Perkara 5. Kebebasan diri
(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau
dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi
atau mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang sedang ditahan
dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan
itu dan, melainkan jika mahkamah itu berpuas hati bahawa tahanan itu adalah
sah, hendaklah memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu
dan melepaskannya.
(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah
diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan
dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal
undang-undang pilihannya.
(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak
dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan
walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa
apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak
boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu:
Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai
bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang
sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal
ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai
dari hari Merdeka:
Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam
pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau
ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini
hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak
munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak
termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan
perkataan "dalam tempoh empat belas hari":
Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal
penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah
Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan
sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah.
Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.
(1) Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.
(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang,
tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai
perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.
(3) Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada
mana-mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan bahawa dia
bersalah di mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian
Perkara ini, dengan syarat kerja atau khidmat itu dijalankan di bawah
pengawasan dan kawalan suatu pihak berkuasa awam.
(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis
kesemua atau mana-mana bahagian daripada fungsi mana-mana pihak berkuasa awam
dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam yang lain, bagi maksud
membolehkan fungsi-fungsi itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa
awam yang mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak
berkuasa awam yang kedua disebut, dan perkhidmatan mereka dengan pihak berkuasa
awam yang kedua disebut itu tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut
pengertian Perkara ini, dan tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut
apa-apa hak sama ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau
kedua disebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.
Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang
jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.
(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana
sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut
undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat,
dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu
kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan
itu dilakukan.
(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada
sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh
dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau
pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu
mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau
mensabitkannya itu.
Perkara 8. Kesamarataan.
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi
undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi
undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan
nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam
mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau
pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana
undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan
harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan,
perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak
kepada mana-mana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi
mana-mana Negeri.
(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh
mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau
menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa
pihak berkuasa itu.
(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau
melarang—
(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia
undang-undang diri;
(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang
mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan dengan hal ehwal mana-mana
agama, atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang
menganuti mana-mana agama, kepada orang yang menganuti agama itu;
(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan,
kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk
perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah
daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;
(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan
kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian sesuatu Negeri sebagai suatu
kelayakan bagi pemilihan atau pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang
mempunyai bidang kuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi
pengundian dalam pemilihan itu;
(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu
Negeri, yang adalah atau yang bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat
kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka;
(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan
pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.
Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan
bergerak.
(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang
negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.
(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada
mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau
mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman
pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh
Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.
(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam
kedudukan istimewa di bawah Perlembagan ini berbanding dengan Negeri-Negeri
Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan,
antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang
diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.
Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan
berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan
bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun
secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk
persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang
mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a)
Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi
kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik
dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan
yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan
Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah,
atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b)
Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi
kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman
awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c)
Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi
kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman
awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk
persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh
mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi
kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau
ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan
undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan,
keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh
peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan
dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan
mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar
apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi
maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan
institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang
dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang
persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa
perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan
dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak
boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan
agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi
pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya,
kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada
wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid
atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan
oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar
Persekutuan).
(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan
dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama
kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan
agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi
itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi
Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu
dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan
atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa
perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima
ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara
sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di
bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau
penjaganya.
Perkara 13. Hak terhadap harta.
(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya
kecuali mengikut undang-undang.
(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan
pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai
No comments:
Post a Comment