Kematian rakyat
Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat
ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding
kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu ditawan Israel.
Kekejaman itu
membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat
perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang
mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.
Walaupun AS masih
berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana
terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang
sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan
itu dengan petanda akhir zaman.
Ikuti temu bual
wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama
pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim.
Kejadian yang
berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang
boleh dikaitkan dengan andaian itu?
Petanda akhir zaman
memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali
mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang apabila peperangan
ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat
bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar
Damsyik di Syria. Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan
namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini
tanda-tanda akhir zaman. Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini
jadi tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga,
tetapi tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis
lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom
turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo,
Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah,
yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah
berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang)
antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk
Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak
akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi
serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal. Dan ketika
mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi.
Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.”
(Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).
Wallahua'lam,
berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan
masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku,
maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini
akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria. Nabi kata, ALLAH akan
menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq
dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman
itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam.
Kenapa tumpuan
diberikan kepada negara di sebelah Syria?
Mungkin ada
beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria
menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua,
Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Baginda
bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik.
Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama
di dalam sebuah kota lama. Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu
perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS. Sebab itu bumi Syria
jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain
orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut
turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis
Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat Subuh
dan disambut oleh Imam Mahdi.
Apa yang berlaku
sebelum Imam Mahdi muncul?
Sebelum turun Imam
Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah
yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa
yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah
fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.
Imam Mahdi adalah
keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin
Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah
antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan
mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal
sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa
AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.
Pada masa itu,
Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan
orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama
Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila
tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air.
Keadaan yang
berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?
Ya, memang betul
mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku
perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku
pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar
bernama Dar’a. Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan
'Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.
Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab
Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila
kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab
yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu
apa-apa.
Polis datang ke
sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap,
dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku
mereka. Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka
dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain.
Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau
mengandung lagi sekali”. Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria
bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar
berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat
demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani
lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.
Entah bagaimana,
mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan.
Ramai yang mati. Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu
di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan. Rakyat Syria memang tidak
fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan
itu dibebaskan. Itu saja. Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan,
maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria
ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang
hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan
keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Persengketaan di
Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi,
ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut
bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa
maksud hadis itu?
Nabi bersabda,
“Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka
memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis
selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan
sembahyang.
Persoalannya kenapa
Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau
Amerika, Rusia atau China? Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di
Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara
luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka
bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan
penembak hendap.
Pada Mei 2012, saya
bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami bertemu
dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau
berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita, rupa-rupanya mereka
adalah sebaliknya. Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada
Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih
kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang
mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000
rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya
berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan negara itu. Melihat
kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal
akan keluar dari Isfahan, Iran.
Bashar; Perdana
Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan berasal daripada keturunan Yahudi
Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal pengikut Dajjal. Bekas Presiden
Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat
perkara ini?
Saya kurang pasti,
tetapi datuk nenek Bashar memang dari Iran. Jadi hubungannya memang kuat. Satu
lagi, di Syria, Bashar berfahaman Syiah Alawi atau Nusairi. Bercerita pasal
Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah terkeluar daripada Syiah Imamiah yang
diamalkan di Iran.
Jadi Syiah yang
dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka
yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena
mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar
bunuh rakyat Syria.
Ini bermakna,
mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pembebasan Masjidil
al-Aqsa di Palestin akan bermula daripada pembebasan Masjid Umawi di Damsyik.
Benarkah begitu?
Yang saya dengar
daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa
pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah bersama tentera yang datang dari
Syam iaitu Syria.
Insya-ALLAH
dikatakan tentera juga dari tempat yang sama akan datang untuk membebaskan
Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan Imam Mahdi.
Kubur Salahuddin di
Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi. Puak Syiah paling benci dengan
Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang menjatuhkan kerajaan Syiah di
Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.
Ada dakwaan
mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang Dunia
Ketiga. Apa pandangan ustaz?
Wallahua’lam. Saya
rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi saya tiada pengalaman dalam sejarah bab
perang.
Namun, tidak
mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga) kerana melihat contoh apabila
Amerika kata hendak serang Syria, sekutu Syria, Russia kata; “Kalau engkau nak
serang Syria, aku serang Arab Saudi”.
Arab Saudi pula
sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq, Iran, Russia dan semua sekutu dengan
Russia ialah geng komunis, manakala Eropah dan Amerika pula sekutu dengan Arab
Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti, Wallahua’lam...tak mustahil berlaku.
Apa istimewanya
Syria sebagai sebuah negara Syam?
Nabi pernah sebut
dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada
Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”.
Dalam hadis lain;
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah
Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan
sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).
Nabi sebut lagi;
“Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah
(perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq
(Damsyik).
Dan ia adalah
sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu Daud).
Syam terdiri
daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Para sahabat
nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi.
Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid
al-Walid, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.
Dari Abdullah bin
Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda; Pada malam aku diisra’kan, aku
melihat tiang-tiang putih seperti permata yang dibawa oleh para malaikat. Aku
bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.
Tugas kami untuk
meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku tidur, aku (bermimpi) melihat
tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian aku mengira bahwasanya ALLAH
yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi penduduk bumi. Maka
penglihatanku mengikutinya.
Ketika itu Dia
adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu
Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah aku!” Baginda bersabda:
“Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).
Dalam sebuah hadis
lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda bahawa ada
tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu
sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi berkata, hendaklah engkau bersama
dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabrani.
Apa yang berlaku di
Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Apa nasihat Ustaz?
Nasihat saya,
jangan kata yang lawan Bashar ini adalah pemberontak, tetapi mereka adalah
rakyat yang hendak mempertahankan hak dan akidah mereka.
Banyak media kata
rakyat Syria pemberontak. Kita wajib mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu
umat Islam sedunia. Kadang kala, kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi
kita ketepikan penyembelihan yang setiap hari berlaku di Syria.
Pesanan Ulama Palestin,
Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa
akan dibebaskan. Bantulah mereka dengan dgn apa yang termampu dan jangan lupa
doakan kemenangan untuk Islam.
No comments:
Post a Comment