Wednesday, 20 November 2013

Kuasa merobohkan rumah setinggan

Kuasa merobohkan rumah setinggan

KALAU anda sudah miliki rumah sendiri, walau sederhana atau kecil sekalipun, bersyukurlah anda atas nikmat kurniaan Ilahi ini.
Pastinya anda merasa amat selesa sekali menyambut kedatangan Syawal pada minggu depan. Anda selesa kerana kini sudah punyai tempat berteduh sendiri untuk membesarkan keluarga di masa depan.
Andainya anda belum lagi memiliki rumah sendiri tetapi masih mampu menyewa rumah orang lain, anda juga wajar bersyukur kerana anda masih hidup selesa lagi dengan kemampuan yang anda ada sekarang.
Berbeza halnya dengan orang lain yang hanya mampu menduduki rumah setinggan. Kedudukan mereka amat rapuh sekali dan penuh risiko, kerana dari segi undang-undang, rumah setinggan boleh dirobohkan oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa sahaja.
Saya diingatkan kembali keadaan yang tidak menyenangkan ini setelah membaca satu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang baru sahaja dilaporkan dalam jurnal undang-undang. Keputusan mahkamah yang saya maksudkan itu melibatkan kes Shamsudin bin Che Mat & 11 Orang Lain lwn. Datuk Bandar Kuala Lumpur [2000] 4 AMR 4607.
Secara ringkas, fakta kes ini adalah seperti berikut. Shamsudin dan 11 orang lain (yang menjadi pemohon dalam kes ini) adalah penghuni rumah setinggan yang didirikan di atas tanah kerajaan.
Rumah tersebut telah didirikan tanpa sebarang pelan yang diluluskan. Di bawah peraturan 4, Essential (Clearance of SquattersRegulations 1969 (peraturan tersebut), responden (Datuk Bandar Kuala Lumpur, DBKL) ada kuasa merobohkan rumah tersebut.
Untuk tujuan itu, DBKL telah mengeluarkan notis kepada Shamsudin dan kawan-kawannya itu untuk mengosongkan tanah itu (notis pengosongan).
Shamsudin dan kawan-kawannya terkilan dengan tindakan DBKL itu. Mereka kemudian secara sepakat memohon perintah mahkamah (dipanggil certiorari) untuk membatalkan notis DBKL tersebut. Permohonan mereka itu dibicarakan di hadapan hakim Datuk Faiza Tamby Chik pada Mei lalu.
Antara beberapa isu undang-undang yang perlu diputuskan oleh mahkamah adalah seperti berikut:
(a) Sama ada DBKL ada hak di sisi undang-undang untuk merobohkan rumah itu;
(b) Sama ada DBKL dikehendaki memberi apa-apa notis tertentu kepada penghuni rumah setinggan itu;
(c) Makna 'rumah setinggan' di sisi undang-undang berkenaan, iaitu peraturan tersebut; dan
(d) Sama ada kuasa DBKL untuk merobohkan rumah itu masih ada lagi.
Setelah mendengar hujah yang dikemukakan oleh peguam bagi kedua-dua pihak, hakim bicara menyatakan bahawa sebagai pihak berkuasa tempatan, DBKL memang ada kuasa di sisi undang-undang (peraturan 4 Peraturan 1969 itu) untuk merobohkan apa juga rumah atau bangunan yang telah dibina tanpa sebarang pelan yang diluluskan.
Skop kuasa yang ada pada DBKL adalah amat luas sekali kerana DBKL ada kuasa merobohkan semua rumah setinggan yang dibina atas tanah kerajaan, tanah rizab, tanah lombong dan tanah hutan.
Mengikut peraturan 4 itu, DBKL tidak diwajibkan menghantar apa-apa notis kepada penghuni rumah setinggan sebelum kerja merobohkan dijalankan.
Mengenai soal apakah sebenarnya suatu 'rumah setinggan' (squatter huts) itu, peraturan 3 mentakrifkan istilah itu sebagai bermakna apa-apa rumah atau bangunan yang dibina tanpa sebarang pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. Disebabkan rumah yang hendak dirobohkan dalam kes ini telah dibina tanpa sebarang pelan bangunan yang diluluskan oleh DBKL, tindakan merobohkan rumah itu di bawah peraturan tersebut adalah sah dan teratur.
Hakim bicara selanjutnya menegaskan bahawa peraturan tersebut merupakan salah satu undang-undang yang diluluskan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 yang kemudian digantikan dengan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979, yang masih lagi berkuat kuasa sekarang.
Oleh yang demikian, adalah tidak benar untuk dikatakan (seperti yang telah dihujah oleh peguam bagi pihak pemohon) bahawa kuasa DBKL di bawah peraturan tersebut sudah luput dan tidak wujud lagi.
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari kes ini, selain prinsip undang-undang yang kita katakan di atas tadi bahawa menduduki rumah setinggan bukan sesuatu yang selamat, malahan penuh risiko pada setiap waktu?
Di peringkat awal lagi hakim bicara menegaskan bahawa isu undang-undang yang penting dalam kes ini ialah sama ada DBKL ada kuasa di bawah peraturan tersebut untuk merobohkan rumah setinggan yang diduduki oleh pemohon.
Disebabkan istilah 'rumah setinggan' telah ditakrif secara khusus dan meliputi semua rumah yang didirikan tanpa sebarang pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (iaitu DBKL sendiri), ini bermakna isu-isu lain menjadi kurang penting kerana undang-undang hanya menekankan pembinaan rumah tanpa sebarang pelan yang diluluskan.
Kata hakim bicara ''Biarlah saya pada awal sekali menegaskan bahawa responden dalam kes ini adalah pihak berkuasa tempatan yang diberi kuasa merobohkan apa-apa rumah atau struktur yang didirikan tanpa sebarang pelan. Isu hak milik atau kepentingan penghuni rumah setinggan itu tidak menjadi isu yang perlu diberi pertimbangan di bawah peraturan ini.''
Hakim bicara seterusnya menjelaskan bahawa di bawah Bahagian II Peraturan 1969 itu, DBKL ada kuasa merobohkan rumah setinggan yang didirikan atas tanah kerajaan, manakala di bawah Bahagian III, DBKL ada kuasa merobohkan rumah setinggan yang didirikan atas tanah beri milik.
Bahagian II berbeza dengan Bahagian III kerana di bawah Bahagian II, kuasa DBKL merobohkan rumah setinggan itu tidak bergantung kepada pemberian notis kepada penghuni rumah tersebut.
Bagi rumah setinggan yang dibina atas tanah kerajaan, DBKL mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat kerja merobohkan rumah setinggan tanpa memberi apa-apa notis kepada penghuninya. Dalam kes ini, hakim bicara mengatakan bahawa berasaskan humanitarian grounds (sebab-sebab kemanusiaan), DBKL telah mengeluarkan notis pengosongan itu kepada Shamsudin dan 11 kawannya yang lain.
Di penghujung penghakimannya, hakim bicara juga menyatakan bahawa pemohon dalam kes ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (menceroboh tanah kerajaan).
Selain itu, mereka juga telah melakukan kesalahan di bawah satu undang-undang lain yang ada kaitan dengan perancangan. Hakim merujuk kepada Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang menyatakan bahawa seorang itu tidak boleh mendirikan apa-apa bangunan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis dari pihak berkuasa tempatan (No person shall erect any building without the prior written consent of the local authority).
Sehubungan ini, saya kira hakim bicara terlupa merujuk kepada Seksyen 72 Akta 1974 itu, yang juga ada menyebutkan kuasa pihak berkuasa tempatan merobohkan bangunan yang didirikan tanpa kelulusan (demolition or removal of unauthorised building).
Pendek kata, bolehlah saya rumuskan kedudukan setinggan dan rumah setinggan seperti berikut. Setinggan dari sisi undang-undang adalah penceroboh. Mahkamah tempatan telah lama menyatakan bahawa seorang setinggan itu tidak ada hak di sisi undang-undang dan ekuiti.
Andainya seorang setinggan itu kemudian mendirikan rumah atau pondok di atas tanah yang diduduki secara haram itu, yang mana pembinaan itu pasti dibuat tanpa sebarang pelan bangunan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (DBKL), rumah yang didirikan itu boleh dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (DBKL) dalam sekelip mata.
Kalau orang seperti Shamsudin merasa terkilan dengan tindakan yang dijalankan oleh DBKL dalam kes ini, pihak yang wajar disalahkan bukan pihak yang menjalankan tindakan di bawah undang-undang itu, tetapi pihak yang menggubal dasar dan peraturan itu sendiri _ andainya dasar atau peraturan itu dikira tidak lagi sesuai dan tidak 'mesra rakyat' negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1219&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz2lFgtf3Jj
© Utusan Melayu (M) Bhd 


