Wednesday, 9 October 2013

Mahkamah Kangaroo?

PRM Masih Kendali Mahkamah Kangaroo?


Semakin ramai Panel SPRM dilantik untuk tujuan penambahbaikan, penguatkuasaan dan meningkatkan kredibiliti SPRM, namun mutu pendakwaan masih ditaraf ‘Tadika’ sehingga pembayar cukai merasakan SPRM hanya mewujudkan ‘Mahkamah Kangaroo’ untuk membicarakan kes rasuah berprofail tinggi kerana hampir kesemuanya terlepas. Dalam kes rasuah melibatkan The Untouchable Michael Chia Tien Foh yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan baik dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet Malaysia; malah mengaitkan DYMM Yang Di Pertuan Agong, mahkamah mendapati beliau tidak bersalah setelah Pendakwaraya Kevin Morrais dan Joyce Blasius gagal mengemukakan bukti yang melampaui keraguan munasabah.

Entah bukti apa yang diperlukan mahkamah kerana Bankdraft dikeluarkan atas nama salah seorang tertuduh, Lo Man Heng dan seorang saksi yang diubah status menjadi Defendan tanpa kerelaan saksi, Chong Shak Nyen. Jika mahkamah mendapati tidak ada kes untuk dibicarakan, sewajarnya ditamatkan atau ditolak ketika sebutan kes atau ketika pendakwaan dibacakan tanpa perlu meminda pertuduhan dan menukar saksi kepada Defendan; satu percubaan untuk melemahkan bukti dan melupuskan saksi.

Namun setelah 25 saksi memberi keterangan dan setelah banyak membuang masa mahkamah, pendakwaraya masih gagal mengemukakan bukti sedangkan Bankdraf RM25 juta (hasil menjual konsesi) telah ditunaikan oleh syarikat cabang pelaburan UMNO, Nadi Hasil Sdn.Bhd. Wang tunai, sebahagiannya dirampas SPRM sebagai bahan bukti dan diserahkan saksi adalah atas permintaan tertuduh, ‘The Untouchable of The Untouchable’ sebagai syarat untuk mendapatkan lesen membalak untuk Peluamas Sdn.Bhd daripada konsesi Yayasan Sabah dengan subahat Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Daud Tampokong.

Siapa yang mengambil wang RM3.2 juta yang sepatutnya masuk ke Tabung UMNO Sabah? Kenapa Bendahari UMNO Sabah berdiam diri? Persoalan yang memeningkan kepala saksi dan mangsa tipu ialah kenapa kes ini dikendalikan SPRM sedangkan kes ini sepatutnya dibawah bidang kuasa Polis Di Raja Malaysia kerana melibatkan kes tipu dan pecah amanah dan bukannya rasuah?

Mungkinkah SPRM akan memfailkan rayuan ketika ‘The Untouchable’ duduk tersenyum di sebelah Hummer yang dipandu oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Mungkin tidak! Jika rayuan difailkan, hanya sebagai SOP SPRM dan bukannya untuk memenangi kembali kes berkenaan yang jelas akan dimenangi SPRM jika tidak ada ‘Tangan Ajaib’ yang menentukan atau campurtangan agar Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan pihak pendakwa (SPRM) gagal mengemukakan bukti yang melampaui keraguan munasabah; sehingga tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri.


Akhirnya, NO CASE TO ANSWER! Tahniah SPRM../sabahkini


SPRM: Kami siasat banyak, tapi tak didakwa
Zulaikha Zulkifli
6:14PM Mac 29, 2012

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa terdapat kes rasuah yang telah disiasat tetapi tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat peguam negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, ia berpunca kerana apabila sesuatu kes di bawa ke mahkamah, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Tujuan SPRM ditubuhkan adalah untuk ambil tindakan terhadap orang yang lakukan rasuah. Kita tak boleh tangkap berdasarkan sentimen.

"Banyak kes yang disiasat tetapi tidak didakwa... Tak bermaksud tiada kes. Ada kes. Tapi bila (hendak) bawa ke mahkamah, mereka (pejabat peguam negara) kata tak cukup bukti. Masyarakat kena faham.

"Tak timbul isu kita tak ambil tindakan terhadap 'ikan besar' atau tidak. Kita buat kerja siang malam. Kes rasuah rumit. Bukan mudah untuk dapat kerjasama orang ramai kerana tiada siapa yang nak bercakap," katanya pada wacana anjuran
 Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri juga berkata, kes rasuah berbeza dengan jenayah lain kerana ia melibatkan kawan rapat, rakan parti dan ahli keluarga yang tidak akan 'buka mulut'.

"Mereka tak kan bercakap. Siapa yang nak datang bercakap bila kita tanya? Kita tak ada kuasa untuk dakwa orang," katanya.

Rafizi rela kerja separuh masa dengan SPRM

Sementara itu itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pula mencadangkan agar peguam negara ditukar bagi memudahkan siasatan dilakukan oleh SPRM.

Menurut Rafizi, negara memerlukan seorang peguam negara yang jujur serta bekerjasama dengan SPRM agar setiap kes boleh dihadapkan ke mahkamah.

"Kalau saya jadi perdana menteri... Tapi saya tak jadi lagi... Tanpa ubah perlembagaan, kita boleh tolong pegawai SPRM dengan (cara) menukar peguam negara. Peguam negara yang ada sekarang mempunyai rekod buruk, terkenal dengan menerapkan 20, 30 fail.

"Kita perlu cari peguam negara yang jujur yang akan bekerjasama dengan SPRM supaya, tidak kisah Pakatan Rakyat ke, BN atau pensyarah, kalau dia rasuah, akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Rafizi bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd Shukri mengenai saksi yang sukar 'buka mulut' kerana masyarakat kini sudah berubah dan berani untuk membongkar sesuatu kes.

Merujuk kepada isu Pusat Fedlot Nasional, Rafizi berkata, hampir kesemua maklumat dan dokumen diberi oleh orang ramai.

"Masyarakat dah berubah. Sekarang ni kami sampai tak cukup tangan nak siasat. Maklumat, dokumen orang bagi tiap-tiap hari. Masyarakat kita telah ke depan kerana mereka yang rasa bahana dan jahanamnya gejala rasuah ini.

"Saya jika diberi peluang, rela kerja separuh masa dengan SPRM kalau diberi jaminan untuk menyiasat menteri yang berprofil tinggi ini," katanya.

No comments:

Post a Comment