Riwayat Hidup Umar Al Khattab
Saidina Umar al-Khattab, kadang-kadang dipanggil juga
sebagai Umar al-Farooq ataupunOmar atauUmar ialah daripada Bani Adi iaitu salah
satu golongan Bani Adi Quraisy. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23
Ogos (633-644 Masihi) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan
salah seorang Khulafa al-Rasyidin.
Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya bernama Khattab
bin Naufal bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas
pertengahan. Sewaktu kecilnya beliau pernah mengembala kambing dan pada zaman
dewasanya beliau berniaga dengan berulang-alik ke Syam membawa barang dagangan.
Beliau juga berilmu, perkara yang amat jarang berlaku pada masa tersebut, dan
juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana
kegagahannya.
Saidina Umar bin al-Khattab telah mendapat hidayat Islam
pada tahun ke-6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Beliau memeluk Islam setelah
mendengar adik perempuannya membaca ayat-ayat al-Quran . Dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah s.a.w juga pernah berdoa:
Ya Allah , kuatkanlah Islam dengan Umar. Sebuah hadis daripada Ibnu Abbas yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila Umar
memeluk Islam, Jibrail pun datang dan berkata : Ya Muhammad , sesungguhnya
seluruh makhluk langit bergembira dengan Islamnya Umar
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara
terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy.
Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam
perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang
yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu
memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya
sedang membaca al-Quran dari Surah Taha. Dalam keadaan yang marah dan kecewa
beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf
dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya.
Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat al-Quran yang begitu indah
sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.
Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi
Islam sehingga ke titisan darah terakhir.
Saidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke
Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia merupakan salah seorang
daripada Sahabat Rasulullah s.a.w..
Pada tahun 625 M, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa
mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 Masihi. Saidina
Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau
sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah
wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah
pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah
bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t.,
ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar
kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran untuk mententeramkan umat
Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi
khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar,
Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar
mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun
634 M. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.
Semasa pemerintahan Saidina Umar, empayar Islam berkembang
dengan pesat; orang Islam menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi
daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir,
Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada
di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang
Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan
tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan
Byzantine di selatan Asia Kecil.
Pada tahun 637 Masihi, selepas pengepungan Baitulmuqaddis
yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar
Baitulmuqaddis iaitu Patriarch Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada
Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di
dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina
Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak berapa jauh daripada gereja
tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan
Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di
tempat Saidina Umar menunaikan solat.
Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem
pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk
dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya
juga kota Basra dan Kufah dibina.
Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang
sederhana.
Pembaharuan Dalam Pemerintahan.
Membentuk Majlis Syura.
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang
merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada
dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman
bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Tsabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin
Abi Waqas dan Mu'az bin Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik,
keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis
tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam
soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui
apa-apa permasalahan yang berlaku dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang
dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran
dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga beliau
menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia
yang tidak berfaedah.
Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam.
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan
negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi
menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah
membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi
menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai
untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah
pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah
Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi
melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah bin Abu Sufyan, Amru bin
al-Ass, Al Mughirah bin Syu’bah dan Zaid bin Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan
harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang
dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian
Islam.
Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah.
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk
melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syam dan Iraq misalnya,
segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil
dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara
itu juga. Khalifah Umar juga menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh
penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan
mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza
dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada
tentera yang menyertai peperangan.
Pembaharuan dalam bidang ekonomi.
Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan
pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan
sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang
ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan.
Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan
Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah
langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini
menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah. Beliau
juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga
mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan
Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.
Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi.
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah
kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan
tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang
Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basrah supaya mereka bersumpah,
bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam diberikan sama rata seperti apa yang
dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan
dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah
harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti
rugi oleh kerajaan Islam.
Memperbaharui taraf kedudukan hamba.
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan
sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh
hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecuali bagi orang-orang yang
benar-benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba
perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti
hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh
dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam
apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal
kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh,
Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi
pekerjanya yang sakit.
Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran.
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk
mengembangkan pelajaran al-Qur'an. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar
pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang
memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di
masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam
diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan
prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah
dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu
usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.
Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi.
Memajukan sistem pertanian.
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem
pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang
menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar
Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan
Sungai Dajlah (Tigris) dengan bandar Basrah.
Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan
tanam-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah
baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan
ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya. Begitu juga
beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.
Saidina Umar wafat pada tahun 644 Masihi selepas dibunuh
oleh seorang hamba Majusi Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah atau Pirouz. Abu
Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar.
Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam
di Masjid Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan
dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan juga makam Saidina Abu
Bakar. Saidina Uthman bin Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..
Share
No comments:
Post a Comment