A.        TAJUK KURSUS YANG DI TAWARKAN

1. PENGENALAN KEPADA KTN
2. SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA
3. KUASA MENANGKAP DAN MENAHAN MENGIKUT KTN DAN CPC
4. PROSEDUR TANGKAPAN DAN PENAHANAN
5. LAPORAN POLIS DAN FIR
6. PENGURUSAN BARANG KES
7. INTIPATI KESALAHAN MENGIKUT SEKSEN 425
8. INTIPATI KESAHAN MENGIKUT SEKSEN 426
9. PERAMPASAN DAN LUCUT HAK BARANG KES
10. KUASA MENYIASAT DAN KTN DAN CPC
11. KAEDAH MERAKAM PERCAKAPAN
12. MENGURUSKAN OKT DARI AWAL HINGGA AKHIR
13. PENYEDIAN KERTAS SIASATAN
14. PENYEDIAAN FAKTA KES DAN PERTUDUHAN
15.RUJUKAN KES KEPADA TPR
16. PENDAFTARAN KES DAN BORANG-BORANG MAHKAMAH
17. AKTA KETERANGAN 
18. TUGAS DAN PERANAN PEGAWAI PENDAKWA
19. TEKNIK BERHUJAH
20. PENGHUKUMAN.
21. OPERASI MEMUSNAH DAN PELAN KONTIGENSI.
22. PENCEROBOHAN TANAH MILIK DAN MENYELESAIANNYA
23. BONOS - PECEROBOHAN TANAH MILIK DAN PENYELESAIAN
                  PELAN A, PELAN B, PELAN C, PELAN D, PELAN E, PELAN F.
                  AFFIDAVIT DAN KES –KES DULUAN MAHKAMAH

A.    SASARAN PESERTA

1.      PENOLONG PEGAWAI TANAH
2.      PENOLONG PENTADBIR TANAH
3.      KETUA PENOLONG PENTADBIR TANAH
4.      PENTADBIR TANAH
5.      PEGAWAI PENYIASAT SPRM
6.      PEGAWAI PENYIASAT PDRM
7.      PELAJAR UNIVERSITI YANG BERKAITAN
8.      PERUNDING HARTA TANAH
9.      LAIN-LAIN PEGAWAI YANG DILANTIK DI BAWAH S. 12 KTN
10.  LAIN-LAIN YANG BERMINAT DAN PEMILIH TANAH YANG BERMASALAH.

B.    JANGKA MASA – HUJUNG MINGGU SABTU DAN AHAD/RUNDINGAN
C.   TEMPAT – TAIPING ATAU DITENTUKAN PEMOHON
D.   BAYARAN 1 HARI RM 1000.00.

No comments:

Post a Comment