa-apa logam atau galian dari mana-mana bahan batuan yang terdapat di dalam atau di atas tanah itu; atau
(b)           untuk membawa keluar daripada sempadan tanah itu apa-apa bahan batuan atau hasil dari hutan yang dicabut atau diambil daripada tanah itu atau apa-apa benda yang diperolehi atau diusahakan daripadanya:
Dengan syarat bahawa tiada apa jua dalam subseksyen ini boleh menghalang mana-mana orang atau badan daripada melakukan sesuatu yang telah diberi kuasa oleh atau di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang buat masa itu berkuatkuasa yang berhubungan dengan perlombongan atau perhutanan; dan tiada apa jua dalam perenggan (b) boleh menghalang mana-mana orang atau badan daripada melakukan sesuatu yang telah diberi kuasa oleh suatu permit buat masa itu berkuatkuasa di bawah Bab 3 Bahagian Empat.
46.              Perkembalian, dll., kepada Pihak Berkuasa Negeri.
(1)               Tanpa menjejaskan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain buat masa itu berkuatkuasa, tanah berimilik hendaklah kembali dan terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam keadaan-keadaan berikut­
(a)            setelah tamatnya tempoh (jika ada) yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik mengenainya;
(b)           setelah suatu notis disiarkan dalam Warta di bawah seksyen 130 (iaitu suatu notis yang disiarkan apabila suatu perintah menyita dibuat oleh Pentadbir Tanah atas alasan-alasan tidak membayar sewa atau pelanggaran syarat);
(c)            dalam keadaan-keadaan yang disebut dalam seksyen 351 dan 352 (yang masing-masingnya berkait dengan kematian seorang tuanpunya tanpa waris, dan peninggalan hakmilik oleh tuanpunya); dan
(d)           setelah diserahkannya balik selaras dengan peruntukan-­peruntukan Bahagian Dua Belas;
dan mana-mana bahagian tanah berimilik yang terjejas oleh per­kautan laut atau mana-mana sungai hendaklah kembali dan terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan seksyen 49.
(2)               Tanpa  menjejaskan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain buat masa itu berkuatkuasa, tanah rizab hendaklah terhenti daripada menjadi rizab setelah berkuatkuasanya apa-apa pembatalan mengenainya di bawah seksyen 64.
(3)               Pajakan tanah rizab, dan lesen serta permit yang dikeluarkan di bawah Akta ini, hendaklah terhenti apabila tamatnya tempoh yang ia telah diberi atau dikeluarkan, atau apabila berlakunya sebelum masa itu apa-apa kejadian yang ditetapkan sebegitu dalam pajakan, lesen atau permit itu, atau dalam mana-mana kaedah yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen 14; apa-apa lesen atau permit yang dikeluarkan di bawah Akta ini hendaklah juga terhenti apabila berlaku kematian orang atau pembubaran badan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 416 sebelum masa itu mengenai orang atau badan buat masa itu berhak mendapat faedah darinya.
46A.    Perkembalian kepada Pihak Berkuasa Negeri sesuatu baha­gian yang tak dipecahkan mengenai tanah.
Di mana sesuatu bahagian yang tak dipecahkan mengenai tanah dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Negeri di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini, atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain, atau menurut kuasa mana-mana kontrak atau perjanjian, sama ada lisan atau bertulis, formal atau tak formal, nyata atau tersirat, bahagian tak pecah yang dikembalikan demikian kepada Pihak Berkuasa Negeri hendaklah terletakhak dan didaftarkan atas nama mana-mana pihak berkuasa berkanun yang dinamakan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk memegang bahagian tak pecah itu bagi pihak, dan untuk faedah Pihak Berkuasa Negeri.
47.              Bangunan akan diletakhakkan kepada Pihak Berkuasa Negeri atas perkembalian, dll.
(1)               Apabila berlakunya perkembalian mana-mana tanah berimilik kepada Pihak Berkuasa Negeri, atau penentuan mana-mana pajakan tanah rizab, atau mana-mana lesen atau permit yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengenai mana-mana tanah di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis terdahulu, maka hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (3), terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri semua bangunan di atas tanah itu (yang dibina oleh sesiapa jua) selain dari apa-apa binaan sementara dan yang boleh dipindahkan.
(2)               Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada pampasan akan kena dibayar oleh Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan mana-mana bangunan yang terletakhak kepadanya menurut seksyen ini.
(3)               Peruntukan-peruntukan sub-subseksyen (1) dan (2) akan mempunyai kesan tertakluk kepada apa-apa peruntukan sebaliknya dalam dokumen hakmilik mengenai tanah yang dipersoalkan atau mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai pajakan, lesen atau permit yang dipersoalkan itu.
48.              Tiada pemilikan menentang terhadap Kerajaan.
Tiada hakmilik tanah Kerajaan boleh diperolehi secara pemilikan, pendudukan tak sah atau pendudukan di bawah mana-mana lesen untuk mana-mana tempoh sekalipun.
49.              Kesan maraan atau munduran laut, dll.
Jika pinggir laut atau dasar mana-mana sungai mara sehingga mengaut mana-mana tanah berimilik, kawasan yang terjejas oleh perkautan itu hendaklah selepas itu terhenti dari menjadi sebahagian daripada tanah itu, dan hendaklah menjadi tanah Kerajaan; tetapi sempadan tanah berimilik itu tidaklah (kecuali dalam keadaan-­keadaan yang disebutkan. dalam perenggan (ii) bagi proviso kepada subsubseksyen (2) seksyen 353) terjejas oleh mundurnya pinggir laut atau dasar mana-mana sungai.

No comments:

Post a Comment