Friday 13 September 2013

ALASAN PENGHAKIMAN 1 KES 425KTN


ALASAN PENGHAKIMAN  
- BERKAITAN NOTIS DI BAWAH SEKSYEN 425 KTN

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA
(BAHAGIAN RAYUAN)
RAYUAN SIVIL NO:

ANTARA
1.  YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH GUA MUSANG
2.  PENOLONG PENTADBIR TANAH & JAJAHAN GUA MUSANG

3.  KERAJAAN NEGERI KELANTAN                                        ... PERAYU-PERAYU

DAN
1.  PEDIK BIN BUSU
2.  MALEK A/L PEDIK
3.  AWONG BIN BUSU
4.  MELAH A/L AWONG                                              ... RESPONDEN-RESPONDEN


DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU
DALAM NEGER KELANTAN
SAMAN PEMULA NO:  24-245-2007
ANTARA
1.  PEDIK BIN BUSU
2.  MALEK A/L PEDIK
3.  AWONG BIN BUSU
4.  MELAH A/L AWONG                                                             .. PLAINTIF-PLAINTIF
DAN
1.  YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH GUA MUSANG
2.  PENOLONG PENTADBIR TANAH & JAJAHAN GUA MUSANG

3.  KERAJAAN NEGERI KELANTAN                             ... DEFENDAN-DEFENDAN
ALASAN PENGHAKIMAN

A.      Dalam kes ini ke empat-empat Plainitf memfailkan Saman Pemula Kandungan 1 untuk perintah deklarasi bahawa:
1.      Pemilikan tanah yang diduduki mereka di Kg. Jias, RPS Kawasan Kuala Betis, Gua Musang (tanah tersebut);
2.      Mereka berhak mengamalkan agama pilihan mereka sendiri di bawah Perlembagaan Malaysia dan dengan itu mendirikan rumah beribadat di tanah tersebut;
3.      Notis di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan oleh Defendan 2 terhadap Plaintif tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954;
4.      Tindakan Defendan 1 mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap Plaintif tidak sah.
5.      Tindakan Defendan 1 dan 2 merobohkan rumah ibadat itu merupakan suatu pencerobohan.
6.      Tindakan Defendan 1 dan 2 meroboh rumah ibadat itu merupakan suatu penyalahgunaan kuasa.
7.      Pembinaan tapak rumah ibadat itu yang dipolitikkan merupakan satu pencerobohan.
8.      Gantirugi am dibayar oleh Defendan-Defendan kepada mereka kerana menceroboh rumah ibadat itu dan
9.      Kos.

B.      Di antara alasan utama permohonan mereka ialah:
          1.      Plaintif-Plaintif mempunyai tanah adat di Kampung Jias.
         2.       Mereka telah membina sebuah bangunan untuk tujuan rumah ibadat bagi penduduk yang beragama Kristian.
3.      Pada 11/04/07, Defendan 2 menghantar notis kepada mereka supaya menghentikan pembinaan rumah ibadat itu dan seterusnya merobohkannya dalam tempoh 2 minggu.   Rujuk Ekshibit P2 Kandungan 2.
4.      Pada 19/04/07 dan 24/05/07, mereka menerima 2 notis lagi daripada Defendan 1 supaya merobohkan bangunan itu dalam tempoh 30 hari (Rujuk Ekshibit P3 & Kandungan 2)     
5.      Pada 04/06/07 lebih kurang jam 10.00 pagi seramai lebih kurang 20 orang kakitangan Defendan 1 yang disertai oleh anggota Polis dan Rela telah merobohkan bangunan rumah ibadat itu (Rujuk gambar-gambar Ekshibit P6 Kandungan 2).
6.      Plaintif membuat laporan polis Ekshibit P5 Kandungan 2.
7.      Tindakan Defendan-Defendan itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia.
Alasan-alasan lengkap adalah seperti yang terkandung dalam Afidavit Sokongan Kandungan 2 dan Afidavit Balasan Kandungan 9.

C.      Defendan 1 memfailkan Afidavit Jawapan Kandungan 5 membantah Kandungan 1.    Di antara alasan bantahan ialah:
          1.      Tindakan kakitangan Defendan 1 adalah sah.
2.      Bangunan rumah ibadat itu didirikan bertentangan dengan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana ianya tidak mendapat kelulusan daripada Defendan 1 selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai autoriti.

