Sunday 29 September 2013

KESAN MEMINDA KERTAS SIASATAN

Pinda kertas siasatan: Bekas DPP didakwa


Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan bekas timbalan pendakwa raya, Md Azar Irwan Mohd Arifin, 32, membela diri atas tuduhan meminda minit arahan kertas siasatan terhadap tiga suspek kes dadah, dua tahun lepas.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membangkitkan elemen-elemen pertuduhan dan membuktikan kes prima facie terhadap Md Azar.

Mahkamah menetapkan 7 dan 8 Jun depan untuk Md Azar membela diri. Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Md Azar didakwa menulis arahan di dalam kertas siasatan supaya Quah Guat Chin, Wong Kok Seng dan Low Teck Seng dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta yang sama, sedangkan dua daripada mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dia yang didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat menyelamatkan suspek daripada seksaan undang-undang berbuat demikian di pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor di tingkat empat, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, antara pukul 3.15 petang hingga 5 petang pada 12 Mac 2009.

Md Azar didakwa mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti hadir bagi pihak Ketua Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa sementara Md Azar diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin.

No comments:

Post a Comment