Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Kisah seorang surirumah, S. Kalaichelvi yang dijatuhkan hukuman
penjara dua tahun kerana membunuh orang yang cuba merogolnya mendapat perhatian
banyak pihak.
(S. Kalaichelvi diiringi polis
selepas dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana membunuh orang yang cuba
merogolnya)
Ramai yang bersimpati dengan nasib
beliau itu dan tidak berpuashati dengan hukuman yang terpaksa beliau hadapi
kerana mempertahankan diri dari dirogol.
Namun ada juga yang berpendapat
hukuman itu wajar kerana pembunuhan itu dianggap kejam berdasarkan kesan luka
kepada kepala perogol itu.
Di Ipoh Isnin lepas, seorang isteri
yang cuba dirogol oleh seorang lelaki yang dikenalinya telah dihukum penjara
kerana tindakannya menetak perogol dengan parang sehingga menyebabkan kematian.
Dan kerana perbuatan mempertahankan
dirinya itu, Mahkamah Tinggi Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun
ke atas S. Kalaichelvi, 24 tahun, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan
kematian seorang lelaki yang cuba memperkosanya pada tahun lepas.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abid. Ghani
memerintahkan S. Kalaichelvi menjalani hukuman tersebut selepas mengaku
bersalah menyebabkan kematian M. Kumaran, 29, di dalam rumahnya di Taman
Bistari, Ayer Tawar, Manjung di antara pukul 3 hingga 3.30 pagi pada 7 Januari
2010.
Mengikut fakta kes, lelaki yang
dikenalinya itu menceroboh rumahnya kira-kira jam 3 pagi dari pintu belakang
ketika suami wanita itu tiada di rumah.
Lelaki itu cuba memperkosanya tapi
dia dapat melarikan dirinya ke dapur dan sempat mencurahkan serbuk cili ke mata
perogol itu.
Dalam keadaan matanya yang pedih,
perogol itu masih cuba untuk mendapatkan Kalaichelvi, tapi wanita tersebut
dengan pantas mencapai sebatang besi dan memukul kepala lelaki itu.
Apabila lelaki itu berjaya merampas
batang besinya, wanita itu mencapai parang dan menetaknya beberapa kali
sehingga mati.
Beliau dengan bantuan suaminya
kemudian membungkus mayat lelaki itu dan membuangnya ke parit di tepi jalan
menjelang pagi.
Hakim Zainal Adzam dalam penghakiman
bertulisnya berkata, Kalaichelvi sepatutnya dihukum lebih berat kerana
melakukan 'pembunuhan kejam' terhadap perogol tersebut.
Seorang pengguna facebook telah
memasukkan cerita ini dalam dinding facebook dan mendapat sambutan hangat para
pengguna laman sosial itu.
Tidak sampai satu jam ia dimasukkan,
6,536 orang telah berkongsi cerita ini manakala 5,470 menyatakan 'like' kepada
cerita ini.
Cerita ini juga menerima 4,341 komen
dalam masa 40 minit.
Hampir semua komennya tidak
berpuashati dan meminta kes ini dikaji balik untuk memberikan keadilan kepada
wanita yang berani mempertahankan dirinya ini.
Appu Brothers menulis:
"Kes ini perlu dikemukan kepada
Jabatan Peguam Negara serta human right's masalah ini perlu ditangani.
"Kita semua adalah manusia tak
perlu fikir tentang agama, kasta atau taraf perkara ini perlu ditegas serta
merta.
"Jom jom kita sebarkan masalah
ini serta merta dan berjuang dapatkan keadilan."
Namun ada juga yang mempertahankan
keputusan hakim ini kerana perogol itu telah ditetak dengan banyak kali
berdasarkan kesan luka pada kepala lelaki itu.
No comments:
Post a Comment