D.      Defendan 2 dan 3 tidak memfailkan sebarang Afidavit Jawapan.

E.      Isu-Isu Yang Perlu Diputuskan
1.      Sama ada Pihak Berkuasa Tempatan atau Negeri mempunyai kuasa yang sah merobohkan bangunan rumah ibadat itu?
2.      Sama ada binaan rumah ibadat itu termasuk dalam hak-hak adat dan budaya Orang Asli?
3.      Sama ada binaan rumah ibadat itu dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang yang sedia ada?
4.      Sama ada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Kanun Tanah Negara terpakai kepada tanah orang-orang Asli?
5.      Sama ada Defendan-Defendan mematuhi notis-notis yang diberikan kepada Plaintif-Plaintif?

F.      Dapatan Oleh Mahkamah
Mengenai isu pertama, s. 1(6) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan seperti Defendan 1 menyelia dan memantau tanah Orang Asli jika kawasan itu diwartakan.   Defendan 3 telah mewartakan Mukim Ulu Nenggiri dalam kawasan seliaan Defendan 1 melalui Warta Kn PU 956 bertarikh 15/09/05 berkuatkuasa 01/09/05.  Pemakaian Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 adalah menyeluruh dan mengatasi Akta Orang Asli.  Ini bererti Defendan 1 mempunyai kuasa merobohkan sesuatu bangunan yang dibina dalam bidang kuasanya jika bangunan itu tidak mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh undang-undang.
          Mengenai isu kedua, rumah ibadat tidak termasuk dalam hak adat dan budaya Orang Asli kerana memeluk agama Kristian adalah amalan baru dan bukan amalan turun temurun nenek moyang mereka.  Mahkamah Tinggi dalam kes Kerajaan Negeri Johor & Anor v Adong bin Kuwau & Ors [1998] 2 CLJ 665 memutuskan bahawa:-
‘the aboriginal peoples’ rights over the land include the right to move freely about their land, without any form of disturbance or interference and also to live from the produce of the land itself, but not to the land itself in the modern sense that the aborigines can convey, lease out, rent out the land or any produce therein since they have been in continuous and unbroken occupation and/or enjoyment of the rights of the land from time immemorial’.
Keputusan ini disahkan oleh Mahkamah Rayuan.  Rujuk keputusan kes Mahkamah Rayuan Kerajaan Negeri Johor & Anor v Adong bin Kuwau & Ors [1998] 2 CLJ 665.
          Mengenai isu ketiga, pembinaan rumah ibadat adalah dibenarkan di bawah undang-undang, namun ia perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang sedia ada.  Perkara 11(3)(c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa:
‘Every religious group has the right
(c) to acquire and own property and hold and administer it in  accordance with law’    
Namun dalam kes ini Plaintif-Plaintif tidak membuat permohonan untuk kelulusan pembinaan bangunan tersebut.
Mengenai isu ke empat, adalah jelas menurut s. 5 KTN bahawa tanah-tanah masih tanah Kerajaan. Hak milik tanah itu masih belum diberikan atau dikeluarkan kepada Plaintif-Plaintif.  Plaintif-Plaintif tidak mengemukakan bukti yang tanah               itu dikeluarkan hak milik kepada mereka.  Keputusan kes Mahkamah Rayuan Negeri Selangor & Ors v Sagong Tasi & Ors [2004] 4 CLJ 109 memutuskan bahawa KTN tidak terpakai ke atas tanah adat Orang Asli berdasarkan s.4(2)(a) KTN.   Isunya ialah adakah hartanah yang dipertikaikan itu tanah adat Orang Asli?  Jawapannya tidak.   Kawasan itu masih tanah RPS (Rancangan Penempatan Semula) yang belum diberi hak milik.  Ia bukan tanah adat.   Namun begitu Akta Jalan, Parit dan bangunan 1974 adalah terpakai kepada tanah yang dipertikaikan dalam kes ini seperti yang dijelaskan dalam isu pertama di atas.
          Mengenai isu kelima, Mahkamah dapati Defendan 1 tidak mematuhi notis-notis yang diberikan mereka Ekshibit P3.  Mereka tidak menunggu tempoh masa 30 hari yang diberikan kepada Plaintif dalam notis-notis itu tetapi sebaliknya merobohkan bangunan rumah ibadat itu sebelum tempoh notis tamat.  Pada hemat Mahkamah, ini tidak wajar dilakukan.  Jika notis diberi dalam tempoh yang ditetapkan, notis itu hendaklah dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan seandainya Plaintif-Plaintif tidak mematuhi notis yang diarahkan.  Menurut Notis Ekshibit P2, Defendan 2 mengarahkan Plaintif merobohkan rumah ibadat itu dalam tempoh 2 minggu dari tarikh notis 11/04/07.  Namun terdapat juga 2 notis lagi Ekshibit P3 yang memberi tempoh 30 hari, dan Defendan 1 bertindak bersama dengan Defendan 2, maka adalah wajar, “benefit” notis 30 hari diberikan kepada Plaintif-Plaintif.  Hak Plaintif-Plaintif sepatutnya dihormati.

