Wednesday, 20 November 2013

Melambung bayi majikan: Mahkamah ketepi hukuman wanita Indonesia



KUANTAN 20 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mengaku bersalah melambung dan menghempas bayi majikannya pada awal tahun ini.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian setelah mendapati wanita itu yang hanya dikenali sebagai Yuliana, 24, tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan terhadapnya semasa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Februari lalu.
Sehubungan itu, beliau memerintahkan kes terhadap wanita itu dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen tetapi di hadapan hakim yang lain.
Dalam penghakimannya, Hakim Mariana memberikan lima alasan terhadap keputusannya itu dengan yang pertama, hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila gagal menimbangkan sama ada perayu faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Alasan kedua, katanya, perayu tidak diwakili peguam ketika prosiding mahkamah berjalan sedangkan dia perlu dijelaskan akan maksud undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan yang dibacakan kepadanya.
''Ketiga, gagal mengambil kira rayuan yang dikemukakan oleh perayu dan permohonan tidak dinyatakan dalam penghakiman sebelum ini.
''Keempat, menjatuhkan hukuman yang terlalu berat iaitu penjara 15 tahun untuk pertuduhan pertama dan penjara lima tahun bagi pertuduhan kedua (kedua-dua hukuman berjalan serentak).
''Alasan kelima, hakim gagal menyatakan niat perbuatan perayu dalam fakta kes ini,'' kata beliau.
Sementara itu, peguam T. Vijayandran yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia mewakili Yuliana berkata, anak guamnya itu telah dibenarkan bebas dengan bon jaminan Kedutaan Indonesia tanpa sebarang amaun.
Kata Vijayandran lagi, pembantu rumah tersebut akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Januari tahun depan.
Dalam pada itu, wakil Kedutaan Indonesia yang turut hadir, Dino Nur Wahuddin berkata, wanita itu akan ditempatkan di tempat perlindungan khas di kedutaan tersebut di ibu negara sehingga tarikh prosiding akan datang.
Pada 12 Mac lalu, Hakim Mariana memerintahkan Yuliana dihantar ke Hospital Permai, Johor menjalani pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan bagi menentukan tahap kewarasannya setelah pembantu rumah tersebut memohon menggantung pelaksanaan hukuman yang dihadapinya.
Permohonan tersebut dikemukakannya pada 8 Mac lalu melalui Vijayandran.
Yuliana dari Acheh, Indonesia dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera Mohamed Hareez Mohamed Zamri dengan melambung dan menghempas bayi berusia empat bulan itu sebanyak sembilan kali.
Perbuatan yang boleh mendatangkan kematian itu dilakukan di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini pada 15 Februari lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131121/ma_01/Melambung-bayi-majikan-Mahkamah-ketepi-hukuman-wanita-Indonesia#ixzz2lFXArTsB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment