Saturday 21 June 2014

NKRA antirasuah syor dana politik diisytihar

NKRA antirasuah syor dana politik diisytihar

N Sevagamy, Bernama | 11:21AM Jun 7 2014
Selepas berdepan masalah mewujudkan badan pemantau dana politik berikutan kurangnya kerjasama parti-parti politik, pihak Bidang Keberhasihan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah kini bercadang untuk mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu untuk tujuan itu.
Badan itu berpendapat peruntukan undang-undang diperlukan untuk mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.
Pengarah NKRA Mencegah Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata pihaknya sedang melihat kepada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu atau mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam penyeliaan parti-parti politik.
"Pihak kami juga bercadang untuk meneliti beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), bagi melihat keperluan untuk mencadangkan pindaan-pindaan," katanya kepada Bernama  di Kuala Lumpur.
Hisham berkata sama ada ia satu akta baharu atau pindaan kepada akta sedia ada, pihak NKRA Mencegah Rasuah berpendapat pemantauan dana politik hanya dapat dijalankan dengan berkesan apabila keperluan melaporkan sumber dana politik itu menjadi mandatori kepada semua parti politik.
"Contohnya parti politik perlu mengisytiharkan penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan mengemukakan resit kerana ia merupakan peraturan yang dikeluarkan oleh ROS.
"Tapi kalau parti politik tidak mematuhi peraturan itu, ROS tidak boleh buat apa-apapun sebab ia hanya peraturan bukan akta. Jadi untuk lebih telus dalam dana politik, kena ada akta," katanya.
Hisham berkata parti-parti politik mungkin tidak bersedia untuk mendedahkan penyumbang dana politik masing-masing pada masa ini untuk menjaga kredibiliti seseorang pemimpin dalam parti berkenaan.
"Pandangan saya ialah pemantauan dana politik amat penting bagi menutup segala ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah. Oleh itu, setiap dana politik yang disalurkan perlu diaudit dan direkodkan bagi menunjukkan ketelusan parti itu," katanya.

Pada Februari 2012, melalui Pelan Transformasi Kerajaan (GTP),  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Anti-Rasuah.
 
Najib berkata pembiayaan politik di peringkat pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu.

No comments:

Post a Comment