G.      Keputusan Mahkamah
Berdasarkan kepada perenggan F di atas, Mahkamah memberi perintah seperti berikut:-
1.           Pemilikan tanah Plaintif dalam hartanah itu sah, walau pun hartanah itu bukan tanah adat dan belum dikeluarkan hak milik kepada mereka.
2.           Mereka berhak mengamalkan agama pilihan mereka.  Mereka juga boleh membina rumah ibadat mereka walau pun ia bukan hak adat dan budaya mereka, namun ia hendaklah mematuhi kehendak undang-undang khusus Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 memandangkan kawasan tanah mereka itu telah diwartakan oleh Kn PU 956 dan ditetapkan di bawah penyeliaan Majlis Daerah Gua Musang.   Permohonan membina bangunan rumah ibadat itu hendaklah dikemukakan kepada Defendan 1.           Oleh kerana Akta tersebut tidak dipatuhi, pembinaan rumah ibadat itu adalah tidak sah.
3.           Notis di bawah seksyen 425 KTN boleh dikeluarkan oleh Defendan 2.  Ia sah.  Namun, terdapat dua lagi notis yang dikeluarkan oleh Defendan 1 yang memberi tempoh 30 hari, Ekshibit P3, maka notis-notis P3 ini hendaklah dibaca bersama dengan Ekshibit P2.  Tempoh 30 hari patut diikuti.
4.           Notis yang tepat di bawah seksyen 72(6) juga boleh dikeluarkan oleh Defendan 1   tetapi   Defendan   1  sendiri  tidak  mematuhi tempoh notis 30 hari yang diberi. 
5.           Prayer 5, perobohan rumah ibadat itu tidak wajar dilakukan sebelum tempoh 30 hari tamat.  Defendan 1 dan 2 sepatutnya meroboh rumah ibadat itu selepas notis 30 hari tamat sekiranya Plaintif-Plaintif masih gagal mematuhi peruntukan undang-undang tersebut.
6.           Prayer 6 adalah positif.
7.           Prayer 7 adalah negatif.
8.           Tindakan Defendan 1 dan 2 adalah tidak mematuhi peruntukan notis yang dikeluarkan oleh mereka sendiri, Mahkamah ini memerintahkan Defendan 1 – 3 membayar gantirugi kepada Plaintif-Plaintif dengan kos.  Kerugian hendaklah ditaksirkan.  Mahkamah juga mengawardkan gantirugi teladan berdasarkan kepada keputusan kes Mahkamah Rayuan Kerajaan Negeri Selangor & 3 Ors v Sagong bin Tasi & 6 Ors [2005] 5 AMR 625.    Gantirugi itu hendaklah ditaksirkan.








Bertarikh Pada:   29 Oktober 2009





(DATO’ MOHD AZMAN BIN HUSIN)
HAKIM
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KOTA BHARU

Peguam Plaintif-Plaintif   :   En. Law Chee Seng bersama N.Subramaniam
Peguam Defendan 1        :   En. Mohd Yusoff

Peguam Defendan 1 & 2  :   En. Khairul Anuar bin Wahab

No comments:

Post a Comment