K'jaan kaji semula penggunaan cermin gelap
| 6:00PM Mei 23 2014
Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk mengkaji
semula aspek penggunaan cermin gelap termasuk peraturan sedia ada,
pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata pemangku menterinya Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau, yang juga menteri prtahanan berkata bahawa MOT sedia
maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan
dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman.
"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya
ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan
penggunaan cermin gelap pada kenderaan.
"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan
Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool
untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Pada masa kini, Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3), Kaedah-Kaedah
Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000,
menetapkan cermin cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70 peratus,
manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang daripada
50 peratus.
Mereka yang melanggar peraturan ini boleh didenda RM500 atau
penjara tidak melebihi dua minggu bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan
seterusnya bolehdidenda RM1,000 atau penjara maksimum sebulan.
Menerangkan lebih lanjut mengenai bengkel khas itu,
Hishammuddin berkata, ia telah dijadualkan pada 2 dan 3 Jun ini, bertempat di
Hotel Holiday Inn Glenmarie Shah Alam, dan akan dibahagikan kepada lima sesi.
"Antara pengisian bengkel ini ialah melihat kembali
standard ketelusan cahaya cermin gelap
kenderaan berdasarkan peraturan antarabangsa sedia ada seperti 'United Nation
Vehicle Regulation R43 (Safety Glassing)'.
Bengkel ini juga akan memperhalusi usaha memastikan pengguna
dapat diupayakan dari segi maklumat dan kefahaman mengenai penggunaan cermin
gelap," kata Hishammuddin.
Bengkel pertama dipengerusikan oleh Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) untuk membincangkan peraturan sedia ada, bengkel kedua oleh
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi mengkaji
amalan penggunaan cermin gelap oleh negara-negara luar, manakala bengkel ketiga
oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji peraturan cerman gelap dari
perspektif keselamatan dan jenayah.
Bengkel keempat pula akan dipengerusikan oleh Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membincangkan
penguatkuasaan dan kawal selia penjualan cermin gelap di premis aksesori
kenderaan dan yang terakhir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri bagi membincangkan pengimportan kereta bercermin gelap dengan permit
import (AP).
No comments:
Post a Comment