NKRA antirasuah syor dana politik diisytihar
N Sevagamy, Bernama | 11:21AM Jun 7 2014
Selepas berdepan masalah mewujudkan badan pemantau dana politik berikutan kurangnya kerjasama parti-parti politik, pihak Bidang Keberhasihan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah kini bercadang untuk mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu untuk tujuan itu.
Badan itu berpendapat peruntukan undang-undang diperlukan
untuk mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik
masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.
Pengarah NKRA Mencegah Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata
pihaknya sedang melihat kepada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu atau
mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan yang
terlibat dalam penyeliaan parti-parti politik.
"Pihak kami juga bercadang untuk meneliti beberapa akta
lain seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Akta
Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), bagi
melihat keperluan untuk mencadangkan pindaan-pindaan," katanya kepada
Bernama di Kuala Lumpur.
Hisham berkata sama ada ia satu akta baharu atau pindaan
kepada akta sedia ada, pihak NKRA Mencegah Rasuah berpendapat pemantauan dana
politik hanya dapat dijalankan dengan berkesan apabila keperluan melaporkan
sumber dana politik itu menjadi mandatori kepada semua parti politik.
"Contohnya parti politik perlu mengisytiharkan
penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan mengemukakan
resit kerana ia merupakan peraturan yang dikeluarkan oleh ROS.
"Tapi kalau parti politik tidak mematuhi peraturan itu,
ROS tidak boleh buat apa-apapun sebab ia hanya peraturan bukan akta. Jadi untuk
lebih telus dalam dana politik, kena ada akta," katanya.
Hisham berkata parti-parti politik mungkin tidak bersedia
untuk mendedahkan penyumbang dana politik masing-masing pada masa ini untuk
menjaga kredibiliti seseorang pemimpin dalam parti berkenaan.
"Pandangan saya ialah pemantauan dana politik amat
penting bagi menutup segala ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah. Oleh
itu, setiap dana politik yang disalurkan perlu diaudit dan direkodkan bagi
menunjukkan ketelusan parti itu," katanya.
Pada Februari 2012, melalui Pelan Transformasi Kerajaan
(GTP), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif
baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat
penyalahgunaan dana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Anti-Rasuah.
Najib berkata pembiayaan politik di peringkat pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu.
Najib berkata pembiayaan politik di peringkat pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu.
No comments:
Post a